Malaysia Batal Pameran Antarabangsa Maritim & Aeroangkasa Langkawi 2021

Nisha David
2020.07.16
Kuala Lumpur , Malaysia
200716-MY-LIMA1000.jpg Beberapa jet tempur dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2015 (LIMA'15) di Pulau Langkawi, pulau peranginan yang terletak di utara Malaysia, dan bersempadanan dengan Thailand, 18 Mac 2015.
[AFP]

Malaysia pada Khamis memberitahu yang negara itu telah membuat keputusan untuk membatalkan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi yang dijadualkan pada Mac tahun hadapan berikutan status wabak COVID-19 diseluruh dunia yang sehingga kini masih belum dapat ditangani sepenuhnya, demikian kata Kementerian Pertahanan.

Pembatalan penganjuran pameran terbesar maritim dan aeroangkasa di Asia Pasifik yang dibuat oleh Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu merupakan kali pertama sejak mula dianjurkan pada 1991.

Pemakluman mengenai pembatalan itu dibuat melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan pada Khamis.

“Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan selaku penganjur utama Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2021 (LIMA’21) sedar akan impak global pandemik COVID-19 yang bukan sahaja dari sudut kesihatan malah kesan besar terhadap sosial dan ekonomi dunia.

“Sehubungan itu, Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2020 telah memutuskan untuk membatalkan penganjuran LIMA’21 yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 20 Mac 2021,” demikian kata kenyataan ringkas Kementerian Pertahanan itu.

Antara sebab yang diberikan oleh kementerian itu ialah impak ekonomi pasca COVID-19 yang telah memberikan kesan terhadap jumlah peserta dan pelabur dalam acara antarabangsa seperti LIMA dan seterusnya menyukarkan pihak kementerian untuk mencapai sasaran penyertaan.

Kenyataan itu juga menyatakan antara faktor lain yang dikhuatiri adalah mengenai kekangan masa yang diperlukan bagi menganjurkan pameran berskala besar seperti LIMA serta kos yang bakal ditanggung penganjur dan kerajaan bagi mematuhi dan memenuhi keperluan dan operasi standard yang ditetapkan dalam menganjurkan acara dalam norma baru.

“Dengan jangkaan jumlah penyertaan akan berkurangan, adalah sukar untuk mencapai pulangan pelaburan berbanding kos yang dikeluarkan oleh kerajaan dan penganjur.

Keputusan pembatalan ini juga dibuat setelah mengambil kira pandangan dari pihak-pihak pemegang taruh dan juga pihak-pihak berkaitan yang lain,” kata kenyataan kementerian pertahanan itu lagi.

LIMA, program dwitahunan dianjurkan kali terakhir pada 2019 dengan 350 syarikat pempamer tempatan dan antarabangsa membabitkan 20 negara, diadakan di dua lokasi iaitu Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Turki menjadi pempamer terbesar apabila menempah pavilion mencecah 730 meter persegi diikuti Rusia 697 meter persegi.

Penyertaan syarikat tempatan terbesar pula didahului BHIC AeroServices Sdn Bhd, National Aerospace and Defence Industries Bhd (NADI), Muhibbah Engineering dan Sapura Group.

LIMA 2019 menerima 44,000 pelancong perdagangan dan 250,000 pelawat awam ke Pulau Langkawi, lokasi penganjuran pameran antarabangsa itu yang terletak di utara Semenanjung Malaysia serta bersempadanan dengan Thailand.

Satu lagi acara pertahanan dan keselamatan antarabangsa, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2020 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2020 yang patut berlangsung pada 20 hingga 23 April di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia turut ditunda akibat wabak COVID-19.

Penganjur pada mulanya menangguhkan DSA ke 24 hingga 27 Ogos, tetapi memutuskan untuk membatalkannya untuk mematuhi langkah-langkah penjarakkan sosial.

Juga menjadi mangsa COVID-19 adalah Pameran Logistik dan Pengangkutan Antarabangsa Kuala Lumpur (KiLAT) 2020.

Wabak COVID-19 telah meragut lebih 543,000 nyawa di 188 negara dan wilayah sejak ia mula dikesan di Wuhan, China Disember lalu dengan lebih 11.79 juta kes dilaporkan di seluruh dunia manakala pemulihan melebihi 6.41 juta pesakit, menurut data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Sebanyak 122 kematian dengan 8,737 kes COVID-19 dilaporkan di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.