Mahathir Mohamad Jangka Keganasan 'Semakin Buruk'

Muzliza Mustafa
2016.09.07
Putrajaya
160907_MY_MAHATHIR_1000.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad ketika temu bual oleh BeritaBenar di pejabatnya di Putrajaya, 6 September, 2016.
Muzliza Mustafa/BeritaBenar

Masalah keganasan global akan menjadi semakin buruk kecuali negara-negara Barat mengkaji semula dasar Timur Tengah yang telah mencetuskan krisis di rantau ini, kata bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad kepada BeritaBenar dalam satu temu bual minggu ini.

Beliau menyatakan konflik Israel-Palestin yang berpanjangan sejak sekian lama serta peperangan mazhab di Syria, Yaman dan Libya sebagai contoh hasil dasar Barat yang, pada pandangannya, telah mendorong sekumpulan kecil orang melakukan keganasan.

"IS bertindak balas terhadap orang yang terdesak," kata Mahathir, apabila ditanya sama ada kumpulan pengganas yang menggelar dirinya Negara Islam (IS) akan menjadi satu masalah yang lebih besar bagi Asia Tenggara pada masa akan datang.

Selagi negara-negara Barat "tidak cuba mengatasi  punca akar umbi masalah ini, untuk mengenal pasti kesilapan yang mereka telah lakukan... saya fikir keganasan akan meningkat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia."

Malaysia boleh melakukan yang terbaik untuk mempertahankan dirinya daripada keganasan, "tetapi sehingga puncanya dikendalikan oleh semua negara di dunia, saya fikir, ia hanya akan menjadi bertambah buruk," katanya dalam temu bual yang diadakan di pejabatnya di Putrajaya.

"Kita tidak tahu di mana serangan itu akan dilancarkan. Orang itu tidak memakai pakaian seragam. Tidak ada tentera. Hanya seorang  membawa kereta dan membunuh 80 orang. Di mana? Tiada siapa yang tahu."

'Mereka tidak akan salahkan diri sendiri'

IS wujud dan berkembang luas daripada  konflik Israel-Palestin yang bermula sejak 60 tahun penubuhan Israel, dakwa Mahathir, yang paling lama berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan menyandang jawatan dari 1981 hingga 2003.

Sejak kebelakangan ini, Mahathir yang berusia 91 tahun dan dikenali sebagai Dr. M, telah menjadi pengkritik paling lantang kerajaan Perdana Menteri  Najib Razak.

Ketika mengulas mengenai keganasan, beliau berkata dasar Barat masa kini termasuk sokongan berterusan untuk Israel tanpa mengambil kira apa sahaja tindakannya, pencerobohan Afghanistan dan Iraq, serta melatih kumpulan pemberontak di Syria, Yaman dan Libya terus memburukkan lagi masalah tersebut.

Negara-negara Barat telah cuba namun gagal untuk mengehadkan keganasan di negara-negara Arab, katanya.

"Memang ada orang yang kecewa, amat marah. Mereka tidak peduli sama ada mereka mati atau hidup. Jadi, mereka menuju ke negara-negara yang menjadi punca masalah mereka, pada dasarnya, "kata Mahathir.

"Tetapi dunia tidak akan melihatnya kerana pihak media dikawal sepenuhnya oleh negara-negara Barat. Mereka tidak akan menyalahkan diri sendiri. Mereka menyalahkan Islam, umat Islam dan, anda tahu, kurangnya kebijakan...tetapi ia bukanlah punca sebenar. Punca sebenar adalah mereka telah silap mengendalikan Timur Tengah dalam tempoh 60 tahun lepas."

'Ini bukannya agama'

Sejak beberapa bulan lalu, kerajaan Malaysia telah memberi amaran bahawa IS khususnya, telah menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

Menurut para pegawai, memang ada risiko bahawa generasi muda yang beragama Islam dari Malaysia direkrut melalui media sosial untuk menyertai perjuangan IS di Timur Tengah, serta penyokong IS domestik atau ahli IS yang pulang dari pertempuran di Syria atau Iraq, yang sedang berusaha untuk merancang serangan ganas di tanah air.

Minggu lepas, pihak berkuasa Malaysia berkata mereka telah mematahkan rancangan penyokong IS untuk melancarkan serangan pengganas pada malam Hari Kebangsaan, yang jatuh pada 31 Ogos. Pada akhir bulan Jun, IS mendakwa melakukan serangan pertama di bumi Malaysia apabila lapan orang cedera dalam serangan bom di sebuah kelab malam di Puchong, di pinggir Kuala Lumpur.

Sejak tahun 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki menjadi anggota IS, dengan sekurang-kurangnya 72 orang daripada mereka telah didakwa di mahkamah.

Menurut Mahathir, kebanyakan anggota IS beragama Islam dan berasal dari negara-negara yang dimusnahkan oleh keganasan.

"Ini bukannya agama. Ia bukan Islam. Jika anda mematuhi Islam, anda tahu [ini] dilarang dalam Islam. Tetapi mereka adalah orang Islam, dan, malah negara mereka telah pun musnah dan ramai rakyatnya terbunuh."

Para pemimpin dan guru Islam secara tidak langsung turut menyumbang kepada usaha radikal apabila mereka melepaskan kemarahan terhadap masalah-masalah dunia Islam dalam khutbah dan ceramah mereka, katanya.

"Mereka juga terjejas dengan apa yang berlaku di Timur Tengah. Mereka marah, mereka kecewa, dan mereka bercakap tentang perkara ini kepada orang jahil, dan orang ini merasakan bahawa mereka perlu melakukan sesuatu mengenainya ... mereka harus membantu perjuangan," katanya.

Menurutnya beliau berpendapat kerajaan Malaysia tidak melakukan secukupnya untuk menangani masalah IS - dan menyatakan keraguannya tentang kesan daripada penubuhan pusat menangani mesej digital Malaysia yang akan dilancarkan dengan bantuan  Amerika Syarikat bagi mengekang usaha perekrutan radikal.

Dalam hal ini, beliau menyarankan bahawa adalah lebih baik untuk memperkemaskan lagi tugas dan usaha para imam dan ustaz.

"Orang yang bercakap tentang agama, yang menyebarkan, dan membimbing (rakyat) ke arah Islam, perlu diarahkan supaya memberitahu rakyat tentang apa sebenarnya Islam ... Sebagai contoh, dan sangat mudah, Islam mengajar kita bahawa semua umat Islam bersaudara ... Mereka perlu berkumpul dan berbincang dalam usaha untuk  menyebarkan ajaran yang betul tentang Islam."

Nani Yusof dan Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.