Malaysia Dapat Semula RM45.93 Juta Wang Seleweng 1MDB
2018.09.10
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia mendapat semula wang berjumlah RM45.93 juta [S$15.3 juta] yang diselewengkan daripada dana negara 1Malaysia Development Berhad [1MDB] dan anak syarikatnya SRC International, apabila Mahkamah Singapura meluluskan perintah pelupusannya, demikian menurut penguamcara kerajaan Malaysia pada Isnin.
Peguamcara Malaysia dari Firma Tan Rajah & Cheah dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur berkata kesemua wang yang diperolehi itu adalah dalam pelbagai mata wang bernilai S$15.3 juta.
“Kesemua wang ini sedang dipindahkan ke akaun bank pemerolehan khas 1MDB di Kuala Lumpur, yang diwujudkan khas bagi tujuan menerima dana yang diselewengkan itu” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh firma penguamcara yang turut mewakili 1MDB dan SRC selain Kerajaan Malaysia.
Firma guaman itu juga berkata jumlah S$15.3 juta yang diperolehi itu merupakan fasa pertama dalam usaha berterusan untuk mendapatkan kembali dana tersebut dengan proses pemerolehan masih diteruskan dan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat pada masa yang sesuai.
"Berjuta-juta lagi (wang) dijangka diperoleh semula bila tiba masanya," menurut kenyataan itu.
Firma berkenaan menegaskan oleh sebab proses siasatan dan pemerolehan sedang berjalan, adalah tidak wajar untuk mendedahkan butiran lanjut pada peringkat ini.
Sambut baik pemulangan
Sementara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyambut baik keputusan Mahkamah Singapura itu yang memulangkan wang yang telah diseleweng daripada 1MDB dari negara jiran berkenaan.
“Saya harap ini permulaan bagi usaha-usaha yang akan datang. Lagipun, jumlah wang yang akan dikembalikan berhubung 1MDB ini hanyalah sebahagian kecil sahaja.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Peguam Negara kerana daya usahanya kini membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Sementara itu, agensi berita Bernama melaporkan bahawa bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang telah menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi berhubung siasatan skandal 1MDB.
Ambrin yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara di Kementerian Kewangan, berkata beliau akan memberi kerjasama penuh berhubung kes terbabit.
"Laporan (Laporan Ketua Audit Negara) itu juga telah digunakan sebagai asas kepada siasatan lanjut (skandal 1MDB). Kalau kerajaan bawa kes ke mahkamah dan saya dipanggil menjadi saksi, saya akan bekerjasama," katanya.
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad sebelum ini, berkata bahawa kerajaan baru negara itu sedang berusaha untuk mendapatkan kembali kira-kira AS$4.5 bilion yang dianggarkan hilang dari 1MDB yang diasaskan oleh Najib Razak selepas dilantik menjadi perdana menteri pada 2009.
Najib, yang juga bekas menteri kewangan, mengasaskan 1MDB sebagai dana kekayaan negara dengan tujuan mendapatkan projek-projek yang akan memanfaatkan rakyat Malaysia.
Selepas Pakatan Harapan, sebuah pakatan yang diketuai oleh Mahathir, mengalahkan gabungan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO untuk mengambil alih kepimpinan berikutan pilihan raya umum Mei lalu, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, telah dipanggil untuk disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] mengenai 1MDB.
Pihak pendakwaan Malaysia sejak beberapa bulan lepas telah memfailkan beberapa pertuduhan jenayah pecah amanah terhadap Najib serta penyalahgunaan kuasa dengan menggunakan jawatannya untuk mengaut sebanyak RM42 juta [AS$10.4 juta] daripada SRC International, yang berakhir di dalam akaun bank peribadinya.
Bagaimanapun, Najib, yang berulang kali menafikan sebarang salah laku berhubung isu 1MDB, berkata dalam satu temu bual dengan Reuters Jun lepas bahawa beliau tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang berada dalam akaun bank peribadinya adalah daripada 1MDB.
Hadi Azmi di Putrajaya turut menyumbang kepada laporan ini.