Sambutan Aidilfitri Suram di Malaysia, Solat Aidilfitri Masih ‘Ekslusif’ Kerana COVID-19

Nisha David
2020.05.22
Kuala Lumpur
MY_1_1000.jpg Seorang pekerja wanita kedai menjual tudung di ibu kota sedang membetulkan tudung yang dipakaikan pada patung di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur pada 22 Mei 2020.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Ahad dalam norma baru pada ketika masyarakat beragama Islam perlu mematuhi langkah penjagaan kesihatan yang ketat seperti yang ditetapkan kerajaan dengan solat sunat Aidilfitri yang biasa diadakan di masjid-masjid hanya dibenarkan di beberapa negeri manakala baki negeri lain masih meneruskan larangan akibat COVID-19.

Sementara itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengeluarkan Kit Panduan Sambutan Aidilfitri di Rumah pada Jumaat dengan memberi fokus kepada amalan yang dituntut dilakukan umat Islam ketika menyambut Aidilfitri dan kepatuhan pada prosedur standard operasi(SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) bagi mengawal penularan wabak coronavirus.

Negeri yang membenarkan solat sunat Aidilfitri di masjid sehingga kin ialah Perak, Kedah, Johor dan Wilayah Persekutuan dengan jumlah jemaah terhad antara 12 ke 30 orang bergantung kepada majlis agama Islam negeri masing-masing.

"Bagi Wilayah Persekutuan, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 14 Mei memutuskan semua masjid dan surau yang berada di zon hijau boleh mendirikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Mesyuarat juga memutuskan bilangan jemaah bagi solat adalah tidak kurang dari 3 orang tidak termasuk imam dan tidak lebih dari 30 orang. Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan menteri dengan Perdana Menteri pada 12 Mei," kata Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Hal Ehwal Agama Malaysia minggu lalu.

Beliau turut memberi peringatan kepada Wilayah Persekutuan dan negeri lain yang membenarkan solat sunat Aidilfitri untuk patuh kepada SOP yang ditetapkan KKM berhubung solat di masjid.

Di Perak pula Sultan Nazrin Shah telah memberi perkenan untuk solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid dan surau pada pagi 1 Syawal.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Shahrul Azam Shaari berkata kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.

"Masjid dan surau bagaimanapun masih tidak dibuka kepada orang awam. Pengerusi jawatankuasa kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah yang dibenarkan hadir terbatas kepada kalangan ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid dan surau sahaja.

"Individu yang berusia lebih 60 tahun tidak digalakkan hadir berjemaah. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema, sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir," menurutnya dalam satu kenyataan di Ipoh, pada Khamis.

Bagi negeri Selangor, negeri yang merekodkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi di Malaysia, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak boleh melaksanakan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya memutuskan untuk tidak membenarkan umat Islam di Selangor melaksanakan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dalam negeri itu.

Menurutnya, hanya imam, bilal dan siak yang dijadualkan bertugas di masjid dan surau sahaja diberikan kebenaran dan bilangan mereka juga terhad kepada tiga orang mengikut tentatif ditetapkan.

Kit panduan khas Aidilfitri

Paimuzi Yahya, ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkata, ia susulan sambutan Aidilfitri tahun ini berlangsung dalam tempoh PKPB dan pengumuman kerajaan yang menyarankan umat Islam supaya menyambut Aidilfitri secara sederhana dengan mengutamakan amalan dituntut dalam syariat Islam saja.

"Kit ini mempunyai panduan umum sambutan Aidilfitri seperti amalan sunat dan wajib sempena hari raya, panduan takbir, solat dan khutbah hari raya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Antara yang dikongsi di dalam kit berkenaan termasuk khutbah hari raya yang disampaikan seperti biasa sebelum ini, khutbah di rumah, tidak perlu kepada mimbar dan tongkat, memadai kerusi atau tempat duduk bagi imam duduk sebentar antara dua khutbah.

Selain itu kit itu juga menyentuh mengenai SOP ziarah yang dihadkan hanya pada hari raya pertama saja dan membabitkan ahli keluarga terdekat saja dan tidak melebihi 20 orang sehari mengikut saiz kediaman.

Jakim juga mengingatkan umat Islam supaya sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan dan amalan kesihatan yang ditetapkan KKM.

Kompaun buat pesalah rentas negeri

Kerajaan Malaysia turut memperkenalkan hukuman kompaun RM1,000(AS$229) pada Jumaat kepada mereka yang cuba melanggari perintah larangan rentas sempadan setelah usaha sebelum ini gagal memberikan impak yang dikehendaki.

Sehingga Khamis hampir 10,000 kenderaan  diarahkan untuk patah balik oleh pihak berkuasa selepas mereka cuba untuk balik ke kampung halaman masing-masing.

Menurut Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pada hari Khamis sahaja sebanyak 2,539 kenderaan diarah berpatah balik.

"Setiap hari saya mengulangi supaya jangan buat rentas negeri dan semalam, apabila saya umumkan supaya tiada lagi rentas negeri, mereka cuba mengambil kesempatan," katanya pada sidang media di Putrajaya.

Pihak Polis Diraja Malaysia turut menyatakan pemeriksaan teliti akan dibuat terhadap semua kenderaan yang mahu melintasi sempadan negeri di semua sekatan jalan raya bagi memastikan tiada perjalanan rentas negeri berlaku menjelang Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias menasihati mereka yang berhasrat untuk berbuat demikian supaya tidak mencuba nasib berikutan lebih 100 sekatan jalan raya giat dijalankan disemua jalan utama.

"PDRM mengadakan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Bukit Mahkota dan Plaza Tol Skudai di samping jalan-jalan susur keluar di plaza tol di setiap negeri," katanya kepada BeritaBenar.

Akibat COVID-19 dan perintah sekatan rentas negeri, ramai yang tidak dapat pulang berhari raya. Rata-rata bagaimanapun menyambut usaha kerajaan dengan hati terbuka.

Peniaga makanan, Adyla Ahmad, yang berasal dari Pulau Pinang dan kini menetap di Kelantan, menyokong penuh tindakan kerajaan melarang pergerakan rentas negeri semata-mata untuk balik kampung menjelang Aidilfitri.

"Meskipun sedih sebab tahun ini giliran saya untuk balik kampung saya di Pulau Pinang, tetapi saya terima dan akur dengan arahan kerajaan. Saya cukup rindukan mak yang berada di kampung tetapi pada masa yang sama tidak mahu risikokan mak saya yang dah tua itu," katanya kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Khatijah Ali yang berasal dari Pantai Remis, Perak pula menggesa yang lain untuk sama ‘berkorban’ seperti barisan hadapan negara bagi memastikan kepentingan dan keselamatan bersama.

“Sampai bila hanya mereka yang perlu berkorban, apa salahnya orang awam pun berkorban sekali sekala demi keselamatan semua,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.