Malaysia Patahkan Sembilan Serangan Pengganas Sejak 2013

Staf BeritaBenar
2016.08.09
Washington DC
160809-my-ayub620 Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay memberi taklimat keselamatan kepada para diplomat asing di Putrajaya, di luar Kuala Lumpur, 9 Ogos 2016.
[Ihsan Kementerian Dalam Negeri Malaysia]

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah berjaya mematahkan sembilan cubaan serangan keganasan oleh mereka yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Isalam (IS) di sekitar Lembah Klang sejak 2013 lagi, kata Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay kepada BeritaBenar.

“Kesemua sembilan cubaan serangan keganasan itu menyasarkan pusat hiburan, tempat ibadat, dan pejabat kerajaan di sekitar Lembah Klang dan berjaya dihalang oleh pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi BeritaBenar dari Washington pada Selasa.

Pada akhir Jun lepas, kumpulan Negara Islam telah mendakwa melakukan serangan pengganas pertama di Malaysia, apabila dua penunggang motosikal melemparkan bom tangan di luar sebuah kelab malam di Puchong, Selangor, dan mencederakan lapan orang.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad lepas berkata,  pihak berkuasa negara sedang menjejaki lapan bom tangan yang dipercayai masih berada pada pengganas IS di Malaysia.

Katanya, dua daripada 10 bom tangan itu, telah digunakan dalam serangan di kelab malam di Puchong itu dan polis kini sedang berusaha menjejaki bom berkenaan sebelum sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Ada 10 bom tangan yang berada di tangan pengganas yang sedang kita jejaki, dua daripadanya sudah digunakan dalam insiden di pusat hiburan Movida. Kita tidak tahu apa yang berlaku seterusnya, tetapi pasukan Counter Terrorism sedang da telah melakukan tugas dengan baik untuk memastikan keselamatan," katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan.

Ayob terdahulu itu semasa ditemui media Malaysia berkata, sejak 2013, seramai 230 individu yang dipercayai pengganas IS termasuk 200 rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Beliau yang memberi taklimat keselamatan kepada para diplomat asing di Malaysia turut berkata seramai 90 orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti terlibat dengan aktiviti IS di Syria dan Iraq, lapan telah kembali ke tanahair dan kini berada di bawah program pemulihan.

Katanya,  seramai 84 individu telah didakwa dengan 18 lagi telah dibuang negeri manakala 62 telah dibebaskan selepas disoal siasat.

Kita sedang mencari berpuluh lagi suspek anggota IS di Malaysia, katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa mereka yang menjadi sasaran serangan IS ialah Perdana Menteri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan beliau sendiri.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.