Najib Guna Dana Berkaitan 1MDB Untuk Perbelanjaan Mewah: Laporan
2016.03.31
Kuala Lumpur

Dana negara sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad, pada Khamis mencabar laporan akhbar Amerika Syarikat yang mendakwa bahawa wang yang dikaitkan dengan 1MDB telah digunakan untuk perbelanjaan percutian, membeli-belah dan barang kemas mewah Perdana Menteri Najib Razak.
The Wall Street Journal (WSJ) pada Khamis melaporkan bahawa Najib membelanjakan sehingga AS$15 juta (RM58.1 juta) untuk percutian dan barang-barang mewah di kedai-kedai di Amerika Syarikat, Malaysia, Itali dan di tempat lain, berdasarkan siasatan yang dilakukan terhadap rekod perbankan peribadi beliau.
"1MDB telah secara konsisten menegaskan bahawa ia tidak membayar sebarang wang ke akaun peribadi Perdana Menteri," kata 1MDB dalam satu kenyataan bagi menjawab kepada artikel Wall Street Journal pada Khamis.
Dana negara itu dibelenggui skandal kewangan yang membabitkan Perdana Menteri. Ini telah membawa kepada gesaan supaya beliau meletakkan jawatan sejak Wall Street Journal buat pertama kalinya menyiarkan berita itu pada Julai 2015, di mana hampir AS$700 juta wang dikaitkan 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.
Sehingga lewat Khamis (waktu Kuala Lumpur), Pejabat Perdana Menteri tidak mengeluarkan kenyataan bagi menjawab artikel itu.
Wang yang dibelanjakan untuk percutian dan membeli-belah itu dikeluarkan daripada akaun bank peribadi di bawah nama Najib, yang para penyiasat percaya, menerima deposit beratus-ratus juta dolar sejak 2009 - kebanyakan wang itu datangnya dari 1MDB–lapor Wall Stret Journal dalam artikel terbarunya dengan memetik dokumen penyiasatan rasmi.
Wall Street Journal mendakwa Najib membelanjakan AS$130,625 (RM506,238 ringgit) di Chanel di Honolulu dua hari sebelum perlawanan golf Malam Krismas dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada 2014.
"Urus niaga di kedai Chanel dibayar dengan kad Visa di bawah nama Najib, menurut dokumen-dokumen siasatan Malaysia. Pada mulanya, urus niaga itu tidak diluluskan dan Najib, yang ada di kedai berkenaan, terpaksa menelefon banknya untuk meluluskan pembayaran itu, kata individu yang tahu tentang membeli-belah itu," lapor Wall Street Journal.
Menurut artikel itu, wang berkenaan adalah daripada SRC International, bekas unit 1MDB, yang dipengerusikan Najib.
"Pada hari Najib bermain golf dengan Obama, SRC International memindahkan AS$9 juta (RM34.8 juta) ke akaun itu menerusi cabang tanggungjawab sosial korporat 1MDB. Wang itu diperoleh sehari selepas Krismas. "
Selain daripada itu, lapor Wall Street Journal, dokumen menunjukkan bahawa peruncit pakaian mewah Malaysia, Jakel Trading Berhad, menerima lebih AS$14 juta (RM54.2 juta) dari Najib antara 2011 dan 2014. Dokumen juga menunjukkan pembelian AS$56,000 (RM216,834) di kedai kereta mewah di Kuala Lumpur pada 28 Jun, 2011.
Laporan namakan adik Najib
Laporan WSJ juga mendakwa adik Najib, Pengerusi CIMB Bank Nazir Razak, menerima AS$7 juta (RM27.1 juta) untuk diagihkan kepada ahli-ahli politik menjelang pilihan raya umum Malaysia pada 2013.
Nazir mengesahkan dalam satu kenyataan bertulis bahawa beliau menerima wang sejumlah itu, yang diagihkan pegawai-pegawai bank itu kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) - parti yang mengetuai gabungan parti yang memerintah Malaysia - berikutan arahan daripada pemimpin parti itu.
Bagaimanapun, Nazir memberitahu WSJ, beliau percaya wang itu daripada sumbangan yang beliau bantu dapatkan daripada syarikat-syarikat dan individu Malaysia untuk pilihan raya itu, tetapi beliau tidak pasti sumber dana yang lain.
"Saya tidak mengetahui apa-apa bahawa dana ini mungkin berpunca daripada mana-mana sumber lain," lapor Wall Street Journal, yang memetik Nazir sebagai berkata.
Najib menegaskan beliau tidak bersalah
Pada Januari lalu, Peguam Negara Malaysia Mohamed Apandi Ali mengumumkan bahawa pejabatnya menutup siasatan terhadap skandal rasuah berkaitan 1MDB yang dihadapi Najib, terutamanya yang melibatkan deposit sebanyak AS$ 681 juta ke dalam akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya 2013 - seperti yang dilaporkan oleh Wall Street Journal pada Julai.
Apandi berkata tiada kesalahan jenayah yang dilakukan, sebahagian besar wang itu telah dikembalikan, dan ia adalah ‘derma peribadi’ daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Najib telah menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadi. Tetapi tidak lama selepas berita mengenai skandal itu didedahkan pada Julai lalu, beliau memecat Abdul Gani Patail, peguam negara ketika itu yang mengetuai sebuah pasukan petugas antara agensi yang menyiasat perkara itu dan skandal lain yang berkaitan dengan 1MDB.
Pada Khamis, 1MDB tetap menafikan laporan terkini Wall Street Journal. Selain daripada mengulangi penafian bahawa 1MDB tidak pernah membayar apa-apa wang ke dalam akaun Najib, para pegawainya mengulangi dakwaan awal mereka bahawa wang itu datangnya dari Arab Saudi.
"Walaupun begitu, Wall Street Journal terus mengulangi dakwaan sama, tanpa memberikan apa-apa bukti kukuh untuk mewajarkan dakwaam berkenaan," kata 1MDB dalam satu kenyataan media.