Malaysia: Pendakwa Raya Serah Bukti Kes Pembunuhan Kim Jong Nam

Fadzil Aziz dan Hadi Azmi
2017.06.16
Kuala Lumpur
170616-MY-kim-620.jpg Gooi Soon Seng, yang mewakili suspek Indonesia, Siti Aisyah, yang dituduh membunuh Kim Jong Nam, bercakap kepada pemberita selepas satu prosiding di Penjara Wanita Kajang, 16 Jun, 2017.
FadzilAziz/BeritaBenar

Peguam-peguam dua wanita Asia Tenggara, yang menghadapi pertuduhan membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un,  menerima 44 dokumen daripada pendakwa raya Malaysia pada Jumaat sebagai persediaan untuk perbicaraan kes itu.

Tidak termasuk dalam pertukaran dokumen itu adalah rakaman CCTV yang banyak diberi publisiti, yang menunjukkan serangan yang dikatakan membawa kepada kematian Kim Jong Nam pada 13 Feb lalu.

"Berapa lamakah masa diperlukan untuk memuat turun video ke dalam CD? Anda boleh melakukannya dalam masa sehari sahaja," kata Gooi Soon Seng, peguam yang mewakili rakyat Indonesia, Siti Aisyah.

"Mereka langsung tidak memberi jawapan. Kami amat kecewa kerana mereka  tidak pernah pun menjawab pertanyaan kami, " katanya kepada wartawan.

Antara dokumen yang diserahkan kepada pasukan pembelaan adalah laporan polis, kenyataan beramaran tertuduh, gambar bedah siasat, gambar forensik, pengesahan pasport mangsa dan suspek serta laporan toksikologi, menurut satu senarai yang dilihat oleh BeritaBenar.

Gooi berkata, pasukan pembelaannya telah mengupah pakar-pakar dari Denmark untuk meneliti bukti-bukti termasuk agen saraf  VX,  yang disahkan sebagai punca kematian Kim, dan diklasifikasikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Peguam-peguam itu hadir pada prosiding di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Nasrudin Mohamed di Penjara Wanita Kajang di negeri Selangor. Pegawai memindahkan prosiding kes itu dari Mahkamah Tinggi Shah Alam susulan kebimbangan berhubung keselamatan.

Siti Aisyah dan tertuduh bersama iaitu wanita Vietnam, Doan Thi Hoang, berada dalam keadaan baik dan tidak merungut tentang penjara, kata peguam mereka.

Perbicaraan seterusnya pada  Julai

Di luar penjara, pendakwa raya Iskandar Ahmad mengesahkan dokumen berkenaan telah diserahkan kepada pasukan peguam bela. Kedua-dua pihak mengesahkan bahawa kes itu dijadual bersambung pada 28 Julai depan di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Hakim Azmi Ariffin.

Kedua-dua wanita itu didakwa meracuni Kim dengan menyapu agen saraf tersebut pada mukanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ketika lelaki itu sedang bersedia untuk menaiki penerbangan ke Macau, di mana beliau dan keluarganya tinggal. Kim meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian ketika dalam perjalanan ke hospital.

Pada Mac lalu, Aisyah dan Doan didakwa membunuh Kim bersama-sama dengan "empat orang lain yang masih bebas" - merujuk kepada lelaki-lelaki Korea Utara yang dikesan dalam rakaman kamera pengawasan ketika bersama-sama wanita berkenaan di sebuah restoran di lapangan terbang itu, beberapa ketika sebelum serangan dilakukan terhadap Kim. Kesemua lelaki berkenaan kemudian menaiki pesawat dan meninggalkan Malaysia pada hari yang sama.

Kes pembunuhan itu menyebabkan hubungan Malaysia dan Korea Utara tegang, dengan kedua-dua pihak mengusir duta dan mengenakan larangan keluar terhadap rakyat  masing-masing, semasa pertikaian berhubung mayat Kim dan tentang beberapa suspek yang berkurung di Kedutaan Korea Utara.

Mayat Kim dibawa pulang ke Korea Utara pada 30 Mac, dan pada hari sama, sembilan rakyat Malaysia yang terperangkap di Korea Utara kerana larangan keluar dari negara itu, kembali ke Kuala Lumpur.

Peguam-peguam Doan iaitu Naran Singh, Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir berpuas hati dengan bukti yang diserahkan oleh pendakwa raya.

"Dokumen berkenaan adalah mengenai laporan bedah siasat, laporan kimia, laporan penangkapan dan beberapa laporan dokumentari," kata Naran sambil memberitahu beliau menjangkakan rakaman CCTV yang berkaitan dengan pembunuhan itu akan diserahkan tidak lama lagi.

"Kami akan menerima lebih banyak dokumen dan mereka mungkin membuat pengakuan," kata Salim sambil menyatakan rancangan tentang perbicaraan berikutnya.

Kedua-dua wanita itu, yang menghadapi hukuman mati jika didapati bersalah, mendakwa mereka telah ditipu untuk mempercayai yang mereka mengambil bahagian dalam satu rancangan realiti TV.

Peguam-peguam yang mewakili suspek Vietnam Doan Thi Hoang bercakap kepada pemberita selepas prosiding di Penjara Wanita Kajang, 16 Jun, 2017. (FadzilAziz / BeritaBenar)

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.