Isytihar Serangan Keganasan Di Media Sosial, Mekanik Mengaku Bersalah
2018.08.09
Kuala Lumpur, Malaysia

Seorang mekanik berusia 42 tahun berdepan hukuman 30 tahun penjara selepas mengaku bersalah pada Khamis atas dakwaan membuat ugutan di laman media sosial Facebook miliknya untuk melancarkan serangan bom di Malaysia, Indonesia dan Filipina selepas sambutan Aidilfitri Jun lepas.
Lelaki itu, Masni Yusoff dari Muar, sebuah daerah kecil di negeri Johor, juga didakwa sering berhubung dengan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, seorang pengganas Negara Islam [IS] rakyat Malaysia yang juga perekrut nombor satu anggota baru kumpulan militan berpangkalan di Syria. Wanndy terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria pada April tahun lepas.
Mekanik itu adalah seorang daripada tujuh yang ditahan di Terengganu, Perak, Johor dan Selangor antara 12 dan 17 Julai tahun ini kerana terlibat dalam kegiatan keganasan dan didakwa mengikut Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan kerana menghasut dan mempromosikan aktiviti keganasan.
Masni yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibawa ke mahkamah di Johor Bahru di bawah kawalan keselamatan yang berat.
Beliau kelihatan tenang ketika tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Amran Jantan dan mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dengan pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Siti Rohaida Che Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Farid Abdul Aziz.
Hakim menetapkan 4 September depan untuk memutuskan hukuman.
Julai lepas, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata Masni bersama teman wanita ditangkap kerana disyaki terlibat dalm aktiviti keganasan.
Seorang wanita yang dipercayai teman wanita Masni dipercayai menyalurkan RM4,000 kepada Muhammad Nasrullah Latif, seorang militan IS rakyat Malaysia yang berjuang di Syria.
Mekanik itu juga dipercayai sering berhubung secara aktif dengan Wanndy, sebelum beliau terbunuh dalam serangan udara di Raqqa, Syria pada 29 April 2017.
Wanndy dipercayai bertanggungjawab di dalam serangan bom tangan ke atas sebuah kelab malam di Puchong, Selangor di pinggir Kuala Lumpur pada tahun 2016, yang mencederakan lapan pelanggan di kelab malam Movida itu. Ia adalah satu-satunya serangan yang berkaitan dengan IS di Malaysia.
Selain itu, Masni juga disyaki telah berkomunikasi dengan seorang lagi pengganas Malaysia yang sangat dikehendaki, Zulkifli Abdhir, atau lebih dikenali sebagai Marwan, yang terbunuh semasa serangan Mamasapano di wilayah Maguindanao di selatan Filipina pada 2015.
Marwan, yang dikehendaki ole Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dengan ganjaran AS$5 juta, terbunuh apabila pasukan khas Filipina cuba menangkapnya dalam satu serbuan sehingga menyebabkan seramai 44 anggota pasukan itu terbunuh.
FBI mengesahkan Marwan yang juga berasal dari Muar, kampong yang sama dengan Masni, terbunuh semasa serbuan itu melalui ujian DNA yang dilakukan pada jarinya yang terputus yang ditemui di tempat kejadian yang mengerikan.