Sarawak Dapat Ketua Menteri Baru

Desmond Davidson
2017.01.13
Kuching, Sarawak
170113-my-abangjohari-620.jpg Abang Johari menandatangai surat watikah perlantikan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke-6 di hadapan Yang Dipertua Negeri Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri, di Petra Jaya, Kuching, Sarawak, 13 Januari, 2017
[Desmond Davidson/BeritaBenar]

Abang Johari Abang Openg, Timbalan Presiden parti utama dalam parti pemerintah di Sarawak dilantik sebagai Ketua Menteri baru menggantikan Adenan Satem yang meninggal dunia, Rabu lepas.

Majlis angkat sumpah Timbalan Presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu [PBB] sebagai Ketua Menteri ke-6 berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Abdul Taib Mahmud di kediaman rasmi ketua menteri, di Kuching pada petang Jumaat.

Abang Johari, 67, seorang ahli politik veteran, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Adenan.

Berkelulusan ijazah pentadbiran perniagaan daripada Universiti Brunel di United Kingdom, beliau merupakan waris keluarga Melayu elit yang berkecimpung dalam dunia politik sejak usia muda.

Allahyarham Abang Openg Abang Shapiee, bapanya,  adalah Yang Dipetua Negeri Sarawak yang pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

‘Bang Jo’

Beliau yang sangat mesra dengan panggilan "Bang Jo", memulakan kerjayanya dalam bidang politik sejak berusia 27 iaitu pada tahun 1977.

Empat tahun kemudian, iaitu pada 1981, beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri [DUN] Satok, dengan mewakili kawasan bandar yang majoritinya Melayu dan masih lagi mempertahankan kerusinya itu.

Memegang portfolio pelancongan, perumahan dan pembangunan bandar semasa menjadi timbalan ketua menteri, Abang Johari yang digelar sebagai “Orang UMNO”, dikatakan telah mendatangkan kebimbangan kepada sesetengah rakyat Sarawak.

Ramai yang melihat, termasuk mereka daripada anggota partinya sendiri, bahawa ketua menteri baru tidak berani dan tidak setegas Adenan, untuk menentang kerajaan persekutuan dalam usaha untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak yang terhakis.

Allahyarham Adenan semasa menjadi Ketua Menteri, telah menuntut supaya hak-hak Sarawak yang telah diketepikan oleh perdana-perdana menteri selepas Sarawak bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia  dikembalikan, seperti perkongsian hasil minyak dan gas yang diteroka di negeri itu dinaikkan kepada 20 peratus daripada 5 peratus.

"Ya, beliau dilihat sebagai orang UMNO, dan kini sebagai Ketua Menteri, sudah tentu beliau akan berperanan sebagai seorang nasionalisme seperti Adenan,” kata Profesor James Chin, Pengarah Institut Asia, Universiti Tasmania di Australia kepada BeritaBenar.

Seorang bekas setiausaha politik kepada Ketua Menteri yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berkata,  nama Abang Johari dikaitkan dengan UMNO kerana beliau  mempunyai hubungan rapat dengan bekas Timbalan Presiden PBB Abang Abu Bakar Abang Mustapha yang membawa UMNO, sebuah parti Melayu Semenanjung, ke negeri itu.

"Itulah bagaimana tuduhan bermula. Jika dia benar-benar seorang lelaki UMNO, maka kita hanya perlu tunggu dan lihat bagaimana beliau berurusan dengan kerajaan persekutuan," kata beliau.

Chin, pada Rabu lalu berkata kepada BeritaBenar bahawa legasi Adenan adalah kemenangan beliau dalam pilihan raya negeri tahun lepas kerana sanggup berdiri di satu platform yang tegas dalam memperjuangkan hak Sarawak.

"Adenan akan dilihat sebagai generasi ahli politik lelaki Melayu terakhir yang benar-benar setia kepada rakyat Sarawak dan sebagai sebuah identiti yang melintasi halangan etnik.

"Dia sentiasa menjadi rakyat Sarawak yang pertama dan utama," kata profesor, berasal yang dari Kuching itu.

Perjuangan perlu diteruskan

Seorang penganalisa politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kuching, Jeniri Amir, percaya Abang Johari boleh mengisi “kasut besar yang ditinggalkan oleh Adenan" terutamanya rakyat Sarawak yang akan membandingkannya dengan pendekatan yang dibawa oleh Adenan.

"Abang Jo boleh melakukan tugas barunya. Dia yang paling layak, paling kanan dan paling berpengalaman di kalangan pemimpin PBB.

"Dia tidak merajuk seperti kebanyakan pemimpin lain apabila ada yang terlepas pandang atau dipintas. Dia tetap setia kepada Adenan dan parti. Dengan memberi masa dan sokongan, Abang Johari boleh menjadi sebaik Adenan, " Jeniri memberitahu BeritaBenar merujuk kepada Abang Johari yang tidak dipilih sebagai Ketua Menteri pada 2014 walaupun beliau merupakan calon kegemaran.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Sarawak, Abdullah Saidol berkata Abang Johari akan meneruskan perjuangan dan pembangunan seperti yang ditetapkan oleh Adenan.

"Saya tidak ragu-ragu tentang kualiti kepimpinan Abg Johari dan kebijaksanaan dalam arena politik, dengan pelbagai pengalaman, cabaran serta sejarah politik.  Dia semestinya boleh mengendalikan apa saja yang bakal tiba di masa hadapan." tambah Abdullah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.