Pihak Berkuasa Malaysia Sahkan IS Dalangi Kes Letupan Kelab Malam
2016.07.04
Kuala Lumpur

Seorang rakyat Malaysia dipercayai anggota kumpulan Negara Islam (IS) yang berpangkalan di Syria telah mendalangi serangan bom tangan di ibu negara itu minggu lalu, kata pihak berkuasa pada Isnin.
Serangan pada 28 Jun di kelab malam Movida di Puchong, sebuah bandar yang terletak di selatan Kuala Lumpur, telah menyebabkan lapan orang cedera, termasuk seorang wanita warga China.
Dalam taklimat media pada Isnin, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menyifatkan kejadian itu sebagai serangan IS yang pertama berjaya dilakukan di bumi Malaysia, dan berkata kumpulan pengganas itu merancang lebih banyak serangan di negara berkenaan.
"Dua lelaki yang melakukan serangan tersebut turut menyasarkan pemimpin kanan negara, pegawai kanan polis dan anggota kanan badan kehakiman," Khalid dipetik sebagai berkata dalam akhbar The Star.
"Mereka menerima arahan terus dari pengganas IS Muhamad Wanndy Mohamad Jedi dari Syria," katanya. Pada hari kejadian itu berlaku, seorang lelaki Malaysia yang sedang berjuang di Syria untuk IS mencatatkan mesej di laman Facebook beliau, dengan mendakwa anggota kumpulan pengganas itu yang bertanggungjawab untuk serangan.
Paparan mesej itu telah dimuat-naik di laman media sosial Facebook bernama Abu Hamza Al-Fateh, seorang warganegara Malaysia yang menjadi pejuang IS pejuang atau lebih dikenali sebagai Muhammad Wanndy Mohamed Jedi. Laman Facebook lelaki itu kini sudah tidak boleh diakses lagi.
Terdahulu itu, pihak berkuasa Malaysia berkata serangan itu bermungkinan berpunca daripada "persaingan perniagaan" di antara kumpulan-kumpulan jenayah terancang, atau mungkin satu tindakan membalas dendam.
Tangkap 15 orang
Sejak kejadian itu berlaku, pihak berkuasa Malaysia telah menjalankan operasi tangkapan di lima buah negeri dengan seramai 15 orang ditahan termasuk, termasuk dua anggota polis, kata Khalid.
"Antara mereka yang ditahan, adalah terdiri daripada dua anggota polis berpangkat rendah di Kedah dan Pulau Pinang. Salah seorang daripada mereka telah merancang untuk menjalankan rompakan untuk membantu dana sel IS manakala seorang lagi dipercayai cuba memberi perlindungan kepada seorang anggota kanan IS dari dikesan," kata Khalid seperti dilaporkan oleh akhbar The Star.
Kesemua 15 orang yang ditahan itu berusia antara 19 dan 52 tahun. Tujuh telah ditahan di Kedah, empat di Selangor, dua di Kuala Lumpur, dan masing-masing seorang di Pulau Pinang dan Melaka, katanya.
Dua lelaki yang ditahan di sebuah kilang di Pelabuhan Klang di Selangor pada 1 Julai, dipercayai mereka yang melemparkan bom tangan di teres kelab malam Movida semasa tayangan perlawanan bola sepak Euro 2016, kata Khalid. Beliau tidak memberi maklumat mengenai identiti suspek.
"Kami percaya mereka memperolehi bom tangan, model lama yang digunakan semasa Perang Dunia ke-II, dari negara jiran," katanya. Siasatan mendapati mereka menerima arahan melakukan serangan itu melalui media sosial, kata pegawai.
Polis Malaysia kini sedang mencari dua lelaki yang dikatakan mempunyai kaitan dengan serangan letupan itu yang dikenali sebagai Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33.
Tangkapan terbaru itu menjadikan seramai 208 individu telah ditahan di Malaysia, disyaki mempunyai kaitan dengan IS. Daripada jumlah itu, 64 telah didakwa di mahkamah, mengikut statistik polis.