Peguam Negara Arah Siasatan 1MDB Dibuka Semula
2017.10.31
Kuala Lumpur

Peguam Negara Malaysia pada Selasa mengumumkan bahawa siasatan semula terhadap skandal dana negara 1Malaysia Development Berhad [1MDB] yang menjadi sasaran beberapa penyiasatan peringkat antarabangsa berikutan salah urus kewangan dan pengubahan wang haram, perlu dibuat kerana masih kekurangan bukti.
Mohamed Apandi Ali berkata, siasatan yang melibatkan beberapa aspek tertentu perlu di buat dalam mencari bukti lebih kukuh, tetapi peguam negara berkenaan tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut mengenainya.
“Kertas siasatan mengenai 1MDB sentiasa dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AG), namun, terdapat bukti yang tidak mencukupi dalam beberapa perkara tertentu. Apabila kertas siasatan dirujuk kepada kami, kami menelitinya. Kami dapati wujudnya kekurangan bukti. Oleh itu, kami arahkan siasatan dijalankan melibatkan beberapa perkara tertentu.
Bagaimanapun saya tidak dapat mendedahkan perkara itu kerana siasatan masih dijalankan.
"Kira-kira 20 hingga 25 peratus daripada kertas siasatan perlu dikaji semula," kata Apandi pada sidang media seperti dilaporkan oleh akhbar Malay Mail pada Selasa.
1MDB, dana kendalian Malaysia itu dibebani hutang dan menjadi sasaran siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 12 negara serta dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang membelenggui Perdana Menteri Najib Razak, selepas akhbar The Wall Street Journal pada Julai 2015 melaporkan bahawa sebanyak AS$700 juta dari 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Najib, sebelum pilihan raya umum Malaysia pada Mei 2013.
Najib menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata dakwaan rasuah adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.
Pada Januari 2016, Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada potensi salah laku dan mengarahkan siasatan terhadap perdana menteri itu ditutup, dengan menyatakan bahawa "tiada kesalahan jenayah" yang dilakukan beliau. Wang sebanyak AS$681 juta itu merupakan sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan sebahagian besar wang itu telah dikembalikan kepada penyumbangnya, demikian menurut Apandi.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said pada Isnin memberitahu Dewan Rakyat yang Peguam Negara sekali lagi mengarahkan polis melakukan siasatan lanjut kes 1MDB pada 24 Oktober lalu.
Ini adalah kali kedua pejabat peguam negara mengembalikan semula kertas siasatan kepada polis berhubung skandal 1MDB dalam tempoh empat bulan.
"Oleh sebab siasatan masih dijalankan, apa-apa pendedahan mengenai butiran siasatan boleh menjejaskan dan memprejudiskan usaha siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan perkara ini harus dihormati oleh semua pihak," kata Azalina yang menjawab soalan Anggota Parlimen DAP-Puchong Gobind Singh Deo.
Gobind, yang merupakan anggota parlimen dari parti pembangkang telah meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai status siasatan 1MDB dan jika terdapat kelewatan menyiapkannya.
Pada 12 April lalu, Ketua Polis Negara pada ketika itu, Khalid Abu Bakar telah memaklumkan bahawa pihaknya sudah menyelesaikan siasatan dan kertas siasatan telah diserahkan kepada peguam negara.
Khalid pada Jun lepas turut memberitahu yang peguam negara telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lanjut kes berkenaan.
Siasatan selesai
Bagaimanapun, ketua polis negara yang baru dilantik, Fuzi Harun, berkata tidak ada keperluan bagi polis untuk menyiasat perkara berkenaan kerana siasatan telah selesai.
"Tidak, tidak, kita tidak perlu (menyiasat lebih lanjut), kerana siasatan telah selesai,” katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan Malaysia bulan lepas.
Pada persidangan media, 20 September lepas, Fuzi dipetik sebagai berkata "Kecuali kami mendapat arahan selanjutnya dari PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) atau kabinet mengenai perkara ini [menyiasat lebih lanjut],"
Baru-baru ini juga, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamid, yang juga Menteri Dalam Negeri semasa menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat berkata kerajaan Malaysia telah memohon bantuan Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan Low Taek Jho atau Jho Low, yang dipercayai terlibat dalam skandal kewangan 1MDB.
Selain Jho Low, Interpol turut memburu bekas eksekutif kanan 1MDB iaitu Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengurus Deutsche Bank, Yusof Annuar Yaacob.
Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, polis Malaysia masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada Interpol tetapi menaruh keyakinan bahawa Interpol telah menjalankan tugas dengan profesional.
“Polis telah mengemukakan kepada Interpol di manakah orang (Jho Low) tetapi masih belum ada maklumat,” kata Ahmad Zahid.