Singapura Kenakan Larangan Ke atas Dua Individu Berkait 1MDB
2017.11.01
Kuala Lumpur

Singapura pada Rabu melarang dua lagi individu, berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), daripada mengambil bahagian dalam kegiatan pengurusan atau memberi nasihat kewangan.
Dalam satu kenyataan, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata, dua individu tersebut, iaitu Kelvin Ang Wee Keng, dan Lee Chee Waiy, masing-masing dikenakan larangan selama enam tahun, bermula pada 30 Oktober lalu.
Ekoran itu, individu yang dilarang oleh agensi penguasa negara itu daripada terlibat dalam industri kewangan negara berkenaan, yang mempunyai hubung kait dengan 1MDB, kini berjumlah enam orang.
Kelvin Ang, seorang petugas dengan Maybank Kim Eng Securities Pte, didenda sebanyak S$9,000 (RM27,974) pada Mei lalu, selepas dia mengaku membuat pembayaran korup kepada Lee yang bekerja di NRA Capital Pte, untuk mempercepatkan persiapan sebuah laporan penilaian berkaitan dengan PetroSaudi Oil Services Limited.
Menurut MAS, ia juga mahu mengenakan larangan selama-lamanya ke atas Yeo Jia Wei, seorang bekas perancangan kewangan dengan bank BSI, yang pada Julai lalu dikenakan hukuman penjara selama 54 bulan atas pelbagai tuduhan termasuk melabur di dalam wang haram dan menipu bekas majikannya.
Dalam kenyataan tersebut, Ong Chong Tee, timbalan pengarah pengurusan bahagian seliaan kewangan, berkata bahawa MAS mahu golongan profesional dalam industri perkhidmatan kewangan untuk mendokong standard integriti yang tinggi dan perlakuan yang betul.
"Mereka yang gagal mencapai standard ini akan diambil tindakan tegas, bagi melindungi kepercayaan awam terhadap institusi kewangan, serta menjaga reputasi Singapura sebagai pusat kewangan yang bersih," katanya.
Setakat ini, Singapura telah mengambil beberapa langkah terhadap pihak yang terbabit dalam skandal 1MDB, termasuk menutup dua cawangan bank Swiss, merampas aset bernilai ratusan juta dan mensabit beberapa orang individu. Pada Mac lalu juga, MAS melarang bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner, daripada industri sekuriti, selama 10 tahun, atas pembabitannya dalam skandal tersebut.
Dana pelaburan 1MDB yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah disiasat di sekurang-kurangnya enam buah negara. Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat dana pelaburan itu telah menafikan sebarang salah laku sejak Wall Street Journal melaporkan mengenainya pada Julai 2015.
Hampir AS$700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.
Tiada pendakwaan di Malaysia
Sementara itu, di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Switzerland dan juga Amerika Syarikat.
Pada Jun lepas, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah mempergiatkan usaha bagi menyita beberapa aset, termasuk seutas kalung berlian milik isteri Perdana Menteri yang didakwa telah dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada dana milik negara Malaysia, demikian menurut saman yang difailkan di sebuah mahkamah di California.
Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles itu, Jabatan Keadilan berusaha mendapatkan semula aset bernilai kira-kira USD540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa telah dicuri oleh ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.
Tahun lalu, Amerika Syarikat telah memfailkan saman untuk “merampas dan mendapatkan semula” beberapa aset bernilai lebih USD1 bilion (RM4.2 bilion) berkaitan skandal 1MDB yang disifatkannya sebagai satu konspirasi global bagi pengubahan dana yang telah dicuri.
Pegawai Jabatan Keadilan AS berkata sejumlah USD4.5 bilion (RM19.2 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB. Ia tidak menamakan Najib dalam kedua-dua saman namun para pegawai kerajaan Malaysia dan AS sebelum ini telah mengesahkan bahawa “Malaysian Official 1” (Pegawai Malaysia Pertama) yang disebut dalam dokumen mahkamah merujuk kepada perdana menteri berkenaan.
Peguam Negara Malaysia Apandi Ali, sebelum ini telah menyatakan bahawa dana yang disalurkan ke dalam akaun Najib adalah satu sumbangan politik dari Arab Saudi dan kebanyakan wang tersebut telahpun dikembalikan.
Apandi pada Selasa memberitahu sebuah sidang media bahawa siasatan semula terhadap 1MDB perlu dibuat kerana masih kekurangan bukti.
“Kertas siasatan mengenai 1MDB sentiasa dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AG), namun, terdapat bukti yang tidak mencukupi dalam beberapa perkara tertentu. Apabila kertas siasatan dirujuk kepada kami, kami menelitinya. Kami dapati wujudnya kekurangan bukti. Oleh itu, kami arahkan siasatan dijalankan melibatkan beberapa perkara tertentu.
"Bagaimanapun saya tidak dapat mendedahkan perkara itu kerana siasatan masih dijalankan.
"Kira-kira 20 hingga 25 peratus daripada kertas siasatan perlu dikaji semula," Apandi dilaporkan berkata oleh media Malaysia.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini