Rakyat Islam Malaysia Membanjiri Selatan Thailand Untuk Pernikahan Rahsia

Staf BeritaBenar
2016.09.15
Songkhla, Thailand
160915-TH-secret-wedding-1000.jpg Sepasang warganegara Malaysia bergambar pada hari pernikahan mereka di wilayah Songkhla, Selatan Thailand pada Februari 2012.
Ihsan Masjid Pusat di Songkhla

Selatan Thailand menjadi hab untuk majlis perkahwinan Islam rahsia, yang menarik ramai lelaki Malaysia ke sana untuk menikahi isteri kedua, ketiga atau keempat tanpa pasangan pertama mereka mengetahui tentang hal itu, kata pegawai-pegawai.

Dengan beratus-ratus lelaki sudah berkahwin dari negara jiran, Malaysia, menyeberang setiap tahun untuk berkahwin dengan wanita lain di kawasan sempadan Selatan Thailand yang majoritinya beragama Islam, mereka mengeksploitasi kelonggaran yang ada untuk membolehkan mereka untuk mengelak undang-undang di negara asal, kata para pemimpin Islam.

Masjid Pusat Songkhla, di wilayah sempadan Thailand, menjadi tumpuan bagi majlis pernikahan itu.

Kebanyakan pernikahan di situ melibatkan lelaki Malaysia yang sudah berkahwin yang mahu menikahi wanita lain, kata Sakriya Binsaela, Pengerusi Jawatankuasa Islam Songkhla. Namun, ada di antara pernikahan itu melibatkan pengantin lelaki yang berkahwin buat kali pertama, katanya.

"Hari ini, 31 Ogos, ada 10 pasangan Malaysia datang untuk bernikah. Pada hari-hari lain, bilangannya lebih daripada ini,” kata Sakriya kepada BeritaBenar.

Sebanyak 30 pasangan Malaysia berkahwin di Songhkla setiap hari dan tahun lepas, seramai 4,500 pasangan dari Malaysia telah berkahwin di wilayah itu, menurut pihak berkuasa Islam tempatan.

Imam - pendakwah Islam - terpaksa melakukan pernikahan itu kerana undang-undang Islam membenarkan mereka. Di dalam Islam, seorang lelaki boleh mengahwini empat wanita selagi dia mampu memberikan nafkah dan menanggung setiap keluarga dengan sama rata.

"Untuk tidak melaksanakan pernikahan yang dimohon oleh pengantin lelaki dan perempuan yan kita tahu mahu berkongsi kehidupan mereka sebagai suami isteri, adalah berdosa," kata Sakriya.

Masalah yang mungkin berlaku

Menyeberangi sempadan untuk berkahwin di Thailand adalah suatu  amalan lama, kata seorang lelaki Malaysia kepada BeritaBenar di Songhkla.

"Ini berlaku sejak beberapa dekad yang lalu memandangkan  Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat. Seorang lelaki yang mahu berkahwin dengan isteri kedua perlu mendapatkan kebenaran daripada isteri pertama, mesti mempunyai kestabilan kewangan dan mesti mengikut hukum agama, "kata Mokem Abdullah, sambil menambah bahawa lelaki yang tidak memenuhi keperluan itu akan mengelak undang-undang syariah di Malaysia dengan menikah di wilayah itu.

Rekod kerajaan menyokong dakwaan bahawa Thailand adalah destinasi bagi rakyat Malaysia untuk bernikah. Dalam tempoh 18 bulan yang berakhir pada Jun lalu, lebih daripada 6,000 pasangan Malaysia berkahwin di Thailand, kata Mohammad Afandi Abu Bakar, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, kepada agensi berita negara, Bernama.

Tetapi, bilangan itu hanya melibatkan pasangan yang mendaftar perkahwinan mereka.

"Pasangan yang tidak mendaftar perkahwinan mereka dengan pihak konsulat akan menghadapi kesukaran mengesahkan pernikahan mereka di Malaysia," kata konsul jeneral itu.

Pegawai Malaysia, Thailand bertemu

Bercakap pada satu persidangan Julai lalu, yang disertai pendaftar perkahwinan dan ahli jawatankuasa agama Islam dari lima wilayah yang membentuk wilayah sempadan selatan Thailand, seorang pegawai kerajaan Malaysia berkata kedua-dua negara perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa pernikahan itu adalah sah di Malaysia, lapor Bernama.

Sesuatu perkahwinan yang tidak diiktiraf secara sah boleh menimbulkan masalah kepada isteri-isteri dan anak-anak, kata Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Oleh itu, katanya, suatu mekanisme mengenai perkahwinan dan perceraian pasangan Malaysia perlu dibangunkan dengan pihak berkuasa Islam di wilayah-wilayah Selatan Thailand merangkumi Songkhla, Yala, Narathiwat, Pattani dan Satun.

Mereka yang tidak mendaftar perkahwinan dengan kerajaan Malaysia boleh berdepan masalah untuk mendaftarkan kelahiran anak walaupun pernikahan itu diiktiraf mengikut Islam, Bernama memetik menteri itu sebagai berkata.

"Oleh kerana bilangan perkahwinan yang melibatkan rakyat Malaysia di Selatan Thailand meningkat setiap tahun, perkara-perkara ini perlu diselesaikan untuk mengelakkan masalah pada masa depan.

"Ia menjadi lebih serius apabila ada kematian atau perceraian berikutan wujudnya masalah dalam mengesahkan waris ketika pengagihan harta," kata beliau.

Pernikahan pantas

Antara lelaki yang telah menyeberangi sempadan untuk menikahi seorang lagi wanita, adalah ahli perniagaan Malaysia yang tidak mahu dikenali.

Katanya, beliau berkahwin dengan isteri keduanya di Majlis Agama Islam Narathiwat tiga tahun lalu, selepas isteri pertamanya tidak bersetuju dengan hasratnya bernikah dengan seorang wanita lain.

Isteri pertamanya tidak tahu tentang isteri kedua itu - beliau hanya mengunjungi isteri keduanya sebanyak dua kali seminggu dalam perjalanan perniagaan ke negeri utara, Perak.

Pernikahan itu dikendalikan oleh ejen-ejen perkahwinan yang berpangkalan di Kota Baru, sebuah bandar di negeri pantai timur Malaysia, Kelantan, yang terletak di seberang sempadan Thailand.

"Semua prosedurnya cepat. Kami bertolak dari Kota Baru, Kelantan, kira-kira 8 pagi dan pada 1 tengah hari, kami sudah pun  bergelar  suami dan isteri, " kata lelaki itu kepada BeritaBenar. "Kami hanya perlu membawa kad pengenalan dan dua orang saksi bagi akad nikah - itu sahaja."

Semasa majlis pernikahan itu, pengantin lelaki melafazkan akad kepada pengantin perempuannya di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi. Pengantin perempuan dan pengantin lelaki kemudian mengulangi "saya terima" sebanyak tiga kali, menjadikan pernikahan itu sah.

"Ia memang murah. Kami membelanjakan hanya lebih RM1,200  (AS$290) untuk pengangkutan, minyak, makanan dan bayaran kepada Majlis Agama Islam, " katanya.

Pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka di majlis agama Islam di Malaysia selepas masing-masing membayar denda seanyak RM1,000  (AS$241) yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret Syariah di tanah air.

Haireez Azeem Azizi di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.