1MDB Diberi Tempoh Lima Hari Bayar AS$600 Juta Selepas Terlepas Tarikh Akhir

Ray Sherman
2017.08.01
Kuala Lumpur
170801-my-1mdb620.jpeg Papan iklan syarikat pelaburan bermasalah 1MDB berhampiran mercu tanda Malaysia, Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. 3 Julai 2015.
AFP

Dana pelaburan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal membayar AS$600 juta (RM2.58 billion) kepada sebuah firma yang berpangkalan di Abu Dhabi dan diberi tempoh lima hari untuk “mejelaskan” bayaran tersebut, kenyataan Bursa Saham London berkata pada Selasa.

Syarikat dana negara pada Selasa terlepas membayar International Petroleum Investment Co. (IPIC) pada tarikh akhir, iaitu tengah malam waktu New York atau tengahari waktu Malaysia seperti yang telah ditetapkan dalam penyelesaian antara IPIC dan 1MDB pada 11 Mei, 2017.

“Di bawah penyelesaian itu, terdapat tempoh lima hari waktu kerja bagi MOF Inc, anak syarikat Kementerian Kewangan dan 1MDB untuk menjelaskan pembayaran berkenaan, kedua-dua syarikat itu tertakluk kepada obligasi tambahan terhadap IPIC dan Aabar,” demikian kata  IPIC kepada Bursa Saham London pada Selasa.

IPIC pada awal tahun ini telah bergabung dengan Mubadala Development Co, sebuah lagi firma dana pelaburan berpangkalan di Abu Dhabi. Aabar Investments PJS (Aabar) merupakan anak syarikat IPIC.

Dana kendalian kerajaan Malaysia itu, yang mengalami masalah kewangan, kini berdepan dakwaan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara selain terikat dengan dakwaan rasuah yang membelenggui Perdana Menteri Najib Razak, yang telah menafikan sebarang salah laku.

Pembayaran keseluruhan AS$1.2 bilion (RM5.2 bilion) merupakan sebahagian daripada keputusan timbang tara bagi menyelesaikan pinjaman yang gagal dilunaskan oleh dana itu, menurut pengumuman bursa itu pada April lepas.

1MDB ketika itu diberitahu untuk membayar IPIC dalam dua ansuran iaitu sebanyak AS$600 juta (RM2.6 bilion) pada 31 Julai dan 31 Dis.

1MDB gagal membayar bon bernilai AS$1.75 bilion selepas tidak membuat pembayaran faedah sebanyak AS$50 juta pada April 2016, lapor Agence France-Presse. Dua bulan kemudian, Abu Dhabi mengumumkan ia cuba mendapatkan pembayaran sebanyak AS$6.5 bilion melalui prosiding timbang tara antarabangsa.

Najib menerima penyelesaian itu.

"Kerajaan gembira bahawa IPIC dan 1MDB telah menyelesaikan masalah mereka secara baik," kata Setiausaha Akhbar Perdana Menteri itu, Tengku Sarifudin Tengku Ahmad dalam satu kenyataan pada ketika itu.

1MDB menganggap penyelesaian dan usaha mengeluarkan dana pelaburan secara tunai adalah bahagian utama dalam apa yang disebut sebagai program rasionalisasi, yang kini dalam peringkat akhir. Tahun lalu, CNBC melaporkan bahawa program rasionalisasi bagi menjual aset-aset telah dilancarkan pada Mei 2015 untuk mengurangkan beban hutang 1MDB, yang telah meningkat kepada AS$11 bilion (RM42 bilion).

Tunggu dana sewajarnya


1MDB dalam satu kenyataan pada Selasa berkata syarikat itu tidak dapat membuat bayaran seperti dijadualkan pada Selasa kerana sedang menunggu dana yang sewajarnya.

“Kesemua bayaran dari 1MDB kepada IPIC akan dilakukan menggunakan wang yang dikumpul melalui pelan rasionalisasi 1MDB.

“1MDB masih lagi menunggu dana yang sepatutnya diterima pada Julai 2017. Berikutan keperluan mendapatkan kelulusan kawal selia tambahan, penerimaan dana itu telah ditangguhkan kepada Ogos, 2017,” kata syarikat dana negara itu dalam satu kenyataan.

1MDB juga berkata ia telah memaklumkan secara bertulis kepada IPIC mengenai komitmen syarikat tersebut dalam memenuhi obligasi yang dijadualkan pada 31 Julai 2017 kepada Ogos.

Namun, 1MDB tidak memberitahu tarikh spesifik pada bulan Ogos serta sumber dana tersebut.

Khairudin Hassan, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan serta antara individu pertama yang membangkitkan isu 1MDB, berkata rakyat Malaysia perlu menyoal Najib mengapa syarikat itu gagal melunaskan sebahagian hutang tersebut sebelum tarikh akhir.

“Selama ini Najib Razak berkata syarikat 1MDB tiada masalah. Kononnya syarikat milik kementerian kewangan seratus peratus berada di landasan betul,” katanya dalam satu kenyataan kepada BeritaBenar.

Tambahnya, jika dana itu berada di landasan betul, Kementerian Kewangan serta 1MDB tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk melunaskan hutang seperti mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada 31 Julai.

Persetujuan timbang tara yang dicapai di antara 1MDB dan firma Emiriah Arab Bersatu itu tidak kelihatan mempunyai kaitan dengan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat atau laporan yang mendakwa Najib menerima hampir AS$700 juta dalam akaun peribadi daripada dana 1MDB sebelum pilihan raya 2013. Najib telah dikenal pasti sebagai “Pegawai Rasmi Malaysia 1” turut dinamakan berpuluh-puluh kali dalam tuntutan mahkamah DOJ itu.

Tahun lepas, Peguam Negara Malaysia Apandi Ali membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku dan Najib telah menafikan mengambil sebarang wang berkaitan 1MDB untuk kepentingan peribadi. Apandi tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai penyelesaian Isnin itu.

Tiada siapa yang didakwa di mahkamah Malaysia berhubung skandal 1MDB itu, tetapi lapan orang telah dihukum dengan dua bank telah ditutup di negara jiran, Singapura berkaitan isu itu.

Pada bulan Jun, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah mempergiatkan usaha bagi menyita beberapa aset, termasuk seutas kalung berlian milik isteri Perdana Menteri yang didakwa telah dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada dana milik negara Malaysia, demikian menurut saman yang  difailkan di sebuah mahkamah di California.

Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles baru-baru ini, Jabatan Keadilan (DOJ) berusaha mendapatkan semula aset bernilai kira-kira AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa telah dicuri oleh ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

Kira-kira setahun lepas, Amerika Syarikat telah memfailkan saman untuk “merampas dan mendapatkan semula” beberapa aset bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.2 bilion) berkaitan skandal 1MDB yang disifatkannya sebagai satu konspirasi global bagi pengubahan dana yang telah dicuri.

Pegawai Jabatan Keadilan AS berkata sejumlah AS$4.5 bilion (RM19.2 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB. Ia tidak menamakan Najib dalam kedua-dua saman namun para pegawai kerajaan Malaysia dan AS sebelum ini telah mengesahkan bahawa “Malaysian Official 1” (Pegawai Malaysia Pertama) yang disebut dalam dokumen mahkamah merujuk kepada perdana menteri Najib.


Hata Wahari turut membantu untuk laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.