COVID-19: Kes Harian Melonjak ke 4,498, Peningkatan Mendadak Dalam Tempoh 24 jam.

Malaysia turut merekodkan peningkatan dalam kes yang memerlukan rawatan rapi demikian menurut data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan negara itu.
Noah Lee & Nisha David
2021.05.07
Kuala Lumpur
COVID-19: Kes Harian Melonjak ke 4,498, Peningkatan Mendadak Dalam Tempoh 24 jam. Pertugas kesihatan memberikan suntikan vaksin sukarela kepada seorang lelaki pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor, 5 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia merekodkan lonjakan kes baharu COVID-19 dengan 4,498 orang didapati positif dalam tempoh 24 jam setakat tengahari Jumaat, peningkatan sebanyak 947 berbanding bilangan kes yang direkodkan sehari sebelum itu.

Berdasarkan pengumuman dibuat pihak berkuasa kesihatan negara, bilangan pesakit koronavirus yang memerlukan rawatan kritikal juga menunjukkan peningkatan dengan 375 orang dirawat di Unit-unit Rawatan Rapi (ICU) pada Jumaat, termasuk 211 yang memerlukan bantuan mesin penafasan.

Peningkatan kes direkodkan ketika Malaysia terus bergelut untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, walaupun berada dalam Darurat dan pelbagai peringkat perintah berkurung secara bersasar yang dilaksanakan sejak bulan Januari lagi.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 7 Mei 2021, di mana setakat jam 12 tengah hari, sejumlah 4,498 kes baharu direkodkan di seluruh negara, menjadikan jumlah kumulatif kes positif setakat ini meningkat kepada 432,425.

"Sementara itu, 3,449 pesakit pula telah diisytiharkan sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada petang Jumaat.

Bilangan kes pada Jumaat itu adalah yang tertinggi sejak 4 Feb lalu, di mana 4,571 kes positif direkodkan. Ia juga adalah antara yang paling banyak direkodkan bagi tempoh sehari sejak Malaysia dilanda pandemik itu pada tahun lalu, dengan kes tertinggi adalah pada 30 Jan lepas dengan 5,728 kes.

Sejak pertengahan bulan April, Kementerian Kesihatan mula melihat trend kes harian semakin meningkat melebihi 2,000 sehari, sebelum melepasi angka 3,000 pada 28 April dengan 3,142 kes dan bilangan kes melebihi 3,000 direkodkan hampir setiap hari.

Menurut kenyataan Noor Hisham, 22 kes kematian baharu COVID-19 direkodkan pada Jumaat, menjadikan jumlah kumulatif fataliti berkaitan dengan pandemik itu meningkat kepada 1,632 orang.

Lonjakan kes baharu itu berlaku beberapa hari selepas Putrajaya membuat keputusan untuk mengenakan perintah berkurung ke atas enam buah daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ekoran penularan koronavirus yang tinggi.

Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan itu adalah siri yang ketiga sejak ia pertama kali dikuatkuasakan pada Mac 2020, yang menyaksikan seluruh negara diletakkan di bawah perintah berkurung dan tidak dibenarkan merentas daerah kecuali atas urusan penting.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelonggaran diberi dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang terbaharu ini, termasuk untuk aktiviti sosial dan keagamaan yang dibenarkan dengan syarat SOP yang ketat.

Ini termasuklah kebenaran bagi umat Islam yang berada di dalam kawasan perintah tersebut untuk menerima kehadiran tetamu pada Hari Raya Aidilfitri pertama sahaja, dengan jumlah maksima 15 orang.

"Tiada sebarang penganjuran rumah terbuka Aidilfiri dibenarkan di seluruh negara manakala untuk ziarah Aidilfitri, kawasan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hanya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dan dibolehkan menerima kehadiran tetamu seramai 15 orang pada satu-satu masa serta perlu mengamalkan penjarakan sosial," kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada Selasa lalu.

Selain itu, kerajaan juga pada Jumaat bersetuju untuk memberikan kelonggaran ke atas aktiviti riadah dan sukan, selepas Kementerian Belia dan Sukan mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menterinya Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan media berkata beberapa aktiviti sukan dan rekreasi kini dibenarkan di kawasan PKP, antaranya aktiviti berjoging, berbasikal dan senaman, dengan syarat mematuhi penjarakan fizikal.

"Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada hari ini telah mempertimbangkan rayuan Kementerian Belia dan Sukan untuk melihat semula keputusan mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei 2021.

"Aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal seperti joging, berbasikal, senaman dan lain-lain dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter dan dilakukan di kawasan kejiranan atau terhad di mana-mana kawasan dalam daerah yang sama tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa; kini boleh dijalankan berkuat kuasa bermula 8 Mei 2021," kata menteri itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook kementerian.

Setakat 6 Mei, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi menginokulasi penduduk dalam negara terhadap virus COVID-19 yang telah bermula pada Februari lalu menyaksikan lebih sejuta individu telah diberikan suntikan vaksin, menurut statistik dikeluarkan pihak berkuasa.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) melalui laman Twitternya menunjukkan bahawa setakat Khamis, sejumlah 1,028,693 dos pertama vaksin COVID-19 telah diberikan kepada para penerima. Daripada jumlah tersebut, 651,072 telah pun menerima dos kedua mereka bagi melengkapkan imunisasi.

Selangor mencatatkan bilangan individu yang telah menerima vaksin dos pertama tertinggi setakat ini dengan 138,795, diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 101,797 individu.

Bilangan pendaftaran untuk mendapatkan vaksin COVID-19 pula telah mencecah 9,888,764 atau 40.8 peratus daripada jumlah populasi negara yang berusia 18 tahun dan ke atas dengan kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus bagi mewujudkan imuniti kelompok terhadap koronavirus.

Repatriasi rakyat di India

Sementara itu, Putrajaya pada Khamis berkata bahawa mereka akan melaksanakan satu misi repatriasi khusus bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara dan barat India, susulan situasi penularan pandemik yang semakin memburuk di negara itu.

Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan media berkata bahawa usaha itu akan dibuat secara kerjasama di antara Kementerian Luar Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Saya ingin memaklumkan, susulan situasi gelombang kedua penularan pandemik COVID-19 di India ketika ini berada pada tahap yang amat membimbangkan, Kerajaan Malaysia melalui kerjasama antara akan melaksanakan misi repatriasi khusus bagi rakyat Malaysia termasuk Home Based Staff (HBS) serta tanggungan mereka daripada pelbagai agensi yang berada di wilayah utara dan barat India.

"Misi repatriasi ini akan dilaksanakan menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia. Pesawat tersebut akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai, India dalam masa terdekat sebaik sahaja urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada Kerajaan India diperolehi," kata beliau.

Tambah Hishammuddin, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa dibuat perwakilan Malaysia di India.

Kesemua rakyat Malaysia yang dibawa pulang menerusi misi tersebut akan diwajibkan menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sebaik tiba di pintu masuk negara, dan wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan, kata menteri itu.

"Sehubungan itu, rakyat Malaysia di wilayah utara dan barat India yang berhasrat untuk menyertai misi repatriasi ini dinasihatkan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai," kata Hishammuddin.

Sementara itu, pada hari yang sama (Khamis), bekas Perdana Menteri Najib Razak pula dikenakan denda berjumlah RM3,000 (AS$729) oleh pihak polis atas dua kesalahan tidak mematuhi SOP pencegahan COVID-19.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, keputusan itu dibuat oleh Pejabat Peguam Negara ketika mengembalikan kertas siasatan kepada polis pada Khamis.

"Datuk Seri Najib Razak dikenakan dua kompaun sebanyak RM1,500(AS$364) bagi setiap kesalahan yang berjumlah RM3,000 kerana melakukan kesalahan melanggar SOP norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat iaitu gagal mengimbas suhu badan dan gagal mendaftar kehadiran semasa memasuki Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng," kata beliau.

Menurut laporan media tempatan, Najib telah melakukan kesalahan itu ketika melawat ke kedai berkenaan yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 20 Mac lepas.

Pemilik kedai tersebut turut didenda sebanyak RM10,000 (AS$2,431) kerana gagal mengarahkan Najib untuk mendaftarkan kehadirannya di premis sama ada melalui imbasan aplikasi MySejahtera atau dengan menulis di dalam buku daftar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.