Anggota Kanan Abu Sayyaf Dijatuhi Hukuman Penjara 13 Tahun oleh Mahkamah Malaysia
2018.07.23
Kota Kinabalu, Malaysia

Seorang anggota kanan Abu Sayyaf yang mempunyai dua waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Filipina, dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun oleh sebuah mahkamah di negeri Sabah selepas mengaku bersalah menjadi anggota kumpulan militan tersebut.
Marsan Ajilu @ Anuar Mohamad Asnalul, 32, yang sedang menjalani hukuman penjara enam bulan kerana memasuki Malaysia secara haram serta tidak mempunyai kad pengenalan diri yang sah, telah diarahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Alwi Abdul Wahab untuk menjalani hukuman penjara selama 13 tahun bermula daripada tarikh beliau ditangkap pada 15 Mac lepas.
Marsan, bapa kepada seorang anak berusia empat tahun mengakui kesalahannya sebagai anggota kumpulan militan dan kumpulan penjenayah rentas sempadan yang berpangakalan di Basilan, selatan Filipina,
Beliau yang tidak diwakili peguam meminta untuk dikurangkan hukuman serta memberitahu mahkamah bahawa beliau telah insaf serta bertaubat, dan melarikan diri ke Sabah untuk memulakan semula hidup baru.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor bagaimanapun meminta mahkamah untuk mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya itu adalah sesuatu yang serius dan kes itu dianggap penting kepada umum.
Marsan telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 130KA Kanun Keseksaan Akta 574, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan hukuman maksimum penjara 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes yang dikemukakan di mahkamah, Marsan dituduh sebagai anggota Abu Sayyaf di Likas, sebuah bandar kecil yang terletak pinggir ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu dari 31 Julai 2012 hingga 15 Mac 2018.
Marsan, sebagai anggota kanan kumpulan Abu Sayyaf, dikehendaki oleh pihak berkuasa Filipina kerana cuba membunuh dan menculik mangsa untuk wang tebusan.
Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Marsan mahir dalam penggunaan senjata api dan telah mengambil bahagian dalam beberapa pertempuran dengan tentera Filipina di bandar Zamboanga.
Beliau dilaporkan sebagai anggota kanan kumpulan Abu Sayyaf yang diketuai oleh sub komandan bernama Furuji Indama, yang dianggap sebagai salah seorang calon untuk menggantikan Isnilon Hapilon, ketua kumpulan pengganas wilayah Islam yang terbunuh di dalam pertempuran di Marawi tahun lepas.
Pada April lalu, mahkamah rendah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara terhadap Marsan kerana memasuki Malaysia secara haram.
Awal bulan ini, seorang lagi anggota kanan Abu Sayyaf, Hajar Abdul Mubin @ Abu Asrie telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan yang sama.
Hajar adalah anak saudara kepada Furuji dan dipercayai telah menjadi anggota kumpulan militan itu dari tahun 2010, dan melarikan diri ke Malaysia serta bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur.
Hajar merupakan antara lapan suspek yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf dan ditahan dalam satu operasi di Cheras, dekat Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lepas.
Pada Januari dan Februari lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan sepuluh orang yang disyaki terbabit di dalam pergerakan militan antara Sabah dan selatan Filipina.
Menurut laporan media, Malaysia telah menahan kira-kira 400 orang di seluruh negara sejak 2013 kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan militan termasuk Abu Sayyaf.
Kumpulan Abu Sayyaf bertanggungjawab terhadap jenayah rentas sempadan dan penculikan maritim di Laut Sulu dan Celebes di timur Sabah termasuk penculikan di Pulau Sipadan pada tahun 2000 yang mendapat perhatian dunia.