Kerajaan Digesa Campur Tangan Hentikan Projek Hidroelektrik Empangan Nenggiri

Jaringan Kumpulan Orang Asli Kelantan mendakwa projek itu tidak membawa sebarang faedah kepada penduduk setempat.
Muzliza Mustafa dan Noah Lee
2022.06.09
Kuala Lumpur
Kerajaan Digesa Campur Tangan Hentikan Projek Hidroelektrik Empangan Nenggiri Sebahagian Orang Asli dari suku Temiar memegang poster dan kain rentang membantah projek hidroelektrik Empangan Nenggiri berhampiran kompleks Perdana Putra di Putrajaya pada 7 Jun 2022.
[S.Mahfuz/BenarNews]

Ribuan Orang Asli di Kelantan menggesa supaya Kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menghentikan projek empangan hidroelektrik bernilai berbilion ringgit di Nenggiri, Gua Musang yang didakwa mengancam masa depan, tempat tinggal dan tanah adat serta kawasan hutan yang menjadi sumber kehidupan mereka.

Lebih 100 individu mewakili 17 kampung Orang Asli yang terkesan dengan projek itu berkumpul di Putrajaya minggu ini untuk meminta jasa baik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, selaku ketua kerajaan, menyelesaikan masalah mereka.

Menerusi memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri, mereka mencadangkan agar kerajaan mencari alternatif lain untuk menjana kuasa elektrik yang bersih dan tidak merosakkan hutan serta alam semula jadi.

“Kami meminta Kerajaan Persekutuan dan Negeri supaya memilih alternatif lain yang kurang berisiko seperti membina empangan kecil di sekitar daerah Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas bagi mengatasi masalah banjir serta isu kekurangan air ketika musim panas seperti yang dicadangkan oleh Jabatan Perparitan dan Saliran.

“Kami juga berharap pihak yang berkenaan supaya menghormati hak-hak Orang Asli untuk mempertahan adat, tanah dan hutan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak-Hak Orang Asli yang ditandatangani oleh Malaysia pada 2007,” kata Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along pada Selasa.

Beliau berkata jika diteruskan, projek itu akan menghapuskan hutan dan tanah adat di lokasi terbabit serta merosakkan kawasan sekitar.

“Ia akan memberi kesan buruk terhadap ekosistem, sosioekonomi masyarakat, mata pencarian, cara kehidupan, sejarah dan adat resam Orang Asli di Gua Musang,” katanya.

Mustafa berkata protes dan bantahan mengenai pembinaan empangan itu sudah banyak kali dilakukan terutama di peringkat negeri namun tidak membuahkan sebarang hasil.

Beliau juga berkata tindakan mahkamah mungkin terpaksa diambil bagi menghentikan aktiviti yang melibatkan pembinaan empangan jika kerajaan masih gagal membatalkan projek itu.

Majid, yang berasal dari Wias, pula berkata kerajaan harus berlaku adil kepada penduduk di kawasan terjejas.

“Kampung saya terletak berhampiran Sungai Nenggiri. Sungai tersebut akan terkesan apabila mereka memulakan projek empangan. Kampung saya akan habis terhapus manakala beberapa kampung di sepanjang sungai itu yang tidak langsung dibawa berbincang oleh kerajaan juga bakal berdepan masalah. Sungai itu adalah sumber air kami. Kami minum dan membasuh menggunakan air sungai tersebut,” katanya.

Menurut lelaki berusia 47 tahun itu, walaupun ramai penduduk kampung bersetuju berpindah, beliau percaya perbincangan antara wakil kerajaan dan masyarakat setempat tidak dibuat secara telus.

“Saya tidak berhasrat untuk berpindah. Sukar untuk kami mencari ubat-ubatan serta bahan lain di hutan. Bolehkah kami bercucuk tanam seperti yang kami lakukan di sini? Tawaran mereka tidak jelas,” katanya.

Hamid Ramli, dari Kampung Simpor, juga mendakwa penduduk kampung itu langsung tidak diajak berbincang oleh pihak yang berkenaan.

“Sesetengah daripada kami terpaksa menggunakan jalan yang jauh untuk kembali ke kampung. Perjalanan yang sebelum ini hanya mengambil masa dua jam akan menjadi hampir empat jam hanya untuk ke pekan berhampiran. Hutan tempat kami mencari makanan dan sumber air dari Sungai Nenggiri juga akan terkesan.

Beliau juga berkata penduduk juga khuatir empangan itu akan membanjiri dan menghapuskan 11 gua menempatkan tanah perkuburan nenek moyang serta artifak bersejarah yang menjadi bukti asal-usul kaum mereka.

Menurut kajian Jabatan Alam Sekitar yang disiarkan di laman sesawangnya, projek itu akan membawa beberapa impak besar termasuk kehilangan habitat hutan dan sungai yang menjadi isu utama terhadap alam sekitar.

“Kawasan yang ditutupi hutan akan hilang disebabkan sebahagian besar lokasi berkenaan akan dibanjiri air, kira-kira seluas 2,145 hektar. Apabila kawasan hutan dibersihkan dan dibanjiri air secara berperingkat, hidupan liar di kawasan tersebut akan mula berpindah ke kawasan hutan berhampiran,” menurut kajian itu yang turut memberi beberapa cadangan untuk mitigasi bagi meningkatkan kebarangkalian kelangsungan hidupan liar yang terkesan.

Ia juga mencadangkan Jabatan Warisan agar mengalihkan semua artifak yang perlu dari kawasan terkesan kerana beberapa tapak arkeologi seperti Gua Cha akan dibanjiri air.

Dari sudut positif pula, projek itu dijangka membawa impak positif dari segi sosioekonomi termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan peningkatan aktiviti industri pelancongan serta akuakultur. Selain itu, Orang Asli dari tiga perkampungan yang dipindahkan ke kawasan lain akan diberi pampasan dan ia boleh memberikan mereka kehidupan lebih baik.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sehari sebelum protes memaklumkan mereka akan terus mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah yang dibawa ke pengetahuan mereka.

Menurut TNB, semua penduduk di kawasan Pos Tohoi, Pulat dan Kampung Kuala Wias di Pos Pulat yang terkesan secara langsung oleh projek itu akan dipindahkan ke lokasi baharu serta diberi pampasan bagi kerugian yang dialami mereka.

Penduduk yang tinggal di kawasan lebih jauh dari empangan juga tidak akan dipinggirkan daripada kemudahan asas seperti sekolah manakala kualiti jalan raya turut diperbaiki untuk memudahkan kehidupan mereka. Selain itu, sesetengah penduduk akan dipindahkan ke kawasan penempatan baharu.

“Sejak 2015, TNB telah bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pemegang taruh yang berkaitan dalam menjalankan projek ini dengan mengikuti sepenuhnya semua keperluan perundangan yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia. TNB juga telah mengadakan banyak sesi perbincangan dengan Orang Asli dan komuniti lain yang terkesan sama ada secara langsung dan tidak langsung oleh projek ini,” katanya.

Menurut TNB, Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik dari sumber yang boleh diperbaharui. Projek itu juga dijalankan untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengatasi masalah banjir di negeri berkenaan.

Katanya projek itu telah diluluskan secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan pada 2012 serta Kerajaan Negeri Kelantan dua tahun selepas itu dan ia mula dilaksana pada 1 Mac lepas dan dijangka siap pada Jun 2026, yang akan memberi faedah kepada komuniti setempat termasuk akses kepada kemudahan dan pekerjaan.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.