Mahkamah Kurangkan Hukuman Terhadap Pelajar Wanita Miliki Buku Pro-Militan
2017.12.07
Kuala Lumpur

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Khamis mengarahkan supaya hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas seorang bekas penuntut sarjana sebuah universiti awam terkemuka negara dikurangkan kepada tiga tahun, atas kesalahan memiliki 12 buku berkaitan keganasan termasuk Negara Islam (IS).
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan Putrajaya yang diketuai oleh Hakim Ahmadi Asnawi. Turut bersidang adalah Hakim Kamardin Hashim dan Abdul Karim Abdul Jalil.
Tertuduh Siti Noor Aishah, 30, bekas penuntut lepasan ijazah pengajian Islam di Universiti Malaya, pada April lalu dipenjarakan selama lima tahun oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan memiliki buku-buku yang didakwa mempromosikan ideologi kumpulan ekstremis termasuk IS dan al-Qaeda.
Dalam penghakimannya, Hakim Kamardin berkata panel mahkamah bersetuju dengan peguam tertuduh bahawa hukuman lima tahun ke atas Siti Noor Aishah yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi April lalu adalah "ternyata berlebihan".
Walau bagaimanapun, panel Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa pensabitan Siti Noor Aishah mengikut Seksyen 130JB Kanun Keseksaan mempunyai asas.
Dengan itu, panel tiga hakim tersebut menolak rayuan keluarga Siti Noor Aishah untuk membebaskan tertuduh.
Siti Noor Aishah diarahkan menjalani hukuman penjaranya bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 22 Mac, 2016. Tertuduh dijangka dibebaskan awal tahun depan.
Ibu-bapa kecewa
Bapa Siti Noor Aishah, Atam Jusoh yang ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah rayuan itu telah menyatakan kekecewaannya kerana anaknya tidak dibebaskan oleh mahkamah.
"Saya fikir dia akan dibebaskan hari ini, tetapi realitinya berbeza," katanya.
Tambah Atam, Siti Noor Aishah akan menyambung pembelajarannya di peringkat sarjana selepas pembebasannya dari penjara,.
Peguam Siti Noor Aishah, Kamaruzaman Abd Wahab, berkata kliennya dijangka menjalani beberapa bulan sahaja hukuman penjara lagi, dan dijangka dibebaskan awal tahun hadapan, dengan pengurangan hukuman tersebut.
Antara buku yang menyebabkan Siti Noor Aishah dipenjarakan adalah "“Al-Zarqawi – Al-Qaeda’s Second Generation,” “Political Vision of the Jihad Movement,” dan “From Osama to Activists at-Large.”
Berikutan kes itu tahun lepas, Siti Noor Aishah telah digantung daripada Universiti Malaya dan kemudian dibuang universiti kerana gagal menghadiri kuliah.
Pada September 2016, tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan itu di mahkamah yang sama. Bagaimanapun, pada hari yang sama, Siti Noor Aishah ditangkap semula dan ditahan selama 60 hari di bawah undang-undang lain, Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Setelah dibebaskan, dia diletakkan dalam tahanan di rumah dan dipasang dengan peranti pengawasan elektronik.Mahkamah yang lebih tinggi, Mahkamah Rayuan kemudian mengarahkan Siti Noor Aishah supaya membela diri.
Pada 29 Mac lalu, dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ditempatkan di Penjara Kajang.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengarahkan 12 buku yang dirampas daripadanya dimusnahkan.
Berikutan penahanan Siti Noor Aishah buat kali kedua, aktivis masyarakat dan Ahli Parlimen pembangkang juga memberi sokongan kepadanya dengan mengadakan nyalaan lilin di luar Penjara Kajang dan menyeru Kementerian Dalam Negeri supaya melepaskan Siti Noor Aishah.
Semasa menjatuhkan hukuman terhadap Siti Noor Aishah pada April lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohamad Shariff Abu Samah berpendapat tidak munasabah bagi tertuduh untuk menyatakan bahawa buku-buku berkenaan adalah untuk penyelidikan akademiknya.
"Anda mendakwa buku-buku itu adalah untuk tesis anda tetapi anda tidak pernah mendaftarkan tajuk tesis.
"Ini tidak masuk akal sama sekali. Kamu tidak dapat membuktikan kesungguhan kamu untuk meneruskan kursus ini," kata beliau, sambil menyuruh Siti Noor Aishah untuk bertaubat.
"Keganasan adalah jenayah serius yang juga jijik. Kita tidak boleh berkompromi dalam perkara ini, mahkamah melihatnya dengan amat serius,” kata hakim itu.
Dalam tempoh empat tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 353 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, termasuk IS. Enam puluh enam orang daripada mereka telahpun dibebaskan, menurut statistik kerajaan yang diperolehi oleh BeritaBenar.
Selain itu, sejumlah 34 anggota militan rakyat Malaysia juga telah dilaporkan terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 53 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit.
Pihak berkuasa Malaysia telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman berkaitan IS sejak 2013, kata pegawai-pegawai keselamatan.
Bagaimanapun, serangan bom tangan yang dikaitkan dengan IS pada tahun lalu di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur, telah mencederakan lapan orang.