Malaysia: 1MDB Setuju Bayar $1.2 Bilion Kepada IPIC Abu Dhabi
2017.04.24
Washington DC

Dana pelaburan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan membayar AS$1.2 bilion (RM5.2 bilion) kepada sebuah firma yang berpangkalan di Abu Dhabi sebagai sebahagian daripada keputusan timbang tara bagi menyelesaikan pinjaman yang gagal dilunaskan pada tahun lepas, kata Bursa Saham London pada Isnin.
1MDB akan membayar International Petroleum Investment Co. (IPIC) dalam dua ansuran iaitu sebanyak $600 juta (RM2.6 bilion) pada 31 Julai dan 31 Dis mengikut syarat-syarat perjanjian yang bermula tahun lepas di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.
Dana kendalian kerajaan Malaysia itu, yang mengalami masalah kewangan, kini berdepan dakwaan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara selain terikat dengan dakwaan rasuah yang membelenggui Perdana Menteri Najib Razak, yang telah menafikan sebarang salah laku.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, 1MDB berkata ia akan mengeluarkan secara tunai dana pelaburan bagi membuat pembayaran itu dan sudah pun mempunyai $50 juta (RM219 juta). Selain daripada itu, 1MDB berkata, ia akan memikul tanggungjawab bagi pembayaran dua bon yang bernilai $1.75 bilion (RM7.7 bilion) yang akan berakhir pada 2022.
Tetapi, menurut seorang bekas ahli parti yang diterajui Najib, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang pergi ke Switzerland, Britain, Perancis dan Hong Kong untuk menarik perhatian berhubung kegiatan rasuah dan salah urus kewangan 1MDB, penyelesaian itu menunjukkan bahawa pembayar cukai yang akan menanggung pembayaran pinjaman itu kepada firma tersebut di Emiriah Arab Bersatu.
"Najib Razak berkata ia tidak akan melibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia, tetapi nampaknya rakyat yang akan membayar hutang-hutang 1MDB," kata Khairuddin Abu Hassan kepada BeritaBenar.
1MDB gagal membayar bon bernilai $1.75 bilion selepas tidak membuat pembayaran faedah sebanyak $50 juta pada April 2016, lapor Agence France-Presse. Dua bulan kemudian, Abu Dhabi mengumumkan ia cuba mendapatkan pembayaran sebanyak $6.5 bilion melalui prosiding timbang tara antarabangsa.
Perdana Menteri menerima penyelesaian itu.
"Kerajaan gembira bahawa IPIC dan 1MDB telah menyelesaikan perbezaan mereka secara baik," kata Setiausaha Akhbar beliau Tengku Sarifudin dalam satu kenyataan pada Isnin.
1MDB menganggap penyelesaian dan usaha mengeluarkan dana pelaburan secara tunai adalah bahagian utama dalam apa yang disebut sebagai program rasionalisasi, yang kini dalam peringkat akhir. Tahun lalu, CNBC melaporkan bahawa program rasionalisasi bagi menjual aset-aset telah dilancarkan pada Mei 2015 untuk mengurangkan beban hutang 1MDB, yang telah meningkat kepada $11 bilion (RM42 bilion).
Penyelesaian dipersoalkan
Persetujuan timbang tara yang dicapai di antara 1MDB dan firma Emiriah Arab Bersatu itu tidak kelihatan berkaitan dengan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang bertujuan mendapatkan kembali aset-aset bernilai lebih $1 bilion yang dibeli dengan wang yang dicuri daripada 1MDB, atau laporan yang mendakwa Najib menerima hampir $700 juta dalam akaun peribadi daripada dana 1MDB sebelum pilihan raya 2013. Najib telah dikenal pasti sebagai Pegawai Rasmi Malaysia 1 yang turut dinamakan berpuluh-puluh kali dalam tuntutan mahkamah DOJ itu.
Peguam Malaysia Mohamad Haniff Khatri Abdulla, yang lantang bersuara mengenai 1MDB, memberitahu BeritaBenar bahawa "semua agensi luar negara perlu meningkatkan usaha mereka" untuk membawa penyiasatan pengubahan wang haram 1MDB ke mahkamah negara masing-masing.
Tahun lepas, Peguam Negara Malaysia Apandi Ali membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku dan Najib telah menafikan mengambil sebarang wang berkaitan 1MDB untuk kepentingan peribadi. Apandi tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai penyelesaian Isnin itu.
Tiada siapa yang didakwa di mahkamah Malaysia berhubung skandal 1MDB itu, tetapi sekurang-kurangnya lima orang telah didakwa dan dua bank ditutup di negara jiran, Singapura berkaitan isu itu.
Sementara itu, seorang Ahli Parlimen pembangkang politik Malaysia yang mengeluarkan kenyataan lewat Isnin berkata, bahawa penyelesaian itu akan "hanya memberi manfaat kepoada Pegawai Rasmi Malaysia 1 yang terkenal, Perdana Menteri Najib Razak dan rakan-rakannya."
"Penyelesaian itu pada dasarnya membolehkan Najib Razak untuk mengelakkan satu perbicaraan yang bakal mendedahkan sejumlah besar masalah," kata Wong Chen, Ahli Parlimen yang mewakili Kelana Jaya. "Berbanding untuk keadilan dan penutupan, penyelesaian hari ini sebaliknya akan terus menerapkan budaya rasuah dan bebas daripada tindakan di Malaysia, dengan rakyat yang menjadi mangsanya."
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.