Polis Tangkap Tiga Suspek Disyaki Terbabit Dengan Militan Negara Islam

Hata Wahari
2017.09.14
Kuala Lumpur
170914-MY-arrests-620.jpg Seorang penunjuk perasaan duduk dengan tangannya digari selepas ditahan polis Malaysia di Kuala Lumpur, 30 Ogos, 2017.
[AFP]

Pihak berkuasa Malaysia pada Khamis mengumumkan  penangkapan tiga suspek militan Negara Islam (IS), termasuk seorang lelaki yang dikaitkan dengan dua organisasi pengganas yang lain, dalam serangan berasingan pada hujung minggu lalu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kesemua suspek itu, yang merupakan rakyat Malaysia, telah ditahan anggota polis dalam serbuan di tiga negeri di antara 8 dan 10 Sept lalu.

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berikrar di Washington untuk mengukuhkan kerjasama bagi memerangi ancaman keganasan yang semakin meningkat di rantau ini.  

"Suspek pertama, seorang lelaki berusia 21 tahun, ditahan di Bagan Serai, Perak pada 8 Sept. Suspek yang menganggur itu telah bersumpah taat setia (berbai’ah) kepada IS pada awal tahun ini. Dia juga telah menjalin hubungan dengan al-Qaeda dan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), " kata ketua polis negara yang baru itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Suspek tersebut, kata Fuzi, telah mengaku menerima tunjuk ajar daripada Mahmud Ahmad, yang didakwa berlaku sebagai orang tengah  bagi saluran dana IS dari Timur Tengah, yang juga seorang pakar bom yang menghasilkan Alat Letupan Diubah Suai (IED) yang berskala besar. Polis tidak menyatakan nama suspek berkenaan.

Mahmud terlibat secara aktif dalam pengepungan Marawi bersama pemimpin ASG Isnilon Hapilon, yang merupakan pemimpin serantau IS.

"Susulan tunjuk ajar itu, suspek cuba membuat bom IED sebanyak tiga kali. Dia juga telah menerima pesanan daripada seorang militan kanan IS di Syria supaya membeli pistol, senapang M-16, AK-47 dan bom tangan dari negara jiran bagi melancarkan serangan di tempat-tempat ibadat bukan Islam,"kata beliau.

"Kami juga merampas bahan kimia bagi menghasilkan bom di rumah suspek semasa serbuan itu," katanya.

Dua suspek lain iaitu seorang penjual minuman (cendol) tempatan berusia 38 tahun dan seorang pemandu bas berusia 41 tahun telah ditahan di negeri Melaka dan Selangor, kedua-duanya pada 10 Sept.

"Suspek itu aktif menghasilkan dan mengedarkan bendera IS bagi mempromosikan ideologi kumpulan pengganas itu," kata Fuzi mengenai penjual minuman tersebut. Dia didakwa merancang untuk menyertai IS di selatan Filipina dan kumpulan militan di Rakhine, Myanmar.

Suspek ketiga yang ditangkap di bandar Petaling Jaya, Selangor, didakwa merancang untuk menyertai IS di Syria menjelang akhir tahun ini.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, kata Fuzi. Perbuatan itu membolehkan polis menahan mereka selama 28 hari tanpa sebarang pertuduhan.

Kaitan dengan IS


Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 332 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, di mana 66 orang daripada mereka telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar. IS berjaya melakukan serangan pengganas pertamanya di bumi Malaysia - letupan bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016.

Awal bulan ini, pihak berkuasa Malaysia berkata, mereka telah menggagalkan rancangan melancarkan serangan keganasan semasa Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur bulan lepas dengan menahan lapan suspek pengganas.

Lapan suspek itu - dua warganegara Filipina dan enam rakyat Malaysia yang disyaki menjadi ahli ASG - ditahan di Kuala Lumpur pada 30 Ogos.

Pihak berkuasa berkata serbuan itu dilancarkan "bagi menggagalkan rancangan keganasan" yang bertujuan menjejaskan temasya sukan itu dan sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 negara itu.

Lawatan ke Amerika Syarikat

Najib berkata, beliau telah berbincang panjang lebar dengan Trump mengenai usaha Malaysia memerangi keganasan. Di samping itu, Malaysia berikrar memberi sumbangan $1 juta bagi bantuan kemanusiaan di kawasan-kawasan yang berjaya dibebaskan daripada cengkaman IS.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, pejabat Najib berkata kedua-dua pemimpin itu telah berikrar untuk mengukuhkan kerjasama untuk menangani ancaman IS yang semakin berleluasa di Asia Tenggara.

Kedua-dua pemimpin menegaskan tentang pentingnya menggalakkan toleransi dan sikap saling menghormati tanpa mengira agama dan kaum etnik, menurut kenyataan tersebut.

Ray Sherman turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.