Malaysia Tangkap 15 Suspek Keganasan Termasuk Suri Rumah, Warga Asing
2018.06.01
Kuala Lumpur, Malaysia

Polis Malaysia pada Jumaat memberitahu bahawa ia telah menangkap dan menahan 15 suspek militan sejak Mac, termasuk warganegara asing dan suri rumah yang dituduh merancang untuk menggunakan sebuah kenderaan yang dipasang dengan peranti bahan letupan yang diubah suai bagi melanggar para pengundi bukan Islam di sebuah pusat pengundian semasa pilihan raya umum diadakan bulan lepas di Kuala Lumpur.
Enam rakyat Filipina, seorang pemilik restoran Bangladesh, sepasang suami isteri rakyat Afrika Utara dan enam rakyat Malaysia ditangkap selepas polis mendapat tahu mengenai rancangan serangan keganasan secara berasingan di gereja-gereja dan kuil-kuil Hindu di sekitar ibu negara itu, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan.
"Wanita itu merancang untuk melancarkan serangan menggunakan kereta dengan menyasarkan pengundi bukan Islam semasa pilihan raya umum," kata Fuzi.
Suri rumah berusia 51 tahun itu ditahan di Puchong pada 9 Mei, hari di mana Malaysia mengadakan pilihan raya umum, kata Fuzi. Polis mengesyaki dia merancang untuk menggunakan kereta yang dimuatkan dengan tong gas memasak sebagai bahan peledak untuk menyerang pusat pengundian, katanya, tanpa mengulas lanjut.
Puchong, yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Kuala Lumpur, adalah lokasi serangan bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan di kelab malam Movida pada 26 Jun 2016. Ia adalah satu-satunya serangan yang berkaitan dengan Negara Islam (IS) di Malaysia.
Pelajar dikaitkan dengan IS
Antara rakyat Malaysia yang ditangkap ialah pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun yang ditahan pada 20 April lalu dan dipercayai menjadi ahli IS. Dia didakwa membuat enam bahan letupan ‘molotov cocktails’ atau bom minyak gasoline yang dirancangnya untuk digunakan sebagai sebahagian daripada serangan ‘secara sendirian’ di gereja-gereja, pusat hiburan dan kuil-kuil Hindu di ibu negara, kata Fuzi.
Fuzi berkata, suspek remaja itu telah menguji satu darkipada bahan letupannya di sebuah padang di Damansara Damai, kira-kira 12 kilometer barat laut ibu negara. Suspek itu ditangkap kira-kira sejam selepas dia memuat naik satu video di media sosial dan memberi amaran tentang rancangannya untuk melancarkan serangan.
"Remaja lelaki itu merancang untuk melancarkan serangan di gereja-gereja, pusat-pusat hiburan dan tempat-tempat ibadat bukan Islam di bandar raya," kata Fuzi.
Penangkapan itu, yang dibuat antara 27 Mac dan 9 Mei lalu, berlaku beberapa hari sebelum negara jiran, Indonesia, bergelut dengan serangan keganasan bulan lalu, kata pihak berkuasa. Serangan itu menyebabkan 13 orang awam, tujuh polis dan 31 suspek pengganas terbunuh, termasuk tiga keluarga yang melakukan pengeboman bunuh diri.
Seorang suspek Malaysia berusia 33 tahun ditahan pada 27 Mac di sebuah lapangan terbang di negeri Selangor selepas dia dihantar pulang dari Turki kerana didakwa merancang untuk menyertai militan IS di Syria, kata Fuzi.
Rakyat Bangladesh berusia 41 tahun, yang memiliki sebuah restoran di daerah beli-belah Bukit Bintang, disyaki menyeludup senjata kepada suspek pengganas, kata Fuzi tanpa mengulas lanjut. Sepasang suami dan isteri Afrika Utara, yang berumur 25 dan 22, pula telah diusir dari Malaysia kerana disyaki mempunyai hubungan dengan IS, katanya.
Enam rakyat Filipina pula ditahan pada April di Sabah kerana disyaki menajdi anggota sel militan yang mengumpul senjata api untuk menyokong kumpulan ekstremis di bandar Marawi, selatan Filipina, kata Fuzi.
Lebih 1,200 orang terkorban, dengan kebanyakan daripada mereka adalah anggota militan, selepas lima bulan pertempuran ganas berlaku di Marawi tahun lepas.
Sepanjang lima tahun yang lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 350 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan-kumpulan pengganas. Seramai 66 suspek telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.