Dua Lelaki Terlibat Aktiviti Keganasan Didakwa Di Dua Mahkamah

S. Adie Zul
2016.08.16
Pulau Pinang
160816-my-IS-baling-620 Saidin Yaacob, seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling atas tuduhan merekrut dua individu sebagai ahli IS tiga tahun lalu, 16 Ogos, 2016.
[S. Adie Zul/BeritaBenar]

Dua lelaki di dakwa di mahkamah berasingan di negeri Kedah dan Sabah pada Selasa atas pertuduhan merekrut anggota baru bagi kumpulan pengganas Negara Islam (IS), bertindak sebagai perlakuan pengganas yang membabitkan bahan letupan serta membiayai kumpulan berkenaan.

Saidin Yaacob, 49, seorang kontraktor, didakwa di Mahkamah Majistret Baling , Kedah, atas tuduhan merekrut dua individu sebagai ahli IS tiga tahun lepas.

Tertuduh yang berasal dari Sik didakwa merekrut Ishak Haya dan Abdul Halid Dari sebagai anggota IS di sebuah rumah di Rancangan Pinggir Padang Besar, Jeneri, juga dari Sik, antara Januari hingga September 2013.

Saidin, seorang bapa dua orang anak, didakwa mengikut Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan denda, tidak diwakili penguam serta  mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 12 Oktober sebagai tarikh sebutan semula untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah, seorang pemilik agensi pelancongan Mohd Firdaus Asren Saputra, 34, didakwa dengan lima pertuduhan antaranya memberi sokongan dan menbiayai pengganas serta perlakuan pengganas yang membabitkan bahan letupan.

Bagi pertuduhan pertama, Firdaus didakwa menggunakan aplikasi Telegram melalui telefon bimbitnya.untuk meraih sokongan kumpulan itu. Tertuduh yang tidak diwakili didakwa melakukan kesalahan itu pada Mac 25 dan Jun 29 di sebuah rumah di Kampung Contoh, Petagas, Putatan, Kota Kinabalu.

Bagi pertuduhan kedua, Firdaus didakwa memberi sokongan kepada perlakuan pengganas yang melibatkan pengunaan bahan letupan dengan niat untuk mengancam rakyat Malaysia.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima, Firdaus didakwa berurusan dengan harta pengganas dengan mendepositkan wang sebanyak tiga transaksi berasingan ke dalam akaun Maybank milik Bukhari Chee Noor, seorang lagi lelaki yang terlibat dalam kumpulan pengganas itu untuk manfaat kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada jumlah wang dinyatakan dalam kertas pertuduhan dan lelaki berkenaan didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di cawangan Maybank Karamunsing, Putatan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu 30 April dan 30 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus dengan Timbalan Pendakwa Raya Wan Farrah Farriza Wan Ghazali mengesyorkan supaya tidak dibenarkan ikat jamin sebagaimana yang ditentukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. Kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 September depan.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sekurang-kurangnya seramai 230 individu  yang dipercayai menganggotai IS termasuk 200 rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Malaysia. Manakala seramai 84 individu telah didakwa dengan 18 lagi telah dibuang negeri dan 62 telah dibebaskan selepas disoal siasat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.