Panel Suruhanjaya Diraja Mula Prosiding Siasat Kerugian BNM
2017.08.08
Kuala Lumpur

Malaysia pada Selasa memulakan prosiding pertama Suruhanjaya Siasatan DiRaja [RCI] bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an, yang dilihat sebagai satu langkah oleh kerajaan Najib untuk memberi tekanan kepada bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.
Prosiding yang pertama kalinya itu diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di Putrajaya, diketuai oleh Mohd Sidek Hassan bersama lima lagi ahli panel, bertanggungjawab untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang semasa tempoh Mahathir menjadi perdana menteri.
Suruhanjaya itu juga menetapkan 10 hari untuk prosiding penyiasatan yang akan diadakan secara berperingkat bermula 21 Ogos ini sehingga 21 Sept depan.
Pada 15 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan bagi penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia disebabkan urusan niaga mata wang asing pada 1990-an mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan.
Mohd Sidek, yang juga pengerusi Petronas, turut dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan manakala Setiausahanya ialah Dr Yusof Ismail, yang juga setiausaha bahagian, Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan.
Pada permulaan prosiding itu, panel berkenaan menolak bantahan peguam yang mewakili Mahathir dan Anwar untuk mempertikaikan keanggotaan dua ahli panel suruhanjaya berkenaan sehingga menyebabkan sesi prosiding berkenaan terlewat selama dua jam.
Namun, Mohd Sidek berkata pelantikan kesemua anggota dalam RCI itu dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan siasatan akan diteruskan.
“Dengan itu kami berpendirian untuk teruskan (siasatan),” kata Sidek dalam inkuiri tersebut.
Suruhanjaya itu juga menolak tuntutan barisan peguam Mahathir dan Anwar untuk menyoal balas serta memanggil saksi mereka sendiri tetapi dibenarkan untuk mengaju soalan relevan sahaja.
Dua anggota suruhanjaya yang dimohon untuk diketepikan adalah Mohd Sidek serta Saw Choo Boon dengan bantahan dibuat atas alasan kedua mereka merupakan anggota suruhanjaya yang terlibat dalam Pasukan Petugas Khas.
Pasukan itu ditubuhkan untuk memberi cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penubuhan RCI tersebut
Kabinet Malaysia pada Jun lalu bersetuju dengan syor Pasukan Petugas Khas berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kerugian urus niaga mata asing oleh Bank Negara.
Keputusan dibuat selepas laporan Pasukan Petugas Khas mendapati wujud kes prima facie dalam kerugian Bank Negara yang dianggarkan AS$10 bilion ($44.2 billion ringgit).
Kerugian urus niaga mata wang itu berlaku semasa pemerintahan Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai Menteri Kewangan, iaitu sekitar tahun 1993 hingga 1998.
Suruhanjaya itu telah menetapkan laporan penuh inkuiri itu akan siap dalam tempoh tiga bulan dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 13 Oktober depan.
Keanggotaan tidak sah
Sementara itu, Haniff Khatri, peguam yang mewakili Mahathir semasa ditemui media selepas sidang itu menjelaskan pihaknya telah membangkitkan dua isu kepada panel tersebut iaitu komposisi panel serta kedudukan peguam pemerhati semasa siasatan tersebut.
"Keanggotaan RCI adalah salah dan tidak sah di sisi undang-undang kerana dua anggotanya adalah ahli panel yang mengendalikan 'special task force' yang membuat usul kepada kabinet untuk mengadakan RCI.
"Permohonan kami supaya diberi peluang untuk satu permohonan bertulis dibuat oleh semua pihak untuk memberi pandangan yang sewajarnya turut ditolak, dan RCI juga telah membuat keputusan bahawa tiada sebab mereka perlu menarik diri sebagai anggota panel,” katanya.
Mengenai perwakilan peguam semasa prosiding, Haniff berkata, selepas perbincangan, anggota panel RCI bersetuju untuk membenarkan peguam pemerhati bertanya soalan yang relevan sahaja.
"Kami bertanya, apakah hak kami sebagai peguam yang hadir untuk melibatkan diri dalam prosiding? Adakah kami cuma diberi peluang untuk duduk sahaja atau melibatkan diri dengan aktif?
"Kerana pada pandangan kami, semua pihak yang berkepentingan perlu diberi peluang untuk menyoal balas saksi, dan juga memanggil saksi yang perlu bagi pihak kami,” jelasnya.
Hanif berkata pihaknya akan membuat semakan kehakiman terhadap keputusan pengerusi suruhanjaya.
Sementara itu, Sivarasa menjelaskan beliau akan merujuk keputusan yang dibuat oleh suruhanjaya itu dengan Anwar untuk memutuskan langkah berikutnya.
“Sebarang keputusan akan dibuat selepas saya mengadakan pertemuan dengan Anwar,” katanya.
Dalam pada itu, penubuhan RCI perlu bagi menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Central Bank Ordinance 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.
Selain itu, suruhanjaya perlu menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.
Suruhanjaya itu juga perlu mengesyorkan tindakan yang sesuai terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia itu, sekali gus mengesyorkan langkah bagi memastikan perkara sama tidak berulang.