Abu Sayyaf Culik Empat Lagi Pelaut Indonesia
2016.04.15
Washington DC

Sekumpulan militan Filipina dikaitkan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) pada Jumaat telah mengancam untuk memenggal kepala tebusan asing, termasuk empat lagi pelaut Indonesia, dalam tempoh sepuluh hari jika tuntutan wang tebusan mereka tidak dipenuhi, menurut laporan media.
Permintaan terbaru wang tebusan itu adalah bagi dua lelaki Kanada, seorang lelaki Norway dan seorang wanita Filipina yang diculik oleh kumpulan itu sejak September lalu, dan permintaan itu dibuat beberapa jam sebelum anggota Abu Sayyaf melalukan penculikan terbaru iaitu empat daripada 10 anak kapal bot tunda Indonesia pada Jumaat.
Enam kelasi berjaya melarikan diri dan belayar ke Sabah, Malaysia, meninggalkan empat rakan mereka yang diculik berdekataan perairan antarabangsa, akhbar The Star Malaysia melaporkan, memetik polis di negeri pantai timur Borneo itu.
Ini adalah serangan ketiga melibatkan bot tunda dalam sebulan yang melalui perairan berhampiran Pulau Tawi Tawi di Filipina, di luar pantai Sabah, menurut akbhar berkenaan. Abu Sayyaf juga masih menahan empat pelayar dari Malaysia dan 10 anak kapal tunda Indonesia, yang diculik akhir bulan lalu.
‘Tarikh akhir’
Tawanan yang berdepan dengan tarikh akhir permintaan wang tebusan terbaru itu, dipercayai berada di Pulau Jolo di selatan Filipina, iaitu kubu kuat Abu Sayyaf, menurut laporan yang diterbitkan.
Abu Sayyaf, sebelum ini telah mengeluarkan tuntutan wang tebusan terhadap tawanan kumpulan itu, tetapi pada Jumaat buat pertama kalinya ia menetapkan tarikh terakhir.
Dalam video Youtube yang terbaru, tawanan telah meminta keluarga dan kerajaan mereka supaya membayar wang tebusan sebanyak 300 juta peso Filipina (AS$6.5 juta) dengan anggota kumpulan militan meletakkan parang ke leher mereka, lapor SITE Intelligence Group. Seorang anggota militan yang bertopeng berkata, satu daripada empat tawanan akan dipenggal kepala jika wang tebusan tidak dibayar pada pukul 3 petang, 25 April ini.
'Kejam'
Abu Sayyaf telah memenggal kepala seorang rakyat Malaysia, Bernard Then, 39, pada November lepas yang diculik daripada sebuah restoran tepi pantai di negeri Sabah, Malaysia bersama seorang wanita dan dibawa dengan sebuah bot ke Pulau Jolo, di mana mereka telah ditawan. Tahanan wanita itu dibebaskan, selepas dilaporkan wang tebusan dibayar.
Baru-baru ini, sekumpulan lelaki bersenjata telah menculik empat lagi rakyat Malaysia dari sebuah kapal di perairan pantai timur Sabah, berdekatan selatan Filipina. Rampasan tongkang yang mengangkut muatan kayu, yang berdaftar di Malaysia, M.V. MASFIVE 6, berlaku apabila lapan lelaki bersenjata menculik empat anak kapal itu di perairan Pulau Ligitan, dekat Semporna di pantai timur Sabah.
Kementerian Luar Malaysia mengeluarkan kenyataan mengutuk penculikan itu sebagai "tidak masuk akal dan tidak bertamadun."
Pada 9 April, Filipina kehilangan 18 anggota tenteranya, semasa pertempuran dengan Abu Sayyaf di Pulau Basilan.
"Kerugian 9 April itu menunjukkan kesukaran dan graviti memerangi kejahatan dan keganasan. Pada masa yang sama, ia menguatkan tekad kita untuk meneruskan perjuangan demi keamanan... kita mesti memadamkan penyebaran kumpulan pelampau seperti Abu Sayyaf yang mengancam nyawa dan keselamatan saudara-saudara Islam di Mindanao dan negara keseluruhannya," kata perunding keamanan Filipina Miriam Coronel-Ferrer pada 12 April.