Malaysia Mungkin Berdepan Gelombang Keempat COVID-19, Rekod Kematian Tertinggi Sejak Februari
2021.04.13
Kuala Lumpur

Malaysia merekodkan jumlah kematian tertinggi akibat COVID-19 dalam tempoh dua bulan susulan peningkatan kes baharu di tiga negeri, demikian menurut data kesihatan sehari selepas seorang menteri kanan memberi amaran bahawa negara itu mungkin berdepan risiko terjerumus ke dalam gelombang keempat penularan virus tersebut.
Menteri Kesihatan Adham Baba pula berkata susulan peningkatan kadar jangkitan, Malaysia mungkin tidak mampu mencapai sasaran awal untuk menurunkan jangkitan harian baharu kepada 500 kes menjelang Mei depan sambil menambah penurunan kadar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) menjadi penyebab utama peningkatan mendadak kes jangkitan.
Pada Isnin, beliau memaklumkan sidang media bahawa berdasarkan trend semasa, kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) di negara itu telah meningkat dengan di Sarawak sahaja mencecah angka 1.11 berbanding sehari sebelum itu.
Menurut rekod, jumlah kebolehjangkitan di seluruh negara berada pada tahap 1.07 dengan jumlah tertinggi ialah 1.44 yang direkodkan di Terengganu.
“Oleh itu, sasaran kita untuk menurunkan kadar kes jangkitan baharu harian kepada 500 kes kelihatan sukar buat masa ini kerana pematuhan kepada SOP telah merosot. Kita mesti pastikan SOP ini dipatuhi.
“Kita akan cuba memastikan langkah pencegahan dan pengawalan untuk berdepan dengan peningkatan kes dilaksanakan dan kita akan mengambil langkah-langkah untuk bersedia dengan kemungkinan peningkatan kes di negeri-negeri yang menunjukkan peningkatan seperti di Sarawak dan Selangor,” katanya.
Sementara itu, Sarawak mencatatkan kes baharu harian tertinggi setakat ini iaitu 607 kes pada Selasa dengan empat kematian direkodkan berbanding 351 jangkitan harian pada hari sebelumnya.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah itu telah melepasi kadar jangkitan harian tertinggi yang pernah direkodkan di Sarawak pada 9 April iaitu 555 kes.
“Angka terbaharu ini juga meletakkan Sarawak pada senarai tertinggi di negara ini, dengan tiga daerah mencatatkan kes tertinggi dengan Bintulu merekodkan 130 kesdiikuti oleh Kuching dan SIbu, yang masing-masing mencatatkan 106 kes baharu,” katanya.
Pada Selasa, Adham berkata peningkatan kes baharu itu menyaksikan nilai Rt bagi Sarawak telah melonjak kepada 1.11 berbanding 1.10 yang direkodkan sehari sebelum itu.
“Untuk hari ini, Rt telah naik ke 1.11. Ini bermakna satu orang boleh menjangkiti 11 orang, jadi ini yang kita nak elakkan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Vaksinasi COVID-19 di Kuching, ibu negeri Sarawak.
Berikutan itu, beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengerahkan 500 kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan ke Sarawak dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada langkah bagi membantu mengawal penularan kes baharu di negeri itu.
Ujarnya lagi, program mobilisasi itu membabitkan kakitangan Kementerian Kesihatan dari negeri dan daerah Zon Hijau dalam Sarawak seperti doktor, jururawat, pembantu kesihatan, pegawai makmal, ahli radiologi dan petugas yang mengendalikan ujian pantas di lapangan.
Pada Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia mencatatkan 1,767 kes baharu, meningkat daripada 1,317 kes yang direkodkan pada Isnin.
Negara itu juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam tempoh dua bulan dengan 12 kes, menjadikan jumlah kematian terkumpul kepada 1,345 sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia pada awal 2020. Kematian tertinggi berkaitan COVID-19 sebelum ini direkodkan pada 27 Februari iaitu 10 kes.
Susulan trend peningkatan kes yang membimbangkan tatkala umat Islam mula menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan, Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP untuk masjid dan surau serta SOP untuk sektor makanan melibatkan Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kita amat memerlukan kerjasama orang ramai untuk melandaikan lengkuk COVID-19,” katanya dalam sidang media harian.
Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada Isnin berkata maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan kemungkinan berlaku gelombang keempat COVID-19.
“Maka kita bersama-sama perlu mematuhi SOP apatah lagi di bulan Ramadan yang banyak aktiviti seperti bazar, majlis berbuka, moreh dan solat tarawih berjemaah. Walaupun kita membenarkan beberapa aktiviti dijalankan semasa Ramadan, SOP perlu dipatuhi kerana COVID-19 tidak pernah bercuti,” katanya.
Beliau juga berkata Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk mengekalkan status enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan peningkatan kes mendadak di negeri terbabit.
Status bagi Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan pula terus kekal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Katanya semua arahan berkuat kuasa dari 15 hingga 28 April 2021 kecuali Sarawak yang bermula pada 13 hingga 26 April depan.
Sehingga 12 April, lebih sejuta rakyat Malaysia telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan jumlah tertinggi adalah di Selangor.
Setakat ini, kurang 40 peratus daripada 32.7 juta populasi Malaysia telah mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Malaysia telah mendapatkan lebih 60 juta dos vaksin COVID-19 dari negara pengeluar seperti China dan Rusia.
Malaysia menyasarkan untuk memberi suntikan vaksin kepada 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya menjelang 2022.
Mengulas peningkatan kes COVID-19, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Kuljit Singh berkata negara itu perlu mengelakkan gelombang keempat pandemik itu.
Ujarnya adalah penting untuk orang ramai mematuhi SOP susulan jangkaan peningkatan aktiviti membabitkan kumpulan besar dalam tempoh beberapa minggu akan datang berikutan sambutan perayaan Aidilfitri.
Kuljit berkata kumpulan besar adalah antara penyumbang utama kepada penularan COVID-19 contohnya di premis komersial dan acara yang membabitkan orang awam.
“Kawalan kita di lokasi-lokasi ini adalah perlu kerana amat penting untuk orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya tidak menyumbang kepada jumlah kes jangkitan lebih tinggi.
“Jika gagal memastikan perkara ini berlaku, maka kita berisiko untuk terjerumus ke dalam gelombang keempat pandemik, khususnya dalam keadaan kita masih belum mencapai tahap satu peratus bagi bagi program vaksinasi untuk populasi kita,” ujarnya kepada BeritaBenar.
Beliau juga berkata hukuman dan tindakan ke atas mereka yang gagal mematuhi SOP perlu dilaksanakan dengan tegas serta pantas untuk menjadi pengajaran buat semua.
“Sekiranya gagal, kerajaan mungkin perlu melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.