KPN: Polis Serah Laporan Siasatan 1MDB Kepada Peguam Negara

Fadzil Aziz & Anis Natasha
2017.04.12
Kuala Lumpur
170412-my-igp-khalid-620.jpg Ketua Polis DiRaja Malaysia Khalid Abu Bakar semasa bercakap kepada pihak media di Putrajaya, 16 Mac 2017.
AFP

Polis Malaysia pada Rabu mengesahkan laporan kertas siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan seterusnya, demikian menurut Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

"Kita telah pun menyelesaikan siasatan (1MDB) dan mengemukakan kertas siasatan kepada Peguam Negara,” katanya dalam satu sidang media pada Rabu.

Khalid turut memberi jawapan “sudah lama” selepas ditanya bila kertas siasatan itu dihantar kepada Peguam Negara.

Beliau menambah “Kita tidak terlibat dalam kes SRC. Polis terlibat dalam siasatan terhadap 1MDB secara keseluruhannya.

Ketua Polis Negara itu berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai arahan Peguam Negara Apandi Ali kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengakhiri siasatan anak syarikat 1MDB, SRC International.

Apandi seperti dilaporkan oleh portal Malaysiakini pada Selasa memberi komen mengenai wang RM42 juta daripada SRC International yang berada dalam akaun bank peribadi perdana menteri dengan berkata beliau telah mengarahkan SPRM untuk mengakhiri siasatan berkenaan.

“Ini kerana siasatan itu telah berjalan “agak lama” dan beliau menjangkakan ia akan diselesaikan tidak lama lagi,” kata Apandi seperti laporkan oleh media portal itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara itu tidak memberitahu sama ada polis telah mengesyorkan sebarang pendakwaan dalam siasatan 1MDB itu.

Polis Malaysia sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, isu dana 1MDB masih dalam siasatan polis selepas Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporan masing-masing di Parlimen pada 14 April tahun lalu.

Pada Ogos tahun lepas, Khalid memaklumkan pemberita yang pihak Polis telah menyelesaikan siasatan fasa pertama berhubung 1MDB berlandaskan lima syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen.

Katanya, siasatan berkenaan merangkumi penelitian dokumen dan merakam keterangan individu terlibat di dalam negara.

Setakat ini, masih tiada individu di Malaysia yang didakwa berkaitan skandal kewangan terbesar di negara itu.

Lima didakwa di Singapura

Manakala di negara jiran Singapura, lima individu telah didakwa berhubung skandal dana negara Malaysia itu dan pada tahun lepas, dua bank di Singapura, Bank Falcon dan Bank BSI telah kehilangan lesen operasi di Singapura kerana didapati terlibat dalam skandal 1MDB.

Pada Julai tahun lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memfailkan 12 tindakan undang-undang sivil bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang didapati dengan wang 1MDB yang didakwa dicuri.

Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata ini adalah satu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi di negara tersebut. Kertas pertuduhan telah menamakan Jho Low dan anak tiri Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Riza Aziz, diantara mereka yang didakwa terlibat.

Najib telah dikaitkan dengan skandal itu, selepas akhbar antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa hampir AS $700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.

Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku dalam skandal itu.

1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, juga telah menafikan sebarang salah laku.

Dua minggu lepas, Perdana Menteri dalam jawapan bertulisnya kepada sidang Parlimen berkata 1MDB telah menjelaskan kesemua hutang bagi tahun 2015 dan 2016 yang berjumlah kira-kira RM3.84 bilion.

Najib juga memberitahu, susulan daripada itu, syarikat pelaburan dana negara berkenaan  tidak lagi mempunyai sebarang hutang dengan pihak bank atau hutang jangka masa pendek.

Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa hutang yang telah dilangsaikan itu membabitkan RM229.5 juta Kemudahan Kredit Berputar da¬ripada Affin Bank yang dijelaskan sepenuhnya pada 23 November 2015.

Bekas pemimpin PAS terima dana 1MDB

Sementara itu, ahli parlimen Pandan dari Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli memberitahu beliau bakal mendedahkan identiti bekas pemimpin PAS yang didakwa menerima dana 1MDB daripada pemimpin UMNO pada Khamis ini.

Rafizi yang juga Naib Pengerusi PKR berkata pendedahan itu akan dibuat dalam satu sidang media secara langsung di laman Facebook beliau pada jam 1 petang.

“Saya akan menamakan tokoh bekas pimpinan PAS yang menerima dana 1MDB dari akaun peribadi Datuk Seri Najib yang disiasat dalam satu sidang media pada jam 1 petang esok (Khamis, 13 April 2017) yang akan disiarkan secara #FBLive di laman Facebook saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pada hari Jumaat berhubung perkara itu.

Dalam satu kenyataan minggu lepas, Rafizi mendakwa SPRM telah mengesan aliran dana dari 1MDB kepada individu berkenaan dalam satu hasil siastan suruhanjaya itu ke atas isu 1MDB.

PAS sebelum ini telah menafikan kesemua dakwaan berkenaan.

Lantikan baru


Najib yang perlu mengadakan pilihanraya sebelum Jun tahun depan telah menguatkan kedudukannya dengan melantik sepupunya Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Pertahanan sebagai Menteri dengan Tugas-tugas Khas berkuatkuasa serta mereta.

"Pelantikan ini akan membolehkan Hishammuddin menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pertahanan," kata Najib dalam satu kenyataan.

Hishammuddin dalam satu respon memberitahu pelantikan beliau akan bantu meringankan bebanan tugas yang dipikul oleh Najib.

“Pelantikan itu adalah satu penghormatan dan kepercayaan yang saya cukup hargai. Amanah dan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu saya akan dipikul dengan sedaya upaya,” katanya.

Manakala itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan menyokong pelantikan Hishammuddin dan berkata, "Saya menyokong tugas baharu yang diberikan untuk membantu perdana menteri dalam misi dan tugas-tugas khas … yang akan membawa kepada kelicinan pentadbiran kerajaan," kata Ahmad Zahid dalam kenyataan pada Rabu.

Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.