Empat Warganegara Asing Terlibat Dalam Keganasan Ditahan Di Sabah

Hata Wahari
2017.12.06
Kuala Lumpur
171206-my-IS-arrest1000.jpg Seorang komando Polis DiRaja Malaysia semasa mengawal kawasan di perkampungan Sahabat 17, berhampiran Lahad Datu, di Sabah, 19 Februari 2013.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan empat warganegara asing di Sandakan, Sabah, dua hari lalu kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memberitahu media pada Rabu.

Mohamad Fuzi mengesahkan kepada pemberita penangkapan warganegara asing itu, yang dipercayai dari Indonesia, berusia dalam lingkungan 31 tahun hingga 40 tahun.

“Kesemua yang ditahan adalah warganegara asing, menjadikan Sandakan sebagai transit untuk menyusup masuk ke selatan Filipina bagi menyertai IS di sana,” katanya selepas melancarkan satu kempen pencegahan jenayah di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau memberitahu, kesemua mereka ditahan untuk disiasat di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) (SOSMA).

Mohamad Fuzi bagimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pernahanan tersebut tetapi memberitahu, satu kenyataan media akan dikeluarkan kemudian apabila pihak polis telah menyelesaikan siasatan.

Pada Isnin, polis Malaysia telah menembak mati seorang anggota dari puak militan kumpulan Filipina, Abu Sayyaf di perairan di timur Sabah, di daerah Lahad Datu, iaitu kira-kira 251 batu [402 km] dari Kota Kinabalu.

Abu Paliyak atau Komander Paliyak (alias Yusof), 31, ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak berkuasa Malaysia di Lahad Datu itu.

Paliyak adalah pemberi maklumat kepada kumpulan Remy, satu lagi kumpulan serpihan Abu Sayyaf yang terlibat dalam penculikan dan jenayah rentas sempadan di pantai timur negeri itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Ramli Din, sambil menambah lelaki berkenaan berada di laut pada masa itu kerana dipercayai mengintai operasi dan pergerakan anggota keselamatan sebelum menyampaikan maklumat kepada kumpulan penculik untuk tebusan.

Tertuduh serangan bom pesta bir tukar pengakuan

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, pelajar tingkatan enam yang memiliki dua butir bom, dipercayai untuk menyerang  pesta bir di ibu negara pada 5 November lepas, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.

Tertuduh Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19, yang sebelum ini mengaku bersalah pada Rabu telah menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen Kota Bharu, Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Hafizi didakwa memiliki dua butir bom “improvised explosive device (IED)” di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh pada pukul 6.05 petang, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh diwakili peguam Arif Azami Hussein.

Muhammad Hafizi yang dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan militan sejak berusia 12 tahun, turut berdepan empat pertuduhan lain iaitu terbabit dengan aktiviti pengganas IS.

Mengikut empat pertuduhan itu, dia didakwa memiliki gambar, video dan dokumen, memaparkan bahan berkaitan kumpulan militan, memberi latihan menerusi aplikasi WhatsApp dan hadir di tempat latihan pengganas IS.

Kesalahan didakwa masing-masing mengikut Seksyen Seksyen 130JB(1)(a), Seksyen 130JB(1)(b), 130F(a) dan Seksyen 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, dua lagi rakan tertuduh, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24, dan Mahadi Ibrahim, 34, yang masing-masing berdepan tiga dan dua pertuduhan berasingan berkait kumpulan pengganas IS turut dihadapkan ke mahkamah sama.

Bagaimanapun tiada keterangan direkodkan dengan Ahmad Azmi, seorang kontraktor  binaan dan Mahadi, seorang bekas tentera tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Mahkamah menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Putrajaya untuk dibicarakan serentak.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggagalkan rancangan serangan terhadap The Better Beer Festival 2017 dengan tertangkapnya tiga lelaki tersebut termasuk perancang utama, Muhammad Hafizi, seorang pelajar tingkatan enam pada 10 Oktober lalu.

Ketiga-tiga tertuduh dipercayai telah merancang serangan tersebut selepas menerima maklumat mengenai penganjuran festival arak  yang dijadualkan berlangsung di Solaris Dutamas pada 6 Oktober lalu.

Dalam tempoh empat tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 353 (termasuk hari ini) orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, termasuk IS. Enam puluh enam orang daripada mereka telahpun dibebaskan, menurut statistik kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.

Selain itu, sejumlah 34 anggota militan rakyat Malaysia juga telah dilaporkan terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 53 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit.

Pihak berkuasa Malaysia telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman berkaitan IS sejak 2013, kata pegawai-pegawai keselamatan.

Bagaimanapun, serangan bom tangan yang dikaitkan dengan IS pada tahun lalu di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur, telah mencederakan lapan orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.