Malaysia Keluar Waran Tangkap Terhadap Bekas Pegawai Tinggi 1MDB

Hadi Azmi
2018.07.19
Kuala Lumpur, Malaysia
Jhow.jpeg Penunjuk perasaan memegang beberapa sepanduk menggambarkan ahli perniagaan yang diburu, Jho Low, sebagai lanun semasa satu perhimpunan di Kuala Lumpur, 14 April, 2018.
AP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] telah mengeluarkan waran tangkap ke atas dua daripada empat bekas pegawai syarikat  dan negara yang dilanda skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad [1MDB], demikian kata sumber agensi itu pada Khamis.

Menurut sumber yang mengesahkan berita itu kepada BeritaBenar berkata, SPRM telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Jasmine Loo Ai Swan yang merupakan pegawai kanan di 1MDB dan juga ke atas bekas pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee. Walaubagaimanapun, masih tidak jelas atas sebab apa waran itu dikeluarkan dan jika keduanya akan disabitkan atau didakwa dimahkamah.

Pada Oktober 2017, Ahmad Zahid Hamidi, yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri menerusi jawapan bertulis di persidangan Parlimen memberitahu dewan bahawa selain Low Teik Jho [lebih dikenali sebagai Jho Low], Interpol turut memburu Jasmine Loo dan Casey Tang selain Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Hubungan Loo dalam skandal antarabangsa itu dikesan buat pertama kali pada Julai 2016 bila namanya disebut di dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat [DOJ] setebal 136 mukasurat sebagai ‘Pegawai 1MDB 3’ yang ‘ berperanan “sebagai pegawai seranta 1MDB dan pengarah eksekutif strategi” dan juga sebagai perantara utama di antara 1MDB dan Goldman berkaitan dengan tiga pengeluaran bon Goldman pada 2012 dan 2013.

Manakala Tang pula dinamakan sebagai ‘Pegawai 1MDB 1’ dalam laporan yang sama dan memulakan kerjaya bersama 1MDB ketika dana itu masih lagi beroperasi dengan nama Terengganu Investment Authority’s (TIA) sebelum bertukar menjadi 1MDB.

Tang bertugas sebagai pengarah eksekutif 1MDB ketika syarikat itu baru diwujudkan sehingga Mac 2011. Beliau disabitkan sebagai individu yang dipercayai menipu bank-bank dan menyembunyikan data-data tertentu dari pengetahuan lembaga pengarah 1MDB untuk membolehkannya memindahkan wang berjumlah AS$700 juta kepada Good Star Ltd, yang dimiliki oleh ahli perniagaan licik Jho Low.

Kedua mereka turut dikehendaki oleh Bank Negara Malaysia pada Julai 2015 bersangkut dengan satu siasatan dibawah Akta Kawalan Pertukaran 1953 berkait dengan siasatan ke atas 1MDB yang berlangsung pada ketika itu sebelum ianya ditutup oleh bekas perdana menteri Najib Razak menerusi bantuan Peguam Negara yang dilantik beliau, Apandi Ali.

Selain dari Loo dan Tang, sumber BeritaBenar turut menyatakan bahawa SPRM sedang menyiapkan waran tangkap ke atas suspek utama dalam skandal 1MDB dan seorang lagi bekas pegawai 1MDB.

Individu itu ialah Tan Kim Loong yang telah menandatangani beberapa akaun bank di luar negara yang telah digunakan untuk memindah wang yang diambil dari 1MDB.

Manakala menurut media tempatan, bekas pegawai 1MDB yang ketiga adalah Geh Choh Heng dikatakan merupakan rakan rapat Jho Low dan keduanya pernah melancarkan kempen hebat untuk Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 13 melalui Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang.

Khabar angin Jho Low ditahan

Pada awal Khamis, media Malaysia mendapat khabar bahawa China telah berjaya menahan Jho Low, tetapi ia ditepis oleh sumber-sumber semasa dihubungi BeritaBenar yang mengatakan maklumat itu hanya disensasikan oleh media tempatan berbahasa Cina.

Low  yang sebelum ini, dilaporkan berada di Hong Kong didapati telah melarikan diri ke negara jiran Macau sejurus selepas pasukan Polis Di Raja Malaysia tiba di Hong Kong.

Ahli perniagaan tersebut sekali lagi melarikan diri dari Macau pada 11 Julai setelah mengetahui yang beliau sedang diburu oleh pihak berkuasa Malaysia.

Low dikatakan mengguna pasport yang dikeluarkan oleh negara St. Kitts dan Nevis selepas pasport antarabangsanya yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia dibatalkan pada 4 Julai lalu.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen pada Khamis, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata beliau berharap agar Low ditangkap segera dan dibawa balik ke Malaysia.

Katanya, walaupun Malaysia tiada perjanjian dengan China, tidak bermakna Low tidak boleh dibawa balik.

Perdana Menteri Malaysia yang baru minggu lepas meraikan hari jadinya yang ke 93 sedang merancang perjalanan ke China akhir bulan ini untuk berbincang dengan kerajaan republik itu tentang terma perjanjian yang dipersetujui oleh kerajaan Malaysia yang lalu dengan Beijing.

Pada Rabu, SPRM telah menyerbu dua syarikat yang bertanggungjawab terhadap tiga projek mega yang ditunjangi oleh syarikat dari China termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur dan dua projek mega saluran paip di Sabah dan Kedah yang dikurniakan kepada syarikat dari China bernama China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.