Malaysia Tingkatkan Pengawasan Perairan Untuk Hentikan Penyusupan IS

Muzliza Mustafa
2016.08.08
Kuala Lumpur
160808-my-is-620 Sebuah helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia terbang mengawasi bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan utara pulau Langkawi, 28 Mei 2015.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia berkata mereka sedang mengerahkan lebih ramai anggota dan aset ke lokasi-lokasi yang dikenalpasti dalam usaha mengelak anggota militan Negara Islam memasuki wilayahnya dengan pegawasan melibatkan lebih 244 kapal dengan 5,000 anggota di perairan negara berkenaan.

Pasukan polis telah mempertingkatkan usaha pemantauan pelbagai pergerakan di pantai dan rentas sempadan oleh anggota IS berkerakyatan Malaysia yang berjuang di Syria atau Iraq dan cuba  pulang ke tanahair dan melakukan serangan pengganas, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada BeritaBenar pada Isnin.

"Polis dan Angkatan Tentera Malaysia sedang menjalankan rondaan bersama bermula tengah malam sehingga 6 pagi di sepanjang pantai dan sempadan Malaysia, termasuk pengawasan di kawasan awam untuk mengelakkan penyusupan," tambah Khalid.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM), agensi itu telah meningkatkan kehadiran kapal dan anggota yang betugas di sepanjang pantai Malaysia di seluruh negara, dan sedang mendapatkan kebenaran kerajaan dalam meningkatkan kawalan keselamatan pantai menggunakan pendekatan baru.

"Kami juga telah memohon kepada kerajaan untuk melatih orang awam yang mempunyai pengalaman di laut, seperti nelayan dan juga pelajar universiti, untuk menjadi sebahagian daripada pasukan petugas khas dalam menjadi mata dan telinga pihak berkuasa di laut, " kata Laksamana Maritim Ahmad Puzi Ab Kahar kepada BeritaBenar.

Mengikut rancangan tersebut, APMM juga sedang membina dua sistem radar di Pulau Perak dan Pulau Tengah, sepanjang Selat Melaka, dan turut akan menempatkan anggota di Batuan Tengah (Middle Rocks) di sepanjang Selat Singapura yang terletak di antara Selat Melaka pada bahagian barat dan Laut China Selatan di bahagian timur, katanya.

Beberapa pelan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang pantai dan sempadan telah diambil berikutan tangkapan enam suspek militan Indonesia yang mempunyai kaitan dengan IS yang menurut pihak berkuasa Indonesia, telah merancang untuk melancarkan serangan roket merentas sempadan ke Singapura dari pulau Batam, Indonesia kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, pada Ahad, menurut laporan media, mengumumkan bahawa kerajaan telah membatalkan pasport 68 rakyat Malaysia yang pergi ke Timur Tengah untuk menyertai IS, termasuk dua keluarga dari Selangor dan Perak. Tanpa pasport, mereka yang ingin kembali ke Malaysia akan diklasifikasikan sebagai menyalahi undang-undang dan akan ditahan di bawah Akta Imigresen, katanya.

Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu BeritaBenar bahawa pembatalan itu adalah "salah satu daripada langkah" yang diambil untuk menghentikan kegiatan mereka yang bersimpati kepada IS untuk kembali  ke Malaysia dan melancarkan serangan di negara sendiri.

Beliau memberitahu BeritaBenar bahawa 91 rakyat Malaysia, termasuk kanak-kanak, dipercayai telah pergi ke Syria untuk berjuang bersama militan IS.

"Daripada laporan perisikan yang didapati, 61 orang dipercayai masih hidup manakala 21 telah disahkan mati," katanya sambil menambah bahawa status rakyat Malaysia yang masih di negara tersebut masih belum dapat disahkan.

Sejak 2013 pihak berkuasa Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 222 orang yang dipercayai anggota IS dan telah memberi amaran bahawa mereka yang kembali dari pertempuran di Syria atau Iraq boleh melancarkan serangan pengganas di negara sendiri. Sekurang-kurangnya 72 orang anggota IS telah didakwa di mahkamah.

Pada akhir Jun lepas, kumpulan Negara Islam telah mendakwa melakukan serangan pengganas pertama di Malaysia, apabila dua penunggang motosikal melemparkan bom tangan di luar sebuah kelab malam di Puchong, Selangor, dan mencederakan lapan orang.

Rondaan bermula

Malaysia mula meningkatkan rondaan antara agensi penguatkuasaan di beberapa kawasan awam pada Februari lepas, susulan serangan pengganas di Jakarta pada 14 Jan lalu yang juga didakwa dilakukan oleh IS, kata Khalid.

Sejak itu rondaan bersama di kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi telah meningkat kepada 100 untuk memastikan rakyat Malaysia berasa selamat, menurut Ketua Polis Malaysia itu.

Sementara itu, penganalisa mengenai keselamatan yang berpangkalan di Jakarta, Sydney Jones, mencadangkan bahawa Malaysia memberi perhatian yang lebih terhadap ancaman pengganas dalaman dan bukannya menggerakkan tentera mengawal penyusupan anggota militan di sempadan dan juga perairan negara itu.

"Malaysia mempunyai ancaman yang lebih membimbangkan lagi seperti anggota keselamatannya sendiri yang mempunyai latihan professional menyertai IS," kata Jones kepada BeritaBenar.

"Tidak ada sesiapa dari IS akan melancarkan serangan gila seperti Sultan Sulu lakukan di Lahad Datu pada tahun 2013," tambah beliau, merujuk kepada pencerobohan bersenjata di Sabah oleh pengikut Jamalul Kiram III dari selatan Filipina yang  mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu.

Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.