Ketua Menteri Yang Berjuang Untuk Sarawak, Meninggal Dunia
2017.01.11
Kuching, Sarawak

Ketua Menteri Sarawak, yang popular kerana mempunyai pendirian tegas menuntut lebih kuasa autonomi dan bahagian lebih besar dari kekayaan minyak dan gas di negeri itu daripada Perdana Menteri Najib Razak, meninggal dunia pada Rabu akibat komplikasi jantung.
Adenan Satem, 72, meninggal dunia pada kira-kira pukul 1:20 petang di Pusat Jantung Sarawak yang terletak di Kota Samarahan, kira-kira 16 km (10 batu) di luar ibu kota Kuching – kurang 16 hari untuk menyambut hari lahirnya yang ke-73 pada 27 Jan ini.
Beliau memegang jawatan Ketua Menteri negeri yang kaya dengan hasil bumi itu hampir tiga tahun.
Misi sekolah berpendidikan yang diperkenalkan oleh Adenan telah memberi kemenangan yang besar kepada pilihan raya negeri itu pada tahun lepas, termasuk berjuang untuk mendapatkan semula hak-hak yang terhakis di negeri itu seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia apabila Sarawak bersetuju untuk menyertai pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Beliau dipilih sendiri oleh Abdul Taib Mahmud untuk menggantikannya sebagai ketua menteri.
Sarawak telah mengisytiharkan seminggu untuk berkabung dengan Najib menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Adenan yang disiarkan di akaun rasmi Twitter beliau.
"Perkhidmatannya kepada Sarawak adalah sangat besar. Malaysia kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa, "katanya.
Apabila Adenan mengambil alih jawatan pada 28 Feb 2014, sebagai ketua menteri kelima di negeri itu, pelbagai soalan dibangkitkan mengenai keadaan kesihatannya.
Adenan, yang memakai perentak jantung dan hampir menemui ajal pada 2012, sentiasa menjadi 'duri dalam daging' terhadap kerajaan persekutuan di Putrajaya kerana mengkritik beberapa dasar persekutuan yang dikatakan sebagai "bodoh."
Beliau pada beberapa acara telah mengkritik dan menyelar dasar persekutuan untuk menghapuskan bahasa Inggeris dalam surat-menyurat rasmi dan menghentikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kerana beliau berkata ia sekaligus membuat rakyat Malaysia tidak berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Pada 2015, beliau menjadikan bahasa Inggeris di negeri itu setanding dengan bahasa kebangsaan, Bahasa Malaysia, iaitu satu langkah yang menimbulkan kemarahan kepada kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu di Semenanjung.
Pemimpin dihormati
Beliau yang sangat dihormati sebagai negarawan telah membuat pemimpin pembangkang turut menghantar ucapan takziah.
Pemimpin pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen mengarahkan bendera di ibu pejabat parti itu di Kuching untuk dikibar separuh tiang.
"Adalah sangat menyedihkan yang masa tidak bersama beliau. Sebagai Ketua Menteri yang singkat tempohnya, beliau telah banyak menyumbang kepada Sarawak dan menunjukkan kepada kita semua bahawa Sarawak boleh berdiri menentang kekuatan kerajaan persekutuan, " kata Chong dalam satu kenyataan.
Chong merujuk kepada tuntutan Adenan supaya hak-hak Sarawk semasa ia bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia yang telah diketepikan oleh perdana-perdana menteri selepas itu, dikembalikan selain perkongsian minyak dan gas yang diteroka di negeri itu dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 5 peratus sebelum ini.
Adenan bekerja sebagai seorang wartawan dan guru sebelum menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia. Selepas tamat pengajian, beliau bekerja sebagai seorang pendakwaraya di Crown Law Office of Adelaide dari 1969-1970.
Seorang yang gemar bermain golf dan memancing, beliau turut menyifatkan dirinya sebagai seorang "ahli sejarah amatur" dalam laman web rasminya.
Beliau bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri pada tahun 1978 dan selama 49 tahun sebagai penjawat awam membuatkan diri beliau sebagai salah seorang penggubal undang-undang yang paling lama berkhidmat di negara itu.
Keutamaan terhadap rakyat Sarawak
Profesor James Chin, seorang penganalisa politik dari Monash University Australia berkata legasi Adenan adalah kemenangan beliau pada pilihan raya tahun lepas kerana sanggup di satu platform yang tegas memperjuangkan hak Sarawak.
"Dia akan dilihat sebagai generasi ahli politik lelaki Melayu terakhir yang benar-benar setia kepada rakyat Sarawak dan sebagai sebuah identiti yang melintasi halangan etnik.
"Dia sentiasa menjadi rakyat Sarawak yang pertama dan utama," kata profesor, berasal dari Kuching kepada BeritaBenar pada Rabu.
Douglas Uggah, antara tiga timbalan ketua menteri dan yang paling kanan bagi negeri itu, mengangkat sumpah sebagai "Pemangku Ketua Menteri" pada petang Rabu.
Jenazah dibawa ke Masjid Jamek Semariang untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di Petrajaya selepas solat tengah hari pada Khamis.