Malaysia Rancang Ekstradisi Bekas Pegawai Tinggi Bank Hadapi Perbicaraan 1MDB Di Amerika Syarikat
2018.11.02
Kuala Lumpur, Malaysia

Seorang bekas pegawai tinggi bank, yang didakwa bersekongkol dengan pembiaya kewangan buruan Jho Low untuk menggelapkan berbilion dollar daripada dana pembangunan negara 1MDB, ditahan di Malaysia dan akan diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi perbicaraan kes berkenaan, kata pegawai kanan polis pada Jumaat.
Ng Chong Hwa ( juga dikenali sebagai Roger Ng), yang telah dikenal pasti sebagai bekas pegawai tinggi Goldman Sachs, ditangkap dalam satu operasi pada Khamis, sehari selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
"Saya boleh mengesahkan bahawa kita telah menangkap lelaki itu [Ng] semalam. Dia akan diekstradisi, tetapi belum ada tarikh yang ditetapkan lagi. Proses ini masih dijalankan," kata Amar Singh Ishar Singh, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia.
Pada Khamis di New York, kerajaan Amerika Syarikat mengemukakan tiga pertuduhan ke atas Ng dan Jho Low (juga dikenali sebagai Low Taek Jho), dan mengumumkan bahawa bekas pegawai tinggi Goldman Sach, Tim Leissner, telah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jurucakap Jho Low, yang masih menyembunyikan diri dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia, menyiarkan satu kenyataan bahawa pembiaya kewangan itu tidak bersalah dalam laman web beliau.
Sumber yang enggan dikenali memberitahu BeritaBenar bahawa Ng ditahan di lokap balai polis Jinjang tengah di pinggir Kuala Lumpur dan dijangka disoal siasat sebelum diekstradisi bagi menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.
"Unit Jenayah Komersial akan mengambil keterangannya dahulu diikuti Unit Anti Pengubahan Wang Haram berhubung siasatan 1MDB," kata sumber itu.
Kenyataan Jho Low
Kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak Jho Low menyatakan bahawa beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi di 1MDB dan tidak pernah bekerja dengan Goldman Sachs.
"Malah, tawaran bon yang diperincikan dalam pertuduhan itu telah dilakukan secara terbuka dan sah antara institusi kewangan dan entiti kerajaan yang berpengalaman dan dikawal selia dengan baik,” kata kenyataan itu yang disiarkan di laman web Jho Low.
Laman web itu dilancarkan pada September oleh Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs, sebuah firma perundingan perhubungan awam Australia yang mewakili Jho Low, untuk "memberikan maklumat kepada orang awam" melalui para peguamnya, kata seorang eksekutif kanak syarikat itu kepada Reuters pada ketika itu.
Dalam dokumen pertuduhannya, Jabatan Keadilan AS (DOJ) tidak menyatakan nama Goldman Sachs tetapi mendakwa bahawa Ng dan Leissner menyembunyikan tentang hubungan mereka sebagai rakan kongsi Jho Low daripada institusi kewangan, setelah pegawai-pegawai pematuhan dan risikan enggan memperakui hubungan perniagaan itu berikutan kebimbangan mengenai sumber kekayaannya.
Kenyataan daripada jurucakap Jho Low menyatakan bahawa pertuduhan itu hanya mengandungi dakwaan semata-mata dan beliau tidak harus dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
"Encik Low hanya meminta orang ramai supaya sentiasa berfikiran terbuka mengenai kes ini sehingga kesemua bukti diperjelaskan, yang beliau percaya, akan menyangkal kesemua pertuduhan itu terhadapnya."
Dalam pertuduhan itu AS mendakwa bahawa Jho Low, Ng, Leissner dan lain-lain telah berkomplot untuk menyalahgunakan lebih daripada $2.7 bilion (RM11.28 bilion) daripada 1MBD, yang ditubuhkan pada 2009 untuk membiayai program pembangunan Malaysia.
Suspek-supek "berkomplot untuk mengubah wang itu melalui sistem kewangan AS bagi membayar rasuah kepada para pegawai asing dan untuk faedah peribadi diri sendiri dan sanak saudara mereka," kata DOJ dalam satu kenyataan media bagi mengumumkan tentang pendakwaan tersebut.
Beberapa bulan lalu, bekas Perdana Menteri Najb Razak, yang mengasaskan dana itu, dan isterinya Rosmah Mansor, telah ditangkap oleh pihak berkuasa di Malaysia dan didakwa dengan pertuduhan rasuah yang berkaitan dengan 1MDB.
Selain itu, dokumen pertuduhan AS itu menyatakan bahawa Pegawai Malaysia No.1 (MO1) dan isterinya "Madam" turut menerima pembayaran. MO1, yang telah disenaraikan dalam dokumen AS sebelum ini, telah dikenal pasti oleh sumber sebagai Najib.
Pada pilihan raya umum Mei lalu, para pengundi menolak parti Barisan Nasional pimpinan Najib, yang memaksa beliau melepaskan jawatan perdana menteri.
Pada Jumaat, kerajaan baru yang diketuai Perdana Menteri Mahathir Mohamad membentangkan belanjawan Persekutuan pertamanya – dengan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM314.5 bilion (AS$75.5 bilion) bagi 2019 yang meningkat berbanding bajet 2018 yang berjumlah RM290.4 bilion ($69.7 bilion).
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata peruntukan belanjawan itu lebih tinggi kerana kerajaan perlu membayar hutang-hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan Najib. Menteri itu menarik perhatian bahawa kerajaan sebelum ini telah membayar sebahagian daripada hutang 1MDB beberapa hari menjelangnya pilihan raya.
"Kami juga mendapati bahawa kami perlu membayar RM43.9 bilion ($10.5 bilion) lagi untuk menyelesaikan kesemua hutang 1MDB," kata Lim.
Mahathir pula berkata, Malaysia dan Amerika Syarikat mahu orang yang menjadi buruan itu ditangkap.
"Mereka mahu mendapatkan Jho Low dan membicarakannya, dan sudah tentu Jho Low kini tidak kelihatan di mana-mana. Kita tidak tahu di mana dia berada, "kata Mahathir.
"Kami juga mahu menangkapnya kerana kami mempunyai beberapa pertuduhan terhadapnya."