Pegawai Sahkan Arab Saudi Beri Jutaan Wang kepada Najib

Staf BeritaBenar
2016.04.15
Washington DC
160415-my-saudi-donation620 Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir mengesahkan laporan bahawa seseorang dari negaranya menderma wang berjuta-juta kepada Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.
AFP

Menteri Luar Arab Saudi telah mengesahkan bahawa ada seorang individu dari negaranya yang telah mendepositkan "derma" ke dalam akaun bank Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, menjadikan beliau pegawai pertama dari negara itu yang menyokong dakwaan pemimpin Malaysia itu mengenai asal-usul dana berkenaan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala antara pegawai-pegawai Arab Saudi dan Malaysia, menurut laporan media, ketika entiti antarabangsa menyiasat dakwaan rasuah dan salah urus wang di 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana pelaburan negara bermasalah yang dipengerusikan oleh Najib.

“Kita sedar tentang derma itu, dan ia adalah sumbangan tulen tanpa mengharapkan sebarang  balasan," kata Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir kepada wartawan Malaysia pada Khamis, di luar sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.

"Kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menyiasat perkara itu dengan teliti dan mendapati tiada salah laku. Oleh itu, apa yang kami tahu, perkara ini sudah selesai," kata al-Jubeir.

Pegawai Arab Saudi itu tidak memberi apa-apa maklumat lanjut mengenai transaksi berkenaan, seperti bila ia berlaku, siapa yang menyumbang wang itu, atau untuk tujuan apa. Beliau juga tidak menyebut 1MDB.

Menurut The Wall Street Journal, yang memetik ‘penyiasat global' yang tidak dinamakan,  deposit ke dalam akaun peribadi Najib berjumlah lebih daripada satu bilion dolar, dengan kebanyakannya berasal daripada dana pembangunan negara itu.

Akhbar kewangan AS itu juga telah melaporkan bahawa $200 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib pada 2011 dan 2012 daripada seorang individu Arab Saudi dan Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Peguam Negara tutup siasatan pada Januari

Pada Januari lalu, Peguam Negara Malaysia Mohamed Apandi Ali mengumumkan bahawa pejabatnya telah menutup siasatan terhadap skandal rasuah berkaitan 1MDB  yang dihadapi Najib, terutamanya yang melibatkan deposit sebanyak AS$ 681 juta ke dalam akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya 2013.

Apandi berkata, tiada kesalahan jenayah dilakukan kerana wang tersebut merupakan ‘derma peribadi’ daripada keluarga diraja Arab Saudi; dan sebahagian besar wang itu telah dikembalikan.

Najib telah menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil apa-apa wang untuk keuntungan peribadi. Tetapi tidak lama selepas berita mengenai skandal itu dideahkan pada Julai lalu, beliau memecat Abdul Gani Patail, peguam negara ketika itu yang mengetuai sebuah pasukan petugas antara agensi yang menyiasat perkara itu dan skandal lain yang berkaitan dengan 1MDB.

1MDB juga berulang kali menafikan bahawa ia memasukkan sebarang wang ke dalam akaun Najib.

Dalam satu segmen televisyen bulan lalu, Australia Broadcasting Co. melaporkan bahawa Najib menerima $75 juta daripada seorang putera Arab Saudi dan $80 juta daripada  Kementerian Kewangan Arab Saudi untuk memerangi ekstremisme.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas program itu disiarkan, Pejabat Perdana Menteri Malaysia berkata ia telah mengesahkan versi peristiwa Najib.

Pelbagai pihak berkuasa telah membuat kesimpulan selepas melakukan siasatan lengkap, dan ia menunjukkan bahawa dana itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi. Siasatan itu termasuklah pemeriksaan forensik terhadap setiap pemindahan wang yang dibuat. Pihak berkuasa Malaysia pergi ke Arab Saudi untuk memeriksa dokumentasi dan menemu bual anggota Keluarga  Diraja, dan pegawai-pegawai yang mentadbirkan derma itu, " kata satu kenyataan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.