1MDB: Dua Lagi Pegawai Bank BSI Singapura Didakwa
2016.10.10
Kuala Lumpur

Dua bekas pengurus kanan bank BSI Singapura didakwa di Mahkamah Singapura atas pelbagai kesalahan jenayah berkaitan dengan aliran dana 1Malaysia Development Berhad, kata pihak berkuasa Singapura pada Isnin.
Pejabat Peguam Negara Singapura mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu yang antara lain memaklumkan bahawa Naib Presiden Kanan dan Pengarah BSI Singapura, Yak Yew Chee, 57 dan Yvonne Seah Yew, 45, berdepan dengan tujuh tuduhan kerana gagal mendedahkan transaksi mencurigakan yang mempunyai kaitan dengan akaun ahli perniagaan Malaysia, Jho Low Teik, yang juga kenalan rapat Perdana Menteri Malaysia Najib Razak,
“Tiga pertuduhan di bawah Kanun Jenayah atas kesalahan pemalsuan manakala empat pertuduhan lagi di bawah Akta Rasuah, Penyeludupan Dadah dan Jenayah Serius Lain (Perampasan Faedah) kerana gagal mendedahkan maklumat tentang urus niaga yang mencurigakan kepada seorang Pegawai Pelapor Urus Niaga yang Mencurigakan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.
Kedua-dua rakyat Singapura itu, adalah antara enam individu yang dirujuk oleh pihak Penguasa Kewangan Singapura (MAS) kepada Pendakwa Raya, berhubung "salah laku yang serius" dan sama ada mereka melakukan kesalahan jenayah, ekoran siasatan negara itu terhadap 1MDB baru-baru ini.
“Siasatan keatas 1MDB berkaitan dengan pengaliran wang melalui Singapura masih berterusan. Individu lain, termasuk seorang pekerja BSI Singapura yang dinamakan oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), sedang disoal siasat atau disiasat,” menurut kenyataan itu.
Pertuduhan pada Isnin menjadikan empat orang telah didakwa membabitkan skandal Jho Low dan 1MDB yang sedang menghadapi siasatan oleh pentadbiran Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.
Media tempatan Singapura, Channel News Asia memetik peguam Yak, Lee Teck Leng sebagai berkata, pendakwaan ke atas anak guamnya adalah berkaitan dengan ahli perniagaan Malaysia Jho Low.
“Anak guam saya telah disiasat selama satu tahun sebelum didakwa pada Isnin,’’ katanya.
Kedua-dua mereka bebas selepas dibenarkan diikat jamin sebanyak S$35,000 (RM100 ribu) setiap seorang dengan mahkamah menetapkan pengurusan kes kedua-duanya pada 24 November depan.
Sebelum ini Singapura telah mendakwa seorang lagi pekerja bank BSI, Yeo Jiawei, yang didakwa telah memainkan peranan penting dalam operasi pengubahan wang haram, dan kini berhadapan dengan 11 pertuduhan dimana perbicaraanya akan bermula 31 Oktober hingga 11 Nov ini, menurut Straits Times Singapura.
Yeo, 33, dituduh memudahkan urus niaga haram melibatkan 1MDB yang membawa kepada penutupan operasi cawangan BSI Singapura iaitu sebuah bank Swiss.
Seorang lagi, Kelvin Ang Wee Keng, pula ‘terlibat dalam beberapa urus niaga haram’ bersama dengan Yeo dan ditahan reman lebih 14 hari mulai 20 April lepas, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Peguam Negara Singapura pada April itu.
Ang, yang dibebaskan dengan ikat jamin lebih RM300,000 itu, merupakan bekas pekerja Maybank Kim Eng Securities, telah didakwa memberi rasuah dengan membayar bekas penganalisis penyelidikan Lee Chee Waiy untuk mempercepatkan laporan penilaian ke atas aset 1MDB di Kepulauan Cayman.
Saman DOJ namakan Jho Low
Pada Julai lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ)telah memfailkan 12 tindakan undang-undang bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam aset-aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.
Sebanyak 12 aduan rampasan sivil dikemukakan oleh Jabatan Keadilan itu yang tidak menamakan Najib tetapi mengaitkannya dengan skandal 1MDB. Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata, ia adalah "konspirasi antarabangsa" untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi Amerika.
Usaha untuk merampas aset-aset itu adalah tindakan pertama oleh kerajaan AS berhubung dengan siasatan 1MDB bagi pengubahan wang haram yang melibatkan sekurang-kurangnya lima negara lain termasuk Singapura dan Switzerland.
Skandal itu membelenggui Najib sejak setahun lepas setelah Wall Street Journal (WSJ) melaporkan mengenainya pada Julai 2015 bahawa hampir $700 juta dimasukkan dalam akaun bank peribadinya.
Sejak itu, akhbar berkenaan melaporkan bahawa berjuta-juta dolar wang yang dikaitkan dengan 1MDB, sebuah syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, telah dibelanjakan oleh Najib untuk membiayai gaya hidup yang mewah.
Tindakan undang-undang itu mengesan aliran dana di antara akaun "Pegawai Malaysia 1" dan tiga rakyat Malaysia yang lain, Eric Tan Kim Loong, Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz, pengasas Red Granite yang menghasilkan filem yang dicalonkan untuk anugerah Oscar "The Wolf of Wall Street."
Najib dalam satu kenyataan pada Julai berkata, kerajaan Malaysia mengambil perhatian serius laporan DOJ itu dan terus mengulangi bahawa kerjasama akan terus diberikan supaya proses keadilan dapat dijalankan dengan baik.
Perdana Menteri itu turut menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang untuk kepentingan peribadi berkaitan dengan hal ehwal 1MDB.
Najib telah menerajui 1MDB, yang dilancarkan pada 2009 sebagai satu instrumen pelaburan untuk memacu pembangunan di Malaysia. Beliau mempengerusikan lembaga penasihat dana itu sehinggalah pembubarannya pada Mei.