Polis Malaysia Tahan Dua Suspek Bom Puchong

Staf BeritaBenar
2016.08.13
Kuala Lumpur
160813-my-IS-arrested620 Pakar forensik Malaysia memeriksa lokasi serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, luar Kuala Lumpur, 28 Jun 2016.
AFP

Polis Malaysia menahan dua lelaki yang menjadi buruan kerana dipercayai terlibat dalam serangan  bom tangan pada Jun lepas, yang dilakukan atas arahan kumpulan militan Negara Islam (IS) di sebuah kelab malam di Puchong, dekat Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Sabtu.

Katanya, penahanan Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33, juga membolehkan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyekat tindakan kedua-dua lelaki berkenaan daripada melancarkan serangan IS yang seterusnya ke atas pusat hiburan di Johor Bahru, Johor di selatan negara itu.

"Kedua-dua lelaki itu diberkas di kawasan berbukit di Kuala Krai, Kelantan pada 9 Ogos lepas bersama-sama dengan sebutir bom tangan jenis M67 yang disyaki akan digunakan dalam serangan yang dirancang itu, tetapi masih menunggu arahan Mohammad Wanndy Mohamed Jedi, untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Johor Bahru," kata Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada awal Sabtu.

Pada 25 Julai lalu, dua lelaki penganggur Imam Wahyudin Karjono, 21, dan operator kilang Jonius Ondie alias Jahali, 24, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana terbabit dalam serangan bom di Puchong.

Dalam serangan pada 28 Jun lepas di kelab malam Movida, yang terketak di selatan Kuala Lumpur, lapan orang cedera semasa mereka sedang menonton perlawanan bola sepak Euro 2016.

Selepas beberapa jam serangan itu, Abu Hamza Al-Fateh, seorang lelaki Malaysia yang dikenali sebagai Muhammad Wanndy, ahli IS yang berjuang di Syria, mencatatkan mesej di laman Facebook beliau, mendakwa anggota kumpulan rangkaian pengganas itu yang berada di Malaysia bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Selain itu Khalid berkata, dua suspek lain turut ditahan kerana bersubahat menyembunyikan Jasanizam dan Md Saifuddin masing-masing di Batu Pahat, Johor dan Kuala Krai, Kelantan.

Beliau berkata, kesemua suspek itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

'warga asing ditahan'

Menurutnya mereka adalah di antara sembilan lelaki termasuk tiga warga asing yang dipercayai terlibat dengan kegiatan IS, yang ditahan di beberapa lokasi dalam negara itu di antara 20 Julai hingga 9 Ogos lepas.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 56 tahun itu ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam operasi di sekitar Johor, Sabah, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Khalid berkata, ada di kalangan suspek itu merancang melakukan beberapa serangan di negara ini termasuk di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Malaysia dan di ibu pejabat PDRM di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

"Seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan di Sabah merancang melakukan serangan 'Lone Wolf' dengan menyembelih orang bukan Islam di Sandakan selepas menerima arahan daripada anggota IS di Syria," katanya.

Remaja berkenaan juga mengancam untuk membunuh Ketua Polis Negara melalui akaun Facebook miliknya, tambah Khalid sambil menambah seorang lagi suspek yang berusia 26 tahun ditahan di Johor kerana merancang melakukan serangan di Bukit Aman dan Kompleks kerajaan di Putrajaya setelah disyaki menerima arahan daripada Mohamad Wanndy.

Tiga warga asing itu, yang juga bekas tentera, ditahan kerana dipercayai menjadikan negara ini sebagai transit untuk mendapatkan dokumen perjalanan palsu.

"Mereka juga merancang untuk melancarkan serangan di sebuah negara di Timur Tengah," kata Khalid tanpa mendedahkan kewarganegaraan tiga suspek berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.