Juruteknik Komputer Dipenjara Setahun Miliki Logo IS
2017.06.20
Kuala Lumpur

Seorang juruteknik komputer terpaksa meringkuk setahun dalam penjara setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa mendapatinya bersalah dalam pertuduhan memiliki tujuh logo kumpulan pengganas Negara Islam (IS) pada tahun lalu.
Mohammad Hakimin Azman, 31, diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Sept tahun lalu.
“Hukuman itu dikenakan selepas mahkamah menimbangkan bahawa gambar yang dimiliki tertuduh hanyalah logo dan bukannya imej militan atau senjata yang boleh digunakan untuk mengajak orang lain menyertai kumpulan Daesh,” kata Hakim Nordin Hassan, yang menggunakan terma lain untuk IS, ketika menjatuhkan hukuman.
Hakim Nordin juga menasihati Mohammad Hakimin supaya berhati-hati dengan apa yang beliau lakukan kerana kumpulan IS telah diwartakan sebagai kumpulan pengganas.
“Nasihatlah rakan-rakan anda mengenai perkara ini. Perkara kecil juga boleh menjadi isu besar,” kata Hakim itu.
Mohammad Hakimin didakwa memiliki tujuh logo berkaitan pengganas di Pejabat Bahagian Teknologi Maklumat, di Majlis Daerah Batu Gajah, negeri Perak pada 25 Sept tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntuk hukuman maksima penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak ke atas harta bendanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohd. Zamri Ibrahim yang mewakili bapa dua anak itu, meminta supaya Mahkamah Tinggi mengenakan hukuman ringan terhadapnya kerana ia adalah kesalahan pertamanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin@Baharum memohon kepada mahkamah agar tertuduh diberi hukuman setimpal bagi dijadikan pengajaran buat dirinya dan orang awam.
Item berkaitan IS dalam pemacu pena
Sementara itu, seorang pengawal kualiti di sebuah kilang didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di negeri Selangor pada Selasa bagi dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan IS pada Mei lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Fairul Azhar Jaafar, 33, didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu di sebuah unit apartmen di Mentari Court, Taman Seri Mentari, Selangor pada 25 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan melakukan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki sesuatu yang berkaitan dengan kumpulan IS iaitu pemacu pena pada tarikh dan tempat yang sama seperti pertuduhan pertama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan bagi pertuduhan itu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripadanya bagi kedua-dua pertuduhan.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan sebutan semula kes pada 20 Okt depan untuk membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia memberkas 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan daripada jumlah itu, sebanyak 66 telah dibebaskan, demikian menurut statistik kerajaan yang diperoleh BeritaBenar.
Selain itu, sejumlah 31 anggota militan rakyat Malaysia telah terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 56 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit, kata seorang pegawai atasan unit antikeganasan Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay.