Perbicaraan Kes 1MDB Najib Razak Ditunda Selepas Peguambela Terdedah COVID-19
2020.03.12
Kuala Lumpur, Malaysia

Perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Khamis terpaksa ditunda apabila peguambela tertuduh Shafee Abdullah dipercayai terdedah dengan jangkitan koronavirus COVID-19.
Firma guaman Shafee & Co. melalui wakilnya Noor Farhah Mustaffa memberitahu mahkamah bahawa seluruh pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu telah diarahkan untuk menjalani kuarantin secara sukarela selepas ketua pasukan Shafee terdedah dengan seorang individu yang positif COVID-19 melalui kontak kakak iparnya semasa menghadiri satu keramaian keluarga.
“Kakak ipar Shafee yang bekerja di Institut Piawaan dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) telah terdedah dengan jangkitan apabila seorang rakan sekerjanya telah disahkan positif COVID dan Shafee hadir pada satu majlis keluarga yang turut dihadiri kakak iparnya pada Sabtu lalu.
Shafee telah dinasihatkan untuk melalui pemeriksaan dan diarahkan untuk menjalani kuarantin sukarela di rumah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mempunyai kontak secara langsung,” Noor Farhah memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah semasa mahu memulakan prosiding.
Walaupun membenarkan pendengaran kes pada Khamis itu dilapangkan, hakim itu juga telah mengarahkan Noor Farhah untuk membawa dua dokumen sokongan pada Jumaat untuk mengesahkan dakwaan peguam itu.
“Saya mahukan surat yang mengesahkan kakak ipar Shafee telah mengambil ujian pengesahan dan satu lagi surat mengesahkan Shafee telah diarahkan untuk mengkuarantinkan diri sendiri. Tanpa dua surat ini perbicaraan akan berjalan seperti biasa esok pagi,” tegas Sequerah.
Perbicaraan membabitkan empat pertuduhan salahguna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan skandal 1MDB yang sepatutnya berjalan semula pada Khamis setelah tertangguh selama empat bulan bagi memberi ruang bagi perbicaraan kes SRC International yang turut membabitkan Najib, berjalan sehingga tamat fasa kes pembelaan pada Rabu.
Malaysia rekod 158 kes
Sehingga Khamis, Malaysia telah merekodkan sejumlah 158 kes positif COVID-19, penambahan sembilan kes dengan 27 daripadanya berjangkit dari kalangan kontak rapat.
Terkini pihak berkuasa Kesihatan Malaysia sedang mengesan sebanyak 5,000 orang yang telah menyertai satu perhimpunan ‘Ijtimak Tabligh’ di sebuah masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur antara 28 Februari hingga 1 Mac untuk menjalani pemeriksaan selepas seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun didapati positif COVID dan merupakan kes ke-131 yang dikesan KKM.
“Kementerian menasihatkan mereka yang telah menghadiri “ijtimak tabligh” di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur dari 28 Februari hingga 1 Mac 2020, segera menghubungi pejabat kesihatan daerah untuk membendung penularan jangkitan COVID-19,” kata Ketua Pengarah KKM Noor Hisham Abdullah menerusi laman Twitternya pada pagi Khamis.
Selain rakyat tempatan yang menghadiri perhimpunan berkenaan, kerajaan negara Brunei telah melaporkan sebanyak 25 kes COVID-19 di negara itu yang mana 24 daripadanya adalah mereka yang menghadiri perhimpunan keagamaan di Kuala Lumpur itu.
“Setelah penyiasatan terperinci dilakukan setakat ini, seramai 81 orang warga Brunei telah dikenalpasti menghadiri perkumpulan tersebut, di mana 70 orang daripadanya telah kembali dengan 11 lagi masih berada di luar negara termasuk tiga orang yang sedang menuntut di Malaysia,” jelas Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan medianya memaklumkan mengenai penawaran pilihan cuti tanpa gaji kepada kakitangan berkuatkuasa April depan.
“Kami mengesahkan bahawa Malaysia Aviation Group telah memberi kakitangannya pilihan secara sukarela mengambil lima hari cuti tidak berbayar sebulan atau sekurang-kurangnya tiga bulan; atau antara satu hingga tiga bulan bermula April 2020.
“Ini adalah selaras dengan operasi yang dikurangkan berikutan pelaksanaan pengurusan kapasiti kerana COVID-19. Sehingga kini, Malaysia Airlines telah membatalkan lebih daripada 2,000 penerbangan sehingga April kerana sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara dalam rangkaian kami,” katanya kenyataan oleh MAG yang dikeluarkan pada Khamis itu.
Malaysia turut membuat sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap kemasukan rakyat Denmark dengan meminta rakyat Malaysia yang mahu melawat negara itu supaya menangguhkan perjalanan mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata Denmark adalah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan selepas Itali, Iran, dan Korea Selatan.
“Sekatan perjalanan sepenuhnya atas kesemua rakyat Denmark dan warganegara asing lain yang datang dari negara tersebut daripada memasuki Malaysia atau transit di mana-mana pintu masuk. Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Denmark sekiranya tidak mendesak atas faktor risiko,” kata menteri itu dalam pada satu sidang media di Putrajaya pada Khamis.
Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik dengan mengambil kira terhadap peningkatan kes yang ketara di beberapa negara di dunia.
Arief Rahmat di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.