1MDB: 34 NGO Serah Memorandum Kepada PM

Hata Wahari
2016.08.04
Kuala Lumpur
160804-my-memo-paul-620 Paul Low (tiga dari kiri) menerima memorandum dari Ambiga Sreenevasan (empat dari kiri) sambil disaksikan oleh Sevan Doraisamy, Pengarah Eksekutif SUARAM (kiri sekali); K.J John wakil dari Oriental Hearts and Minds Institute (dua dari kiri); Maria Chin Abdullah (lima dari kiri) dan Dr Roy McCoy dari Malaysian Physicians for Social Responsibility (kanan sekali) di Putrajaya, 4 Ogos 2016.
[Ihsan HAKAM]

Satu gabungan terdiri daripada 34 kumpulan badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil pada Khamis menyerahkan memorandum enam perkara kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low dengan menuntut tindakan lanjut diambil ke atas mereka yang terlibat dalam skandal berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memorandum itu antara lain meminta supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja keatas 1MDB ditubuhkan; membuka siasatan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) kepada umum, menjalankan siasatan tanpa halangan terhadap pihak yang terbabit dalam skandal kewangan dana pelaburan itu serta mendesak semua Anggota Parlimen supaya mengambil tindakan segera terhadap masalah yang sedang dihadapi negara itu.

Suruhanjaya Siasatan Diraja, adalah sebuah badan kerajaan yang akan melakukan siasatan awam terhadap sesuatu isu berbangkit.

Pengerusi Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia  (HAKAM), Ambiga Sreenevasan yang mengetuai kumpulan itu menyerahkan memorandum berkenaan kepada Low di pejabatnya di Putrajaya pada Khamis, dengan berkata Kabinet perlu membuat keputusan dalam mesyuaratnya supaya tindakan dapat diambil terhadap “Malaysian Official 1” (Pegawai Malaysia 1)  yang dinamakan di dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Negara (DOJ) Amerika Syarikat baru-baru ini.

"Kita kini menjadi bahan ketawa antarabangsa dan dihina ... Kedudukan “Malaysian Official 1” tidak lagi boleh dipertahankan dan tidak boleh diteruskan," tambah Ambiga yang juga seorang peguam terkenal di Malaysia.

Turut hadir pada penyerahan memorandum itu ialah Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin yang meminta semua rakyat Malaysia berkerjasama dengan 34 pertubuhan itu dalam menyebar luas kesemua gesaan yang terkandung dalam memorandum berkenaan.

“Paling penting ialah memberi tekanan ke atas  anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menghantar pesanan kepada Perdana Menteri ataupun Menteri Besar dan mendesak agar siasatan keatas MO1  itu dilaksanakan dengan segera,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Dalam pada itu, Jurucakap gabungan anak muda #TangkapMalaysianOfficial1, Anis Syafiqah Md Yusof memberitahu BeritaBenar bahawa walaupun tidak ada tarikh akhir dalam memorandum yang diserahkan itu supaya “Malaysian Official 1” (MO1) ditangkap tetapi siasatan mesti dimuktamadkan dengan segera.

“Paling penting ialah mengenalpasti MO1 dan mengheretnya ke muka pengadilan atas penglibatannya dalam skandal penipuan terbesar negara,’’ katanya  kepada BeritaBenar semasa dihubungi.

Dalam pada itu, Low yang menerima memorandum itu bagi pihak kerajaan telah menyatakan persetujuan untuk membawa tuntutan tersebut di persidangan Parlimen akan datang.

"Saya mengambil perhatian terhadap pandangan mereka dan menyakinan mereka bahawa saya akan membawa kebimbangan mereka itu kepada perhatian kabinet,” kata Low semasa dihubungi BeritaBenar.

Pada Rabu, BERSIH 2.0 mengumumkan siri perhimpunan kelima serta beberapa siri perhimpunan jalanan yang bakal diadakan dalam usaha membangkitkan kesedaran rakyat terhadap skandal 1MDB yang membabitkan Najib.

Najib berhadapan dengan gesaan untuk meletakkan jawatan sejak setahun lalu berhubung skandal berterusan yang melibatkan lebih daripada AS$1 bilion dalam bentuk dana yang dicuri dari syarikat pelaburan negara 1MDB yang berada dibawah penyeliaannya.

DOJ Amerika Syarikat berkata tuntutan berkenaan 1MDB yang difailkan pada bulan lalu adalah kes terbesar yang pernah dibawa oleh Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi dengan lebih daripada AS$3.5 bilion (RM14.23 bilion) dana 1MDB didakwa disalahgunakan oleh pegawai peringkat tinggi di firma pelaburan kerajaan tempatan dan sekutu mereka di antara 2009 dan 2015.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.