Switzerland Lancar Siasatan Pengubahan Wang Haram Terhadap Bank Yang Berkaitan Dengan 1MDB

Haireez Azeem Azizi
2016.05.24
Kuala Lumpur
160524-mymoney-bsi-620 Pengawal Selia Kewangan Switzerland meluluskan penutupan BSI Bank yang dikaitkan dengan skandal rasuah menyelubungi Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.
AFP

Pejabat peguam Switzerland pada Selasa berkata, pejabatnya telah membuka prosiding jenayah terhadap bank Switzerland BSI AG, yang dikaitkan dengan 1MDB, kerana didakwa melakukan pengubahan wang haram, dan serentak dengan itu, pengawal selia kewangan Swiss mengumumkan pengambil-alihan BSI AG.

Pengawal selia Swiss juga berkata mereka telah merampas sebanyak CHF$95 juta (AS$95.7 juta) keuntungan dari BSI, sementara Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) merancang untuk menutup cawangan BSI Singapura.

1MDB, syarikat dana pelaburan Malaysia, kini berada di tengah-tengah skandal rasuah yang mengekori Perdana Menteri Najib Razak, juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga ia dibubarkan awal bulan ini.

Badan Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, BSI AG melanggar peraturan secara serius dalam hubungan perniagaan dan pengurusan dengan 1MDB, dana negara Malaysia, apabila ia terlibat di dalam pengubahan wang haram dan skandal rasuah.

Dalam perihal 1MDB, bank itu telah menjalankan beberapa transaksi besar-besaran selama beberapa tahun, walaupun jelas mencurigakan, dan tidak pula menjelaskan latar belakang urus niaga tersebut, tambah FINMA.

Di Singapura, MAS mengeluarkan kenyataan bahawa ia bercadang untuk menutup cawangan tempatan BSI kerana telah "secara serius melanggar peraturan anti-pengubahan wang haram, pengawasan pengurusan yang lemah, dan salah laku keterlaluan oleh beberapa kakitangannya."

Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon berkata, "Bank BSI merupakan kes yang paling teruk dari segi kecuaian kawalan dan salah laku keterlaluan yang pernah dilihat di dalam sektor kewangan Singapura. Ini adalah satu peringatan bagi kesemua institusi-institusi kewangan supaya mengambil tanggungjawab pencegahan pengubahan wang secara serius."

Sambil merancang untuk menutup cawangan BSI tempatan, MAS juga merujuk enam pegawai bank ke pejabat pendakwa Singapura, termasuk bekas ketua pegawai eksekutif dan bekas timbalan pegawai eksekutif, bagi menentukan sama ada mereka perlu menghadapi tuduhan jenayah.

Kenyataan daripada pihak berkuasa Singapura, bagaimanapun, tidak menyebut 1MDB.

1MDB: 'Komited untuk bekerjasama sepenuhnya'

Kenyataan dari pejabat peguam negara Switzerland berkata ia mengesyaki kelemahan di dalam BSI ada kaitan dengan dakwaan penyalahgunaan berbilion-bilion dolar daripada 1MDB yang juga sedang disiasat oleh pihak mereka.

Menurut FINMA, bank yang berpangkalan di Lugano telah melaksanakan banyak transaksi secara besar-besaran yang mencurigakan selama beberapa tahun.

Dalam konteks 1MDB, BSI gagal memantau pelanggannya yang mengekalkan kira-kira 100 akaun di bank itu, kata FINMA. Dalam satu kes, pegawai bank secara bulat-bulat menerima penjelasan daripada pelanggannya bahawa dana sebanyak AS$20 juta yang mahu dideposit merupakan hadiah (daripada pihak lain).

Dalam kes lain, sejumlah AS$20 juta telah "dihalakan melalui pelbagai akaun di dalam bank (BSI) pada hari yang sama sebelum dipindahkan ke bank lain. Urusniaga seperti itu jelas menunjukkan terdapatnya pengubahan wang haram."

FINMA menyifatkan wang yang dirampas sebanyak CHF$95 juta sebagai keuntungan yang dijana secara haram, dengan berkata wang itu akan kembalikan kepada kerajaan Switzerland.

Di Kuala Lumpur, 1MDB mengeluarkan kenyataan tiga perenggan di laman webnya bagi menjawab tindakan pihak berkuasa Singapura dan Switzerland.

1MDB menyatakan bahawa ia belum dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa asing berkaitan dengan hal syarikatnya. “1MDB terus komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa asing, tertakluk kepada nasihat daripada pihak berkuasa dalam negeri (Malaysia), mengikut protokol antarabangsa yang mengawasi perkara tersebut, “ katanya.

1MDB menambah, pelaburannya tidak terjejas dengan pengumuman yang dibuat pada Selasa oleh negara Switzerland dan Singapura.

‘Siasatan sedang dijalankan’

Pengumuman di luar negara itu sekaligus meluaskan siasatan jenayah antarabangsa yang dikaitkan dengan syarikat dana Malaysia yang sarat hutang itu.

Pada Februari lepas, pihak berkuasa Switzerland berkata siasatan jenayah keatas 1MDB telah mendedahkan dengan jelas bahawa kira-kira $4 bilion telah disalahgunakan oleh dana pelaburan Malaysia, dan pada bulan yang sama, bank pusat Singapura mengumumkan bahawa ia telah merampas pelbagai akaun bank yang bermungkinan mempunyai kaitan pengubahan wang haram serta kesalahan lain yang berkaitan dengan 1MDB.

1MDB juga menghadapi siasatan di Amerika Syarikat, United Arab Emirates, Luxembourg, United Kingdom dan Hong Kong, serta siasatan lain di Switzerland dan Singapura.

Pada April lalu, Jawatankuasa Akaun Parlimen Malaysia mengeluarkan laporan setebal 106 muka surat yang mengesyorkan siasatan jenayah terhadap pengurusan kanan 1MDB, tanpa menyebut Perdana Menteri Najib Razak.

Jawatankuasa itu telah menyarankan satu siasatan keatas pembayaran tanpa kelulusan bernilai  hampir AS$3 bilion yang sedang disiasat oleh pasukan khas yang diketuai oleh Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar. Pembayaran tersebut merupakan salah satu daripada percanggahan-percanggahan yang lain.

1MDB dan Najib telah menjadi sasaran beberapa siasatan selepas Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pada Julai tahun lalu, hampir AS$700 juta berakhir dalam akaun peribadinya. Sejak itu, akhbar itu melaporkan bahawa berjuta dolar wang berkaitan dengan 1MDB telah dibelanjakan oleh Najib untuk membiayai gaya hidup yang mewah.

Bagaimanapun, Peguam Negara Malaysia telah membersihkan nama Najib daripada apa-apa kesalahan.

Baru-baru ini, Najib dan seluruh lembaga penasihat itu berkata, mereka akan meletakkan jawatan berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan. Najib memberitahu anggota Parlimen bahawa lembaga penasihat tidak mempunyai fungsi pentadbiran dan juga tidak membuat sebarang transaksi, menurut laporan media pada Selasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.