1MDB Malaysia 'Bukanlah Lestari,' Kata Pegawai Tertinggi Kerajaan
2016.04.04
Kuala Lumpur

Di tengah perkembangan siasatan jenayah antarabangsa di tiga benua terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kumpulan dana negara yang sarat hutang, pakar ekonomi utama Malaysia pada Isnin memberitahu bahawa dana tersebut tidak mampan sejak awal lagi.
Perdana Menteri Najib Razak, yang mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB dan juga Menteri Kewangan, sedang menghadapi gesaan supaya meletakkan jawatan sejak tahun lepas, berhubung skandal kewangan yang dikaitkan dengan dana negara itu, terutamanya yang melibatkan deposit sebanyak hampir AS$700 juta ke dalam akaun bank peribadinya.
"Model yang diambil berkapital rendah dengan pinjaman yang besar, dan saya fikir mereka tahu, ia bukan satu model mampan. Dengan bebanan hutang, pengurusan kini sedang memulakan pelan rasionalisasi," kata Abdul Wahid, seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelia portfolio Perancangan Ekonomi, dalam satu temubual bersama stesen televisyen CNBC "Rundown".
1MDB ditubuhkan pada 2009 untuk menggalakkan projek pembangunan ekonomi di Malaysia, “dengan pengecualian" berbanding dengan syarikat berkaitan kerajaan yang lain. Dana itu ditubuhkan sepenuhnya sebagai syarikat milik Kementerian Kewangan, kata Abdul Wahid.
Satu program rasionalisasi telah dilancarkan pada Mei 2015 kononnya untuk mengurangkan beban hutang 1MDB yang melonjak kepada RM42 bilion (AS$11 bilion) dengan menjual aset, lapor CNBC.
Pada Isnin, Kementerian Kewangan mengumumkan dalam jawapan bertulis kepada soalan daripada seorang Ahli Parlimen bahawa firma itu tidak lagi mempunyai sebarang hutang dan juga tidak pernah gagal membayar balik hutang, termasuk faedah ke atas pinjaman.
Siasatan seluruh dunia
Wawancara TV Abdul Wahid itu dibuat selepas pihak berkuasa dari sekurang-kurangnya tiga negara memulakan atau meningkatkan siasatan sejak kebelakangan ini terhadap dakwaan salah laku kewangan yang dikaitkan dengan 1MDB.
Di Amerika Syarikat, FBI sedang menyiasat Red Granite, sebuah syarikat produksi filem yang dimiliki oleh anak tiri Najib, Riza Aziz. Menurut laporan yang disiarkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) hari ini (Isnin), syarikat Riza didakwa menerima AS$155 juta daripada 1MDB untuk membiayai filem Hollywood, "The Wolf of Wall Street,".
"Penyiasat di dua negara percaya bahawa AS $155 juta berasal dengan 1MDB dan berpindah ke Red Granite pada tahun 2012, melalui laluan yang memutar dan melibatkan syarikat pesisir luar shell," lapor akhbar itu, memetik orang yang mengetahui mengenai siasatan berkenaan.
FBI juga pernah mengeluarkan sapina kepada beberapa pekerja dan bekas pekerja Red Granite, dan juga kepada bank, serta sebuah firma perakaunan yang digunakan oleh syarikat itu, WSJ melaporkan.
Jurucakap Red Granite memberitahu akhbar itu, yang syarikat berkenaan bersedia memberi kerjasama penuh terhadap sebarang pertanyaan daripada FBI, sambil menambah yang syarikat itu tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa sumber pembiayaan tidak jujur.
Pada Ahad, 1MDB menolak laporan terbaru oleh WSJ, yang telah membuat liputan berita secara mendalam, sejak mula melaporkan mengenai deposit wang berjumlah AS$681 juta yang dikaitkan dengan 1MDB ke dalam akaun Najib.
Dalam satu kenyataan, pegawai 1MDB menafikan membiayai filem yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio atau memindahkan sebarang dana untuk filem itu, sama ada secara langsung atau melalui perantara.
Najib telah menegaskan bahawa dia tidak pernah menggunakan AS$681 juta itu untuk kepentingan peribadi. Pada Januari lepas, Peguam Negara Malaysia telah membersihkan nama Najib atas potensi salah laku kewangan dalam siasatan negara yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Di beberapa tempat lain di Amerika Syarikat, pegawai Jabatan Kehakiman telah meminta dua firma kewangan dan perbankan utama, Deutsche Bank dan J.P Morgan, segala maklumat dalam urusan mereka dengan 1MDB. Kedua-dua bank menjadi sasaran siasatan berkaitan dengan dana itu, lapor agensi berita Reuters pada Jumaat lepas.
Seorang pegawai dari Amerika Syarikat telah berlangsung ke Kuala Lumpur untuk menemubual mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan 1MDB, kata Reuters.
Di United Arab Emirates (UAE), pihak berkuasa telah mengenakan larangan perjalanan serta membekukan aset dua bekas eksekutif dana kekayaan negara yang berpangkalan di Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), yang mempunyai hubungan luas dengan 1MDB, seperti laporan WSJ minggu lepas.
Warga UAE Khadem Al Qubaisi, merupakan pengarah urusan dana pelaburan, yang bernilai AS$80 bilion, manakala seorang warga Amerika Syarikat Mohammed Badawy Al Husseiny adalah ketua eksekutif Aabar Investments PJS, yang dimiliki oleh IPIC, lapor WSJ.
Pihak berkuasa UAE itu memberi tumpuan kepada sama ada Al Qubaisi atau Al Husseiny yang telah menggunakan Aabar, berpangkalan di Kepulauan British Virgin, unuk menyalurkan wang daripada cabang pelaburan Malaysia ke dalam pelbagai akaun dan syarikat di seluruh dunia, menurut WSJ.
Luxembourg sertai siasatan
Pada Khamis lepas, Luxembourg telah membuka siasatan berikutan tuntutan mahkamah mengenai pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB, menurut laporan.
"Saman itu melibatkan pengubahan dana wang haram, berkemungkinan berasal dari penyelewengan wang rakyat," kata pejabat pendakwa Luxembourg, sambil menambah ia telah melancarkan siasatan "berikutan pendedahan mengenai lencongan dana yang dikatakan daripada 1MDB," Agence France-Presse melaporkan .
Pengumuman oleh pendakwa Luxembourg itu dibuat selepas pihak berkuasa di Switzerland pada awal tahun ini mengumumkan bahawa lebih AS$4 bilion wang dalam 1MDB mungkin telah digelapkan dari dana Malaysia.
Dan di Singapura minggu lepas, pihak berkuasa berkata, mereka sedang bekerjasama dengan penyiasat Swiss untuk menyiasat kemungkinan wujudnya pengubahan wang haram dan kesalahan lain yang berkaitan dengan 1MDB, akhbar The Australian pula melaporkan pegawai Singapura sebagai berkata. Para pegawai Singapura telah menyoal kira-kira 40 bank dalam siasatan mereka, termasuk dua bank terbesar di Australia, iaitu ANZ dan NAB.
Pada Jumaat, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) - bank pusat negara itu - mengeluarkan kenyataan sebagai respons kepada laporan dalam The Australian.
Pihak berkuasa itu berkata ia telah "menjalankan kajian menyeluruh pelbagai transaksi dan juga dana yang mengalir melalui sistem perbankan negara. MAS telah meminta beberapa institusi kewangan untuk memberi maklumat berkaitan dengan kajian. "
Pada Februari, bank pusat Singapura mengumumkan bahawa ia telah merampas "sejumlah besar" akaun bank atas kemungkinan terdapat pengubahan wang haram dan kesalahan lain yang berkaitan dengan 1MDB.
Selain siasatan di Amerika Syarikat, UAE, Luxembourg, Switzerland dan Singapura, siasatan keatas urus niaga antarabangsa melibatkan dana berkaitan dengan Malaysia telah dilancarkan di Britain dan Hong Kong.