Asia Tenggara Harap Kerajaan Tetap Taliban Lebih Inklusif Berbanding Pentadbiran Sementara

Pentadbiran sementara Afghanistan itu pada Selasa mengumumkan barisan kepimpinan lelaki Taliban sepenuhnya dengan majoritinya adalah daripada etnik Pashtun.
Subel Rai Bhandari
2021.09.08
Kathmandu
Asia Tenggara Harap Kerajaan Tetap Taliban Lebih Inklusif Berbanding Pentadbiran Sementara Anggota-anggota Taliban berkumpul berhampiran gambar Mullah Haibatullah Akhundzada, yang kini menjadi pemimpin tertinggi Afghanistan, di Kabul, 25 Ogos 2021.
[Reuters]

Banyak negara di Asia Tenggara dan Bangladesh belum menyatakan pendirian terhadap kerajaan sementara Taliban di Afghanistan, namun menyuarakan harapan agar kerajaan tetap akan lebih inklusif dan memastikan bahawa negara itu tidak menjadi kawasan selamat untuk pengganas.

Kerajaan sementara Afghanistan, yang diumumkan pada Selasa, dibarisi sepenuhnya lelaki Taliban, dengan majoritinya kalangan ulama dan kebanyakannya daripada etnik Pashtun, kata penganalisis. Ia juga dianggotai pengganas buruan antarabangsa – yang mempunyai tawaran ganjaran besar bagi penangkapan mereka - dan dua anggota rangkaian pengganas kejam Haqqani, yang bersekutu rapat dengan al-Qaeda dan dalang kejadian 11 September, Osama bin Laden.

"Indonesia masih berharap agar kerajaan tetap Afghanistan akan menjadi lebih inklusif," kata Abdul Kadir Jailani, ketua pengarah bagi Asia, Pasifik dan Afrika di Kementerian Luar Negeri Indonesia, kepada BenarNews pada Rabu.

Jurucakap Taliban, yang kembali berkuasa di Afghanistan bulan lalu selepas 20 tahun ditumbangkan, sebelum ini menyatakan komitmen kumpulan itu untuk menubuhkan kerajaan yang inklusif, katanya.

"Indonesia mengikuti perkembangan di Afghanistan, termasuk pengumuman semalam oleh pentadbiran sementara itu."

Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi, bertemu dengan wakil pejabat politik Taliban di Doha pada akhir bulan lalu, dan menyampaikan pandangan mengenai pentingnya membentuk kerajaan yang inklusif, menghormati hak-hak wanita dan memastikan Afghanistan tidak menjadi tempat penularan organisasi dan kegiatan pengganas, katanya ketika itu.

Haibatullah Akhundzada, yang kini pemimpin tertinggi "Emiriah Islam Afghanistan", nama baru pentadbiran sementara itu, dikatakan “sahabat baik" pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri.

Sekutu Al-Qaeda di Asia Tenggara, Jemaah Islamiyah (JI), terlibat dalam kejadian pengeboman Bali pada 2002, yang merupakan serangan pengganas paling buruk di Indonesia. Anggota JI termasuklah rakyat Indonesia yang berlatih dengan al-Qaeda di Afghanistan dan veteran tentera Indonesia yang menyertai peperangan di Afghanistan semasa ia diduduki Soviet.

Sementara itu, Dhaka yang turut bimbang dengan kebangkitan Taliban, juga memilih untuk menunggu dan melihat perkembangan di negara itu, kata Faruk Khan, pengerusi jawatankuasa tetap Parlimen dan Ahli Parlimen dari parti kerajaan.

"Kami di Bangladesh berharap agar Taliban akan membentuk kerajaan inklusif sepenuhnya yang menggabungkan wakil dari semua kaum, jantina dan etnik Afghanistan," kata Faruk kepada BenarNews.

"Selain itu, Afghanistan tidak boleh menjadi kawasan selamat bagi pengganas dan militan."

Seperti di Indonesia, kumpulan militan di Bangladesh, yang majoritinya Muslim, telah berakar umbi selepas kepulangan rakyatnya daripada menyertai peperangan bersama Taliban semasa menentang tentera Soviet di Afghanistan pada tahun 1990-an, kata penganalisis.

Faruk dan Menteri Luar Negeri, Shahriar Alam, berkata Dhaka ingin melihat bentuk kerajaan tetap Afghanistan.

"Kami bukan menyambut baik atau mengalu-alukan kerajaan sementara Afghanistan," kata Shahriar kepada wartawan pada Rabu, menurut laporan media negara itu.

"Kami tidak mahu tergesa-gesa melakukan sesuatu."

210908-MY-Afgan2.jpg

Poster yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat bagi mendapatkan maklumat mengenai Sirajuddin Haqqani, yang dinamakan sebagai pemangku menteri dalam negeri kerajaan sementara Afghanistan. [Edaran FBI melalui Reuters]

Belum pasti

Sementara itu, Malaysia akan mengeluarkan kenyataan pada Jumaat mengenai pendirian rasminya terhadap kerajaan baru Afghanistan, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah pada Rabu.

"Kami mahu menjaga hubungan dengan semua negara, tetapi, dengan Afghanistan, kami belum membuat sebarang keputusan... sudah tentu, kami bersama-sama dengan rakyat Afghanistan, "kata Saifuddin kepada wartawan.

Beliau menghubungi menteri luar Qatar, kerana negara itu membantu menangani perjanjian Washington dengan Taliban pada tahun lalu, dan setiausaha agung Pertubuhan Kerjasama Islam, untuk mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai Afghanistan, kata Saifuddin.

Sementara itu, Thailand menyatakan bahawa adalah "terlalu awal" baginya untuk menyatakan pendirian mengenai kerajaan sementara Afghanistan.

"Kami memantau perkembangan di Afghanistan sebelum mempertimbangkan pendirian kami," kata Tanee Sangrat, jurucakap kementerian luar negeri Thailand, kepada BenarNews pada Rabu.

Pegawai Filipina pula tidak membalas permintaan BenarNews untuk mendapatkan kenyataan mengenai pemerintahan baru Taliban itu.

210908-MY-Afgan3.jpg

Pemimpin Taliban, Mullah Mohammad Hassan Akhund, yang kini perdana menteri baru Afghanistan, dilihat dalam foto bertarikh 25 Ogos 1999 di pangkalan Tentera Udara di Rawalpindi, Pakistan. [AFP]

'Tiada kebimbangan di pihak Afghanistan'

Sementara itu, pemimpin Taliban, Akhundzada berkata kerajaan sementara Afghanistan mahu menjalinkan hubungan baik dengan negara jiran serta negara-negara lain.

"Kami mahukan hubungan yang kukuh dan sihat dengan negara jiran dan semua negara lain dengan saling menghormati dan berinteraksi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Kami komited kepada semua undang-undang dan perjanjian, resolusi dan komitmen antarabangsa yang tidak bertentangan dengan undang-undang Islam dan nilai-nilai nasional negara ini," katanya, sambil memberitahu bahawa negara-negara lain tidak perlu bimbang dengan Afghanistan.

"Mesej kami kepada jiran, rantau dan dunia ialah bumi Afghanistan tidak akan digunakan untuk menentang keselamatan negara lain. Kami memberi jaminan bahawa tiada kebimbangan di pihak Afghanistan, dan kami mengharapkan perkara yang sama daripada mereka,” katanya.

Banyak negara mungkin tidak mengiktiraf kerajaan sementara itu, kerana, walaupun menerima nasihat daripada pihak berkepentingan antarabangsa, "Taliban tetap meneruskan penubuhan kerajaan sementara dengan melakukan penyisihan ketara," kata Omar Samad, fellow kanan di Majlis Atlantik iaitu badan pemikir di Washington.

"Taliban lebih berminat kepada pengiktirafan serantau dan negara jiran pada masa ini kerana mereka tahu bahawa kebanyakan negara Barat enggan memberikan pengiktirafan dengan segera," kata Omar.

"Mereka juga mengambil kira proses nyahsenarai PBB ketika berusaha mengeluarkan nama pemimpin mereka dari senarai sekatan."

Perdana Menteri sementara Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund, yang juga pengasas Taliban, diletakkan dalam senarai sekatan PBB.

Menteri Dalam Negeri Sirajuddin Haqqani dan bapa saudaranya, Menteri untuk Pelarian Khalil Haqqani, turut menganggotai rangkaian digeruni - dengan Washington menamakannnya sebagai organisasi pengganas. AS menawarkan ganjaran $10 juta bagi penangkapan Sirajuddin dan $5 juta untuk bapa saudaranya. Rangkaian Haqqani juga disenaraikan dalam sekatan PBB.

Seperti yang diberitahu oleh diplomat kanan Britain yang sudah bersara, Ivor Roberts, kepada Voice of America, tindakan memberi jawatan kepada anggota rangkaian Haqqani untuk mengawasi keselamatan Kabul adalah umpama “harapkan pagar, pagar makan padi."

Nontarat Phaicharoen di Bangkok, Kamran Reza Chowdhury di Dhaka, Tria Dianti di Jakarta, Shailaja Neelakantan di Washington, Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur dan Jason Gutierrez di Manila turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.