Tiga Rakyat Malaysia Mangsa Culik Abu Sayyaf Ditemui Masih Hidup

Colin Forsythe & Hata Wahari
2017.03.27
Kota Kinabalu & Kuala Lumpur
170327-MY-reunion-1000.jpg Pelaut Malaysia Tayudin Anjut yang diselamatkan bertemu dengan keluarganya di Kuala Lumpur, 27 Mac, 2017.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Tiga pelaut Malaysia yang ditahan selama berbulan-bulan oleh militan Abu Sayyaf ditemui masih hidup dan selamat pada hujung minggu di selatan Filipina, pegawai Malaysia mengesahkan pada Isnin.

Sementara itu, dua anak kapal yang telah dijadikan tebusan oleh ASG bersatu semula dengan keluarga mereka di Kuala Lumpur pada Isnin, selepas mereka diselamatkan oleh tentera Filipina minggu lepas apabila mereka didapati ditinggalkan dalam bot yang hanyut di laut.

Wan Abd Bari Wan Abd Khalid, Ketua Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di timur Malaysia, mengesahkan bahawa tiga pelaut lain sudah dibebaskan selepas didapati
di dalam keadaan tidak menentu di wilayah Sulu pada Ahad.

Mereka bertiga merupakan rakyat Malaysia yang terakhir dibebaskan dari tahanan ASG, kumpulan militan Islam yang berpangkalan di selatan Filipina dan dipercayai masih menahan dua warga Indonesia.

"Ketiga-tiga mangsa, Fandy Bakaran, Mohammad Jumadil Rahim dan Mohd Ridzuan Ismail telah diselamatkan pada 26 Mac di kawasan awam di Poblacion Punay, Panglima Estino, Sulu," kata Wan Abd Bari dalam satu kenyataan.

"Itu sahaja yang boleh saya katakan buat masa ini, bahawa mereka telah diselamatkan," katanya ketika BeritaBenar semasa dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ketua ESSCOM memberitahu, ketiga-tiga mereka kini dalam penjagaan tentera Filipina.

"Seperti dua lagi mangsa yang diselamatkan, urusan untuk membawa mereka pulang akan dibuat secepat mungkin," kata kenyataan itu.

Berita itu mengejutkan isteri Ridzuan, Hariyanti Amsi.

“Betul? Dia telah diselamatkan? Oh Tuhan, Saya telah menunggu untuk masa ini selama lapan bulan,” katanya seperti laporkan agensi berita Malaysia Bernama.

Ketiga-tiga mereka dijangka diterbangkan lewat Isnin ke Zamboanga City, selatan pulau Mindanao, sebelum urusan lain dapat dibuat bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia.

Fandy, 26, Mohammad Jumadil, 23, dan Mohd Ridzuan, 32, bersama-sama dengan Tayudin Anjut, 45, dan Abdul Rahim Summas, 62, berkhidmat sebagai anak kapal, bot tunda Serudung, yang diculik oleh ASG pada 18 Julai tahun lepas di perairan Tawi-Tawi, Sabah yang bersempadan dengan selatan Filipina.

‘Dilayan seperti hamba’

Tayudin dan Abdul Rahim ditemui hanyut dalam bot di sekitar perairan Kalinggalang Caluang berhampiran pulau Pata di wilayah Sulu pada Khamis lepas.

Pada Isnin, kedua-dua pelayar telah ditemukan semula dengan keluarga mereka di kediaman Perdana Menteri Najib Razak di Kuala Lumpur. Tayudin menyatakan mereka terpaksa bertahan dengan ancaman ditembak atau kepala dipancung semasa tempoh lapan bulan mereka berada dalam hutan. Abu Sayyaf telah menawan mereka untuk tebusan, dan telah memancung kepala dua rakyat Kanada dan seorang warga Jerman yang berada dalam tahanan mereka sejak tahun lepas.

"Kami sentiasa bergerak pada waktu malam supaya kami tidak tahu di mana kami sedang menuju, dan, minggu lepas, kami diberitahu supaya bergerak lagi. Kami tidak sedar bahawa kami telah dipisahkan daripada tiga rakan yang lain dan telah diselamatkan oleh tentera Filipina, "Tayudin memberitahu pemberita.

"Kami dilayan seperti hamba dan kami telah diberi makanan dari masa ke semasa," katanya sambil menambah beliau tidak dipukul.

Tayudin berkata kekurangan makanan yang sihat juga telah menjejaskan kesihatannya, termasuk penglihatan beliau, sambil menambah yang beliau hampir tidak dapat melihat.

"Kami sentiasa tidur dengan sakit-sakit di badan dan sakit-sakit dari segala pekerjaan yang terpaksa kami lakukan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata pengalaman beliau menjadi tawanan mengakibatkan trauma kepadanya.

"Saya mempunyai tekanan darah tinggi tetapi saya mampu untuk berjalan. Sekarang saya tidak dapat berbuat demikian, kerana layanan buruk mereka, "katanya.

Perdana Menteri Najib berkata, beliau bersyukur dengan kepulangan dua kelasi itu, sambil menambah bahawa tiada wang tebusan telah dibayar.

"Mereka menjelaskan penderitaan yang mereka terpaksa lalui dan saya mendengar tekanan yang dihadapi keluarga yang terpaksa menjalani tempoh mereka dijadikan tawanan," katanya.

Kerajaan akan menyediakan semua perbelanjaan perubatan bagi kesemua mereka, janji Perdana Menteri itu.

Pada 2016, ASG menculik 10 rakyat Malaysia dan 27 kelasi Indonesia di laut. Kesemua mereka, kecuali dua warga Indonesia, telah pun dibebaskan.

Dalam usaha untuk menghentikan penculikan itu, Malaysia, Indonesia dan Filipina merancang untuk melancarkan rondaan bersama di Laut Sulu bulan depan. Tahun lepas, Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberi kebenaran kepada Malaysia dan Indonesia untuk menjalankan rondaan bot laju di kawasan militan di perairan Filipina untuk menangkap penculik dan membebaskan tebusan mereka.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.