Bekas Profesor Berkemungkinan Memimpin IS Di Asia Tenggara, Ketua Polis Malaysia

Hareez Lee
2017.10.16
Kuala Lumpur
171016-MY-mahmud-620.jpg Skrin ini diambil dari video yang dikeluarkan oleh Tentera Filipina menunjukkan Isnilon Hapilon, Ketua Gabungan militan Negara Islam di Asia Tenggara [duduk tengah], dan pemimpin militan lain merancang serangan di bandar Marawi, selatan Filipina, dilokasi yang dirahsiakan, 18 Jun 2017
[Dikeluarkan oleh Tentera Filipina/AFP]

Mahmud Ahmad, profesor di sebuah universiti di Malaysia yang juga seorang militan dijangka bakal mengambil alih sebagai Ketua kumpulan militan Negara Islam [IS] bagi Asia Tenggara berikutan kematian Isnilon Hapilon yang terbunuh di Marawi, selatan Filipina, Ketua Polis Malaysia memberitahu BeritaBenar pada Isnin.

Mahmud adalah antara perancang pengepungan Marawi yang dilancarkan oleh IS sejak Mei lepas, dan dipercayai mengetuai pasukan musuh yang semakin berkurangan berikutan kematian Hapilon, menurut Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

"Dari maklumat yang kami ada, Dr. Mahmud masih hidup. Dia selamat dari serangan itu, " kata Fuzi kepada BeritaBenar.

Pemimpin kedua kumpulan IS itu, Omarkhayam Maute, terbunuh bersama Hapilon dalam pertempuran di Marawi pada Isnin, pegawai tentera Filipina mengesahkan. Hapilon, pemimpin kumpulan militan selatan Filipina, Abu Sayyaf (ASG), yang terkenal dengan siri penculikan untuk wang tebusan, menjadi ketua cawangan serantau IS tahun lepas.

Mahmud, 39, digambarkan sebagai "lelaki berduit" yang membiayai serangan Marawi, dan dia dilatih di kem al-Qaeda di Afghanistan pada 1990-an ketika belajar di Islamabad Islamic University, kata tentera Filipina itu. Dia merupakan bekas pensyarah pengajian Islam di Universiti Malaya di Kuala Lumpur, satu daripada universiti terkemuka di Malaysia.

"Apa yang kami kumpulkan setakat ini menunjukkan dia berkemungkinan besar akan menjadi pemimpin seterusnya dengan kematian Hapilon dan Maute. Dia akan mengambil alih kepimpinan, " kata Fuzi.

Pada Julai, Institut Dasar Analisis Konflik (IPAC), sebuah badan pemikir berpusat di Jakarta, berkata dalam sebuah laporan bahawa Mahmud mungkin akan memainkan peranan pemimpin kerana kedudukannya dalam rantaian arahan IS.

"Dr. Mahmud lebih berpengalaman daripada anggota ISIS (IS) lain  yang beroperasi di Indonesia. Ini  bermaksud semua kumpulan perlu mengiktiraf rangkaian  perintah dalam hierarki ISIS yang wajib dipatuti berikutan  sumpah taat setia mereka,” menurut laporan IPAC, “Marawi , 'Wilayah Asia Timur' dan Indonesia.”

"Ini menunjukkan bahawa selepas Marawi akhirnya dibersihkan, Dr. Mahmud, jika dia bertahan, boleh memainkan peranan yang kritikal, baik dari segi mengumpul semula kumpulan di Filipina serta menyelaras dan menempatkan pejuang Asia Tenggara yang bertempur di Timur Tengah sambil  menetapkan  strategi serangan serantau, "kata IPAC.

Pelbagai kemahiran

Pada Jun lalu, seorang pegawai Malaysia yang enggan dikenali, memberitahu BeritaBenar bahawa Mahmud adalah antara militan paling mahir yang boleh mengambil alih tempat Hapilon.

Menurut pegawai itu, Mahmud mengetahui jalan keluar rahsia dari selatan Filipina.

"Selain menjadi pakar bom dan pelaut, Mahmud juga sangat mahir dalam dialek yang digunakan oleh militan Filipina, selain bahasa-bahasa lain yang dikuasainya seperti bahasa Melayu, Inggeris dan Arab," kata pegawai itu.

Rohan Gunaratna, pakar keganasan di Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura serta kolumnis BeritaBenar, berkata Mahmud mempunyai rancangan besar untuk rantau itu.

"Mahmud merancang untuk membangunkan negeri timur Sabah sebagai tempat transit untuk merekrut, melatih ahli dari Asia Selatan dan Asia Tenggara untuk bertempur di Filipina," kata Gunaratna dalam kolum bulananya pada Jun.

Di samping itu, untuk membiayai militan di Marawi, Mahmud bertanggungjawab untuk merekrut pejuang asing. IPAC menyifatkan langkahnya sebagai dasar "satu pintu" dalam mewujudkan saluran sehala untuk pejuang asing  menyertai kumpulan militan.

"Bukan hanya rakyat Indonesia dan Malaysia yang menghubungi Dr Mahmud ... dia juga dihubungi orang Bangladesh di Malaysia yang mahu menyertai pertempuran di Mindanao," kata Pengarah IPAC, Sidney Jones kepada Reuters

Amaran Tinggi

Sekarang, pihak berkuasa Malaysia terutamanya di negeri Sabah, berwaspada terhadap kemungkinan Mahmud akan  melarikan diri dari Marawi dan kembali ke Malaysia.

"Kami sentiasa memantau kerana beliau adalah ancaman terhadap keselamatan negara," kata Fuzi kepada BeritaBenar.

Pegawai perisikan kanan dari Unit Komando Keselamatan Timur Sabah berkata kematian Hapilon dan Maute tidak akan menjejaskan operasi yang sedang berjalan.

"Kepada kami, ia hanya bermaksud jenayah rentas sempadan telah dihapuskan, jika laporan itu benar. Tetapi ini tidak bermakna kami boleh membiarkan kawalan keselamatan kami seperti biasa, pemimpin lain akan tampil dan mengambil alih, "kata pegawai yang enggan dikenali memberitahu BeritaBenar.

Di kawasan selatan Filipina, Abu Sayyaf dalam keadaan "diam" dari segi aktiviti penculikan sejak kebelakangan ini kerana anggota mereka sedang bertempur  dengan Tentera Filipina di Marawi, tetapi para komander ASG lain, yang tidak terlibat dijangka beralih ke Sabah untuk menambah dana, kata pegawai itu.

Malaysia, Indonesia dan Filipina bergabung pada tahun ini untuk melancarkan rondaan laut serta udara untuk menghentikan ASG daripada menculik dan menangkap pelaut untuk wang tebusan.

"Ini berlaku apabila mereka memerlukan wang untuk membeli senjata. Jadi kami tidak mampu berehat, "kata pegawai itu.


Colin Forsythe di Kota Kinabalu, Malaysia dan staf BeritaBenar di Manila dan Marawi, Filipina turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.