Mahkamah Tertinggi Malaysia Tolak Permohonan Cabar Keputusan Peguam Negara

Hadi Azmi & Hata Wahari
2017.07.28
Kuala Lumpur
najib.jpeg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak beredar keluar dari pejabatnya di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur selepas Peguam Negaranya membersihkan beliau daripada sebarang salah laku setelah $681 juta dimasukkan dalam akaun bank peribadinya, 27 Januari 2016.
AFP

Mahkamah Tertinggi Malaysia pada Jumaat menolak permohonan badan peguam tertinggi Malaysia dan dua individu lain, yang meminta kehakiman menyemak semula keputusan Peguam Negara untuk menutup siasatan dan tidak mendakwa Perdana Menteri Najib Razak dalam kes pertuduhan rasuah melibatkan dana RM2.6 bilion.

Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan di Putrajaya itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara Malaysia Md. Raus Sharif yang bersidang bersama dua lagi panel hakim, iaitu Hakim Besar Malaya Ahmad Maarop dan Hakim Mahkamah Persekutuan Azahar Mohamed.

Panel tiga hakim itu membuat keputusan menolak permohonan yang dikemukakan oleh Badan Peguam Malaysia dan dua individu yang lain, untuk mencabar keputusan Peguam Negara berhubung pemberhentian penyiasatan kes RM2.6 bilion [AS$681 juta] yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Dalam penghakiman itu, Md Raus berkata budi bicara Peguam Negara Apandi Ali termaktub di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang yang tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah.

“Mahkamah berpendirian, persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pemohon-pemohon sudah dijawab dan dimuktamadkan oleh keputusan terdahulu,” katanya.

Ketiga-tiga pemohon, iaitu Majlis Peguam Malaysia, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Khairuddin Abu Hassan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim telah meminta kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 4 April lalu dan mahkamah tinggi yang menolak rayuan mereka untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Kesemua pemohon itu telah memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan memohon mahkamah itu untuk mengetepikan keputusan Apandi Ali, yang menamatkan siasatan peringkat nasional terhadap skandal yang membelenggu Najib sejak 2015.

Pada 26 Januari tahun lepas, Apandi bertindak membersihkan nama perdana menteri daripada siasatan salah laku kewangan melibatkan SRC International, sebuah syarikat milik kerajaan yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan turut mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup semua siasatan terhadap Najib.

Najib berhadapan dengan dakwaan rasuah dan salah urus dana negara yang dibebani hutang dan pendedahan wang derma yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Peguam Negara Malaysia itu juga memutuskan bahawa pemindahan wang ke akaun Najib adalah hadiah daripada keluarga diraja Arab Saudi, sambil berkata tiada tindakan lanjut perlu diambil terhadap perdana menteri itu.

Najib menegaskan beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.

Tolak permohonan tarik diri

Semasa prosiding awal mahkamah, Md Raus juga telah menolak permohonan ketiga-tiga pihak itu untuk beliau menarik diri dari mendengar permohonan tersebut atas kontroversi pelantikannya sebagai hakim tertinggi Malaysia.

“Tiada ada merit untuk saya menarik diri,"kata Md Raus yang dilantik semula kepada jawatan itu baru-baru ini yang didakwa oleh penggubal undang-undang, pakar undang-undang dan para pengkritik sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Dalam hujahan, peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh berkata Apandi Ali telah menerima tiga kertas siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan selepas meneliti kertas siasatan berkenaan, Apandi telah membuat keputusan berdasarkan fakta kertas siasatan untuk tidak membawa sebarang tindakan terhadap Najib.

Sementara itu, Tommy Thomas yang mewakili Majlis Peguam Malaysia dalam hujahannya berkata siasatan terhadap 1MDB diadakan di beberapa negara serata dunia seperti di Singapura dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah memfailkan sitaan, tetapi Apandi pula tidak meneruskan siasatan, sekaligus menutup kes tersebut.

"Namun di Malaysia, AG berkata “saya tutup siasatan”. Terdapat pendakwaan di banyak negara, kecuali di sini,” katanya.

Khairuddin pula semasa dihubungi BeritaBenar dari Washington berkata, walaupun beliau amat kecewa dengan keputusan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan itu, beliau akan tetap meneruskan perjuangan melalui kuasa rakyat sehingga timbulnya kebenaran.

“Keputusan penghakiman mahkamah pagi ini sudah diduga dan sama sekali tidak memeranjatkan, saya tetap menghormati keluruhan perlembagaan dan undang-undang dan kuasa terbaik untuk selamatkan Malaysia adalalah kuasa rakyat,” katanya semasa dihubungi pada Jumaat.

Kertas pertuduhan Najib

Sementara itu, peguam yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang mewakili Zaid Ibrahim berkata, mahkamah perlu melihat dakwaan wujudnya kertas pertuduhan terhadap Najib berkaitan siasatan 1MDB setelah dua individu ditahan polis berhubung perkara itu.

Katanya, kertas pertuduhan itu telah tersebar dan laporan telah dibuat di dalam laman berita United Kingdom Sarawak Report oleh pengasasnya Clare Rewcastle-Brown.

Apandi sebelum ini dilaporkan berkata dakwaan kertas pertuduhan terhadap Najib yang diterbitkan oleh Sarawak Report yang tersebar luas di laman media sosial adalah palsu.

Apandi juga mempertahankan Najib sambil menyatakan bahawa Jabatan Keadilan AS telah menghina perdana menteri.

“Selepas semakan, kami mendapati tiada sebarang jenayah dilakukan,” kata Apandi sambil menambah bahawa pihak polis Malaysia masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Peguam Negara Malaysia itu turut meluahkan kekecewaannya kerana Jabatan Keadilan AS gagal untuk “memaklumkan atau memberitahu” pihaknya berhubung saman terbaharu itu.

Di Singapura pula, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sebelum ini mengarahkan penutupan BSI Bank dan Falcon Bank ekoran kegagalan pengurusan kanan mengawal kegiatan pengubahan Wang Haram dan salah laku. Penguasa juga  mengeluarkan perintah larangan selama 10 tahun sehingga seumur hidup ke atas empat bekas pekerja institusi kewangan terbabit dalam transaksi berkaitan 1MDB.

Selain itu juga, ia telah mengenakan penalti kewangan berjumlah S$29.1 juta ke atas lapan buah bank, iaitu BSI Bank, Falcon Bank, DBS, UBS AG, Standard Chartered Bank, Coutts, Credit Suisse dan UOB kerana melanggar pelbagai peraturan AML.

“Lapan individu termasuk Yeo telah didakwa di mahkamah serta dikenakan hukuman penjara dari dua minggu hingga 54 bulan penjara dan telah dikenakan sekatan daripada melakukan sebarang perkhidmatan kewangan di Singapura dalam tempoh sepuluh tahun sehingga seumur hidup,” menurut kenyataan MAS.

Sementara itu, di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.