FBI: Marwan Pengganas Rakyat Malaysia Terbunuh

Oleh staff Berita Benar
2015.04.02
150402-MY-marwan620 Anggota tentera Amerika Syarikat membantu mengusung seorang komando polis Filipina yang cedera untuk dibawa keluar oleh sebuah helikopter dari Mamasapano, 26 Januari 2015
AFP

Zulkifli bin Hir - lebih dikenali sebagai Marwan - pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat pada Rabu mengesahkan kematian pengganas Malaysia, Zulkifli bin Hir (juga dikenali sebagai Marwan atau ZulkifliAbdhir),  lebih daripada dua bulan selepas dia dilaporkan terbunuh dalam satu serbuan oleh pasukan kerajaan di selatan Filipina.

"Selepas kajian menyeluruh terhadap data forensik dan maklumat yang diperoleh daripada rakan penguatkuasaan undang-undang Filipina kami, FBI telah menilai bahawa subjek keganasan, ZulkifliAbdHir  juga dikenali sebagai 'Marwan,' telah meninggal dunia," kata Penolong Pengarah FBI Los Angeles (LA), David Bowdich, dalam satu  kenyataan pada Rabu.

Marwan merupakan suspek utama dalam insiden pengeboman Bali 2002, di mana kerajaan Amerika Syarikat menawarkan ganjaran AS$5 juta bagi penangkapannya. Beliau berusia sama ada 48 atau 49 tahun pada masa kematiannya, dan beliau telah dilatih sebagai seorang jurutera di Amerika Syarikat.

Menurut profil beliau di laman web FBI, yang kini ditandakan dengan warna merah sebagai "si mati," Marwan telah mengetuai kumpulan pengganas Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan merupakan anggota pusat Jemaah Islamiyah, iaitu rangkaian al-Qaeda di Asia Tenggara. Jemaah Islamiyah telah  melakukan pengeboman di Bali pada 13 tahun lepas yang menyebabkan 202 orang terkorban.

Kejayaan Membebankan

Marwan terbunuh dalam serbuan oleh anggota komando polis Filipina di tempat persembunyian di Mamasapano, wilayah Maguidanao pada 25 Januari. Pasukan polis Filipina memotong satu daripada ibu jari beliau, yang kemudiannya dihantar kepada FBI sebagai sampel DNA untuk ujian makmal.

Pada 4 Februari,  pejabat FBI LA mengumumkan bahawa ujian awal menunjukkan adanya padanan DNA itu tetapi lebih banyak ujian perlu dilakukan untuk mengesahkan bahawa Marwan telah mati.

Serangan Mamasapano menjadi pertempuran jangka panjang antara pasukan polis elit dan anggota MILF, kumpulan serpihan Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF), serta kumpulan bersenjata persendirian yang lain.

Seramai 67 orang mati dalam pertempuran Mamasapano, termasuk 44  pegawai SAF, 18 ahli MILF dan lima orang awam.

Marwan dilaporkan merancang untuk mengebom M'Lang dan Midsayap di Cotabato Utara bersama-sama dengan  anggota Jemaah Islamiyah Singapura, Muawiyah dan seorang lagi pejuang jihad asing.

Menurut sumber-sumber  tentera,  pada  4 pagi  14 Januari, Marwan telah bertemu dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro - Kumpulan Operasi Khas, yang dikatakan menjadi puak penyangak MILF, dan Kumpulan Penculikan untuk tebusan di General Salipada K. Pendatun, Maguindanao .

"Kes FBI terhadap Abdhir adalah satu daripada banyak siasatan yang telah dijalankan FBI dengan kerjasama rakan kami di Filipina. Sekali lagi, anggota-anggota lelaki dan wanita FBI merakamkan ucapan takziah  kepada pegawai-pegawai berani Pasukan Tindakan Khas yang kehilangan nyawa mereka ketika cuba  menangkap buruan berbahaya ini," kata Bowdich dalam  kenyataan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.