UNHCR Malaysia Perkenal Kad Pengenalan Pintar Untuk Pelarian
2016.06.21

Badan yang mengendalikan perihal pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada Isnin telah melancarkan kad pengenalan baru dengan kemampuan pengesahan telefon pintar bagi 150, 000 pelarian yang berdaftar di Malaysia.
Kad pengenalan baru itu dilancarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur menggunakan teknologi canggih bertaraf global disokong dengan imbasan retina, 10 jari, serta imbasan muka.
Pelancarannya adalah antara usaha berterusan badan tersebut dalam memerangi penipuan identiti dan pemalsuan kad pelarian yang kian meningkat, kata wakil UNHCR Malaysia Richard Towle.
Beliau berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen badan berkenaan untuk melindungi pelarian dan juga menangani kebimbangan Kerajaan Malaysia dengan permasalahan pengeluaran kad palsu UNHCR oleh kumpulan sindiket.
"Kad ini membolehkan pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang serta kerja perlindungan dan bantuan melalui imbasan kod SQR (Secure Quick Response) selain boleh mengesahkan kesahihan kad berkenaan - UNHCR VERIFY-MY," kata Towle dalam satu kenyataan media.
Sementara itu, Pegawai Perlindungan Kanan (Pengawasan) UNHCR Michael Wells menjelaskan ciri-ciri keselamatan kad baru itu telah dipertingkatkan selepas kelemahan kad lama dikenal pasti. Kad baru lebih bagus dan kukuh serta memiliki ciri-ciri keselamatan yang sukar dipalsukan,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau berkata beberapa ciri keselamatan juga dipertingkatkan termasuk mempunyai hologram 3D dan kod bar, manakala di belakang kad terdapat kod SQR yang di bantu dengan sistem pengumpulan data biometrik di pejabat UNHCR.
Pemilik kad juga boleh menggunakan aplikasi semakan UNHCR Verify-MY yang boleh dimuat turun dengan percuma bagi pengguna aplikasi Apple dan Android serta boleh digunakan dalam talian atau luar talian dengan mempunyai arahan di dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
‘Daftar semula’
Dalam pada itu, Richard menambah, UNHCR telah mengambil tindakan dengan meminta kesemua pemegang kad untuk mendaftar semula selepas kerajaan Malaysia menyuarakan kebimbangan mereka terhadap sindiket pengeluaran kad palsu UNHCR.
Satu sindiket menjual kad pengenalan palsu tersebut kepada kumpulan pelarian telah dikenalpasti beroperasi di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain di seluruh negara.
Kad palsu UNHCR dijual dengan harga RM50 sehingga RM170 setiap satu bergantung kepada kualiti.
Sehingga April 2016, kira-kira 154,140 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, di mana 90 peratus daripada mereka adalah dari Myanmar dan selebihnya Sri Lanka, Pakistan, Somalia, Iraq, Yaman, Palestin dan Iran.
Kad baru yang pertama telah dikeluarkan kepada seorang pelarian wanita yang datang untuk memperbaharui kad lama beliau di ibu pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling pada Selasa, kira-kira pukul 11.05 pagi.