Kedutaan Indonesia Sahkan 28 Jenazah Telah Dihantar Pulang

Hata Wahari
2015.09.09
150909-MY-ACEH620 Keluarga Nurlela Abdul Wahab bersiap membawa pulang jenazahnya ke rumah mereka dengan ambulan setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Blang Bintang, Kabupaten Aceh Besar, Indonesia. 8 September 2015.
BeritaBenar

Sebanyak 28 jenazah mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam, Selangor telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno kepada BeritaBenar di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Beliau berkata, manakala sebanyak 39 mayat lagi telah dikenalpasti oleh kaum keluarga sehingga Selasa dengan selebihnya masih dalam proses pengecaman.

"Ahli keluarga mangsa masih mengunjungi kedua-dua hospital [Hospital Raja Pemaisuri Bainun, di Ipoh, Perak dan Hospital Kuala Lumpur]untuk membuat pengecaman mayat secara langsung….., melalui barang milik mangsa, dan pasukan penyiasat Polis Malaysia juga telah mengambil sampel DNA keluarga sebagai cara terakhir untuk mengenalpasti mangsa yang belum dapat dikenalpasti," katanya semasa dihubungi.

Herman memberitahu, pihak kedutaan akan terus membantu keluarga untuk membuat pengecaman mayat bagi membolehkan urusan penghantaran jenazah untuk pengebumian disegerakan di Indonesia.

Mengenai 19 lelaki yang terselamat dalam tragedi bot karam itu dan kini ditahan reman oleh pihak berkuasa Malaysia, Herman berkata, pihak Kedutaan Indonesia menyerahkan sepenuhnya kepada polis Malaysia untuk menyiasat terutama tekong bot yang dipercayai di antara yang terselamat.

Seorang lagi mangsa yang terselamat ialah wanita berusia 25 tahun yang masih mendapatkan rawatan di hospital akibat trauma.

"Kita akan menyelesaikan masalah 19 orang yang terselamat ini selepas siasatan polis Malaysia selesai dan mereka juga akan dihantar pulang ke Indonesia apabila segala proses siasatan selesai," tegasnya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Malaysia menemui sau lagi mayat mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam pada Rabu, menjadikan jumlah mayat yang dijumpai seramai 64 orang.

Pengarah Operasi Maritim Daerah Klang Komander Maritim Mohamad Faaiz Mohd Nor @ Samah berkata, mayat seorang lelaki ditemui di sekitar enam batu nautika dari lokasi kejadian.

"Mayat telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. Kita akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat sehingga berpuas hati.

“Jika tiada lagi mayat yang ditemui, kita akan pertimbang sama ada untuk meneruskan atau menamatkan operasi. Ia bagaimanapun tertakluk kepada arahan dari ibu pejabat," katanya pada Rabu.

Dalam tragedi awal pagi Khamis lalu, bot pancung yang dipercayai dinaiki lebih 70 hingga 80 orang pendatang tanpa izin dari Indonesia karam di perairan Selangor, berhampiran Tanjung Sauh.

Kesemua mangsa dipercayai menaiki bot itu dari Kuala Sungai Bernam kira-kira pukul 12 tengah malam menuju ke Tanjung Balai, Indonesia untuk pulang menyambut Aidil Adha di kampung halaman mereka.

Hampir kesemua mereka dipercayai berasal dari Sumatera.

Bot itu dipercayai karam disebabkan terlebih muatan.

Jenazah tiba

Sementara itu, jenazah mangsa bot karam Nurlela Abdul Wahab telah dibawa ke rumahnya di Desa Julok Sukon, Kabupaten Aceh Besar pada lewat malam Selasa.

Menurut kakaknya, Mariana, jenazah terus disembahyangkan dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran rumah mereka.

Wanita berusia 41 tahun itu meninggalkan empat orang anak berusia antara 10 dan 22 tahun dan suasana sedih menyelubungi rumah keluarga mangsa semasa jenazah dibawa masuk.

Mariana berkata, adiknya mula bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia pada Julai 2013 dan kembali semula ke Aceh selepas setahun bekerja apabila kontrak tamat.

“Adik saya kembali semula ke Malaysia untuk bekerja melalui ejen di Medan pada November 2014...disebabkan tidak tahan dengan majikan beliau yang tidak membenarkan beliau solat, Nurlela mengambil keputusan untuk melarikan diri,

“Seorang rakan adik saya cuba bantu menguruskan perjalanan pulang ke Aceh melalui jalan belakang,” katanya kepada BeritaBenar dalam keadaan yang amat sedih.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.