Malaysia Tahan Enam Individu Suspek IS, Seorang Meloloskan Diri Ke Thailand

Ray Sherman & N. Natha
2017.05.03
Kuala Lumpur
170503-MY-ARREST620.jpg Anggota Polis Diraja Malaysia dari Unit Elit Taktikal Berprofil Tinggi Memerangi Keganasan beraksi semasa mengambil bahagian dalam perarakan sambutan Hari Polis Ke-210 di Kuala Lumpur pada 25 Mac 2017. [AFP]
AFP

Polis Malaysia pada Rabu mengumumkan penangkapan enam individu dipercayai anggota kumpulan militan Islamic State (IS) baru-baru ini dan berkata mereka telah memberi amaran kepada pihak berkuasa Thailand mengenai seorang lagi suspek yang didakwa menyeludup senjata api dan telah melarikan diri ke selatan Thailand.

Penangkapan itu berlaku di beberapa negeri di Malaysia dari akhir Mac hingga akhir April dan seorang suspek, Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi yang berusia 27 tahun, telah melarikan diri ke Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok di sempadan kedua-dua negara pada 22 Mac lalu, kata Ketua Polis Malaysia sambil menambah lelaki berkenaan memiliki raifal tempur M4 Carbine dan pistol.

Antara suspek adalah seorang pelajar wanita sebuah kolej di ibu negara Malaysia berusia 26 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 April selepas dia dihantar pulang oleh pihak berkuasa Turki, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

"Wanita itu telah meninggalkan negara untuk ke Turki pada 29 Ogos 2016, dalam usahanya untuk menyertai IS di Syria. Pada 5 Februari lalu, dia telah ditahan oleh pihak berkuasa Turki ketika menunggu arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi untuk memasuki Syria," kata Khalid merujuk kepada militan IS Malaysia yang berpangkalan di Syria.

Polis Malaysia mengeluarkan gambar suspek Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, yang dipercayai melarikan diri ke selatan Thailand pada 22 Mac.[Ihsan Polis Diraja Malaysia]

Muhammad Muzaffa, suspek yang melarikan diri, berasal dari Kampung Gertak, Rantau Panjang di negeri Kelantan, yang terletak hanya seberang sempadan antara Malaysia dan Thailand, kata Khalid sambil menambah bahawa dua lagi rakan yang menjalankan aktiviti penyeludupan senjata bersama-sama Muzaffa telah ditahan di negeri itu beberapa hari kemudian.

Sementara itu, di Selatan Thailand, Pemerintah Tentera Darat Wilayah Empat Leftenan Jeneral Piyawat Nakwanich berkata polis dan tentera sedang memburu Muhammad Muzaffa.

"Kami tahu terdapat laluan masuk semulajadi di antara Thailand dan Malaysia, tetapi saya tidak mahu orang ramai panik kerana ia mungkin maklumat palsu," kata Piyawat kepada pemberita sambil menambah "keganasan di Selatan Thailand tidak ada kena-mengena dengan IS. "

Di Bangkok, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-o-cha berkata tiada rakyat Thailand terlibat dengan kumpulan pelampau Negara Islam yang berpangkalan di Timur Tengah dan kerajaan negara itu bersedia untuk menangani suspek jika ada yang telah ditangkap.

"Pegawai-Pegawai keselamatan sedang menyiasat perkara ini, dan jika kita berjaya menemui suspek, kita akan menyelaraskan agar dia dihantar pulang. Ia adalah perkara sensitif jadi saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak maklumat," kata Prayuth kepada pemberita di Rumah Kerajaan pada Rabu.

Suspek Rakyat Malaysia

Menurut Khalid, kesemua suspek rakyat Malaysia itu, termasuk dua wanita, telah diberkas dalam beberapa operasi oleh Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman di Melaka, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, dari 24 Mac hingga 25 April lepas.

"Dua suspek pertama, yang berusia 26 dan 41 tahun, ditahan di Kelantan masing-masing pada 24 dan 25 Mac. Mereka dipercayai bertanggungjawab terhadap penyeludupan senjata api ke negara ini dari Selatan Thailand untuk digunakan oleh militan IS di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, seorang pegawai keselamatan berkata kedua-dua suspek dipercayai telah terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata ke Malaysia hampir setahun. "Senjata yang diseludup oleh sindiket terbabit di selatan Thailand ke Kelantan bernilai kira-kira RM6,000 (AS$1,400)," kata pegawai itu, yang tidak mahu namanya disiarkan kepada BeritaBenar.

Seorang lagi suspek, seorang penganggur berusia 41 tahun, telah menyertai IS di Syria dan ditangkap di Melaka pada 20 April manakala seorang wanita berusia 32 tahun, yang bekerja sebagai pembantu jurutera di Johor, yang terlibat dalam mempromosi IS secara dalam talian, ditahan pada hari yang sama.

"Suspek keenam, seorang lelaki berusia 41 tahun yang juga seorang penganggur, telah ditahan di Pulau Pinang pada 25 April, dia dipercayai aktif mempromosikan IS melalui 15 akaun laman sosial Facebook miliknya sejak 2014.

"Suspek juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas beberapa buah masjid Syiah di Pulau Pinang," kata Khalid tanpa menamakan masjid terbabit.

Beliau berkata kesemua enam suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, yang membolehkan polis menahan mereka selama 28 hari tanpa pendakwaan.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 300 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, yang mana 66 daripada mereka telahpun dibebaskan, demikian menurut angka terkini yang diperoleh BeritaBenar.

Bulan lalu, Khalid berkata 49 militan IS Malaysia merancang untuk pulang ke tanah air dan lapan daripada mereka sudahpun kembali.

"Sesetengah daripada mereka, iaitu isteri-isteri yang kehilangan suami kerana terbunuh, akan berkahwin dengan militan IS yang lain dan anak-anak mereka diletak di bawah jagaan keluarga militan yang lain," katanya.

Keraguan tentang Wanndy

Mengenai Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, yang baru-baru ini telah dinamakan Amerika Syarikat sebagai "Pengganas Global Tentuan Khas,” pihak berkuasa Malaysia meragui kesahihan kenyataan akaun Facebook seorang wanita, yang dipercayai isterinya, yang telah memuat naik status mendakwa suaminya telah terbunuh dalam satu serangan ‘drone’ di Syria

"Kami meragui laporan itu dan kami sedang menyiasat sama ada dia betul-betul terbunuh," kata Khalid. "Mungkin terdapat alasan mengapa Wanndy ingin menipu kematiannya sendiri, kita tahu."

Staf BeritaBenar di Selatan Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.