Penjual Cendul Didakwa Miliki & Edar Barangan Berkaitan IS

Hata Wahari
2017.10.06
Kuala Lumpur
171006-MY-IS-Melaka580-620.jpg Tertuduh Nahzatulazran A. Rahman dibawa ke Mahkamah Seksyen Melaka untuk didakwa kerana terlibat dengan militan IS, 6 Okt 2017.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Seorang penjual cendol didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat atas dua pertuduhan iaitu memiliki dan mengedar barangan berkaitan militan Negara Islam (IS) pada bulan lalu.

Nahzatulazran A. Rahman, 38 tahun, yang ditahan pada 10 September lepas dan tidak diwakili peguam menunduk faham semasa pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapkan Hakim Norma Ismail.

Tiada pengakuan direkodkan.

Bagi pertuduhan  pertama Nahzatulazran didakwa memiliki pelbagai barangan militan IS di Jalan Benteng Sawah, Kampung Padang Temu, Melaka Tengah pada 10 September.

Beliau didakwa dibawah Seksyen 130 JB(1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda.

Nahzatulazran turut didakwa mengedar barangan berkaitan milian IS dan didakwa di bawah Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang juga membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan sebutan semula kes tersebut telah ditetapkan oleh Hakim pada 6 November depan.  

Hasil dan mengedar bendera IS


Tertuduh merupakan antara tiga suspek IS yang ditahan antara 8 dan 10 September lalu,  di tiga buah negeri iaitu Selangor, Melaka dan Perak seperti diumumkan oleh  Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun pada 14 September.

Fuzi memberitahu, suspek kedua dari Melaka tanpa menyebut nama tertuduh, merupakan seorang penjual minuman cendol yang aktif menghasil dan mengedarkan bendera IS bagi mempromosikan ideologi kumpulan pengganas itu

Tertuduh juga didakwa merancang untuk menyertai IS di selatan Filipina dan kumpulan militan di Rakhine, Myanmar.

Manakala, dua lagi suspek militan IS yang turut ditahan dalam operasi yang sama, adalah seorang lelaki yang dikaitkan dengan dua organisasi pengganas iaitu al-Qaeda dan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG).

Suspek pertama, seorang lelaki berusia 21 tahun, ditahan di Bagan Serai, Perak pada 8 September dan merupakan seorang penganggur yang telah bersumpah taat setia (berbai’ah) kepada IS pada awal tahun ini.

Suspek tersebut, kata Fuzi, telah mengaku menerima tunjuk ajar daripada Mahmud Ahmad, yang didakwa sebagai orang tengah bagi saluran dana IS dari Timur Tengah, yang juga merupakan seorang pakar bom yang telah menghasilkan Alat Letupan Diubah Suai (IED) yang berskala besar. Polis tidak menyatakan nama suspek berkenaan.

Mahmud terlibat secara aktif dalam pengepungan Marawi bersama pemimpin ASG Isnilon Hapilon, yang merupakan pemimpin serantau IS.

"Susulan tunjuk ajar itu, suspek cuba membuat bom IED sebanyak tiga kali. Dia juga telah menerima pesanan daripada seorang militan kanan IS di Syria supaya membeli pistol, senapang M-16, AK-47 dan bom tangan dari negara jiran bagi melancarkan serangan di tempat-tempat ibadat bukan Islam,"kata beliau.

"Kami juga merampas bahan kimia bagi menghasilkan bom di rumah suspek semasa serbuan itu," kata Fuzi.

Suspek ketiga  pula  seorang pemandu bas berusia 41 tahun telah ditahan di Selangor,  pada 10 September,  di bandar Petaling Jaya, Selangor, didakwa merancang untuk menyertai IS di Syria menjelang akhir tahun ini.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 339 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, di mana 66 orang daripada mereka telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar. IS berjaya melakukan serangan pengganas pertamanya di bumi Malaysia - letupan bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.