Malaysia: 1MDB Gagal Dalam Pembayaran Bon
2016.04.26
Washington DC

Dana pelaburan kerajaan Malaysia dibebani hutang, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang dibelenggui skandal rasuah menyelubungi Perdana Menteri Najib Razak, mengumumkan pada Selasa bahawa ia telah lewat membuat pembayaran bagi beberapa bon.
Kelewatan pembayaran itu merupakan satu lagi tamparan kepada imej Malaysia dalam pasaran modal, dengan mata wang ringgit negara itu jatuh buat hari keempat dalam tempoh kerugian terpanjang sejak November lalu dan saham menjunam ke paras rendah selama enam minggu.
Kelewatan melunaskan pembayaran bon $1.75 bilion yang dikeluarkan 1MDB pada 2012 berpunca daripada keenganan pembayaran faedah AS$50 juta di tengah-tengah pertikaiannya dengan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC), penjamin bersama bon itu.
1MDB berkata dalam satu kenyataan bahawa kelewatan pembayaran itu telah menyebabkan berlakunya kegagalan pembayaran silang bagi hutang dana sebanyak hampir dua bilion, termasuk pinjaman yang dijamin oleh kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, ia berkata bahawa kelewatan pembayaran silang itu adalah "terhad."
Pemberi penarafan kredit berkata kerajaan Malaysia mempunyai keupayaan untuk membayar sebarang hutang yang dijaminnya.
Kumpulan berita kewangan Bloomberg memetik Yee Farn Phua, seorang penganalisis agensi penarafan Standard & Poor di Singapura, sebagai berkata bahawa kelewatan pembayaran 1MDB boleh mendorong pemegang bon lain untuk menuntut bayaran lebih awal daripada yang dijadualkan.
Tetapi, katanya, beliau menjangka kerajaan Malaysia dapat melakukan yang terbaik terhadap hutang yang mendapat jaminan atau sokongannya.
"1MDB percaya bahawa pihak-pihak berkenaan dan pasaran kewangan secara umumnya akan memahami kelewatan pembayaran ini sebagai sangat khusus kepada pertikaian dengan IPIC dan bukan disebabkan oleh ketidakupayaan untuk membuat pembayaran mengikut masanya," kata 1MDB dalam kenyataannya.
1MDB terperangkap dalam hutang lebih AS $11 bilion. Ia kini dalam siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan penyelewengan di Malaysia serta di enam negara lain.
Para penyiasat global berkata mereka sedang menyiasat tentang kemungkinan penyelewengan kira-kira AS$6 bilion, lapor Wall Street Journal yang memetik sumber, yang mengetahui tentang siasatan di sebuah negara, sebagai berkata.
The Wall Street Journal, yang memetik siasatan Malaysia dan global, telah melaporkan tentang bagaimana penyiasat mendapati lebih daripada AS $ 1 bilion telah dipindahkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib, dengan majoriti daripadanya adalah daripada 1MDB dan bergerak melalui jaringan entiti perantara.
Najib telah menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang untuk kepentingan peribadi.