COVID-19: Agong Isytihar Darurat Tangguh Pilihan Raya Kecil di Sabah dan Perak

Peningkatan kes jangkitan COVID-19 mencecah angka ribuan setiap hari sejak September boleh memberi acaman kesihatan jika pilihan raya terus diadakan.
Hadi Azmi
2020.12.16
Kuala Lumpur
COVID-19: Agong Isytihar Darurat Tangguh Pilihan Raya Kecil di Sabah dan Perak Seorang pengundi memasukkan kertas undian kedalam kotak khas yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari pengundian semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup, di Tuaran, Sabah, 26 September 2020.
[Ryu Syakur/BeritaBenar]

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah pada Rabu mengisytiharkan darurat di dua kawasan di Perak dan Sabah bagi membolehkan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sepatutnya diadakan dianjakkan kepada satu tarikh lain dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19, di mana lebih 1,000 kes dicatatkan setiap hari, demikian menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dua kawasan yang diisytiharkan darurat itu ialah Parlimen Gerik di Perak dan Dewan Undangan Negeri Buguya di Sabah, berikutan kematian Ahli Parlimen Hasbullah Osman dari Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Adun Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan, pada 16 dan 17 November lepas.

Pengisytiharan ini adalah yang kedua dan ketiga melibatkan penangguhan PRK di mana yang pertama pada 18 November lepas apabila Baginda berkenan mengisytiharkan darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi di Sabah berikutan kematian penyandangnya, Liew Vui Keong, 2 Oktober lalu.

“Saya telah menyembah maklum akan nasihat Jemaah Menteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.054) Gerik, Perak dan Bahagian Pilihan Raya Negeri (N.66) Bugaya, Sabah.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No. 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi (P.054) Gerik dan (N.66) Bugaya yang telah dijadualkan pada 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Rabu.

Menurut beliau, Jemaah Menteri pada 4 Disember telah membincangkan secara terperinci mengenai kesan PRK Gerik dan Bugaya, jika mahu diadakan semasa pandemik COVID-19 yang sedang berlaku peningkatan penularan di negara itu.

“Mengambil iktibar penularan COVID-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini, Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam,” tambah Muhyiddin.

Malaysia pada Rabu mencatatkan jumlah kes jangkitan harian sebanyak 1,295 kes menjadikan jumlah kes keseluruhan kepada 87,913 dengan 429 jumlah kes kematian yang direkodkan setakat ini.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh tidak lebih enam puluh hari dari tarikh kekosongan kerusi ataupun pembubaran dewan.

Dalam satu kenyataan berasingan, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) berkata pihaknya akur dengan keputusan kerajaan untuk membatalkan kedua-dua pilihan raya tersebut.

“SPR akur dengan keputusan dan kenyataan YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu,” kata Pengerusinya Abdul Ghani Salleh.

Menurut beliau pihaknya akan mengumumkan satu tarikh baru untuk kedua-dua pilihanraya tersebut kelak.

Tindakan kerajaan wajar

Mengulas tindakan kerajaan menggunakan undang-undang darurat untuk menunda pilihan raya kecil, Mohd Noor Yazid, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah berkata tindakan itu wajar memandangkan pengalaman negara ketika berdepan dengan pilihan raya negeri Sabah pada September lalu

“Apa yang berlaku pada PRN Sabah dan impak negatif kepada penyebaran meluas yang begitu pantas adalah di luar jangkaan. Bukan politik dan kempen pilihan raya itu tidak penting, tetapi pada masa sama, kesihatan umum dan wabak yang tidak nampak yang sedang merebak jangan sekali-kali dipandang kecil,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Tambahnya, kemasukkan jentera-jentera parti ke kawasan pilihan raya membuka ruang untuk kes-kes tersebut merebak secara meluas di samping pengabaian langkah-langkah keselamatan ketika sibuk berkempen.

“Seharusnya, kedatangan penyokong dan pembantu parti politik dari Semenanjung dikurangkan ketika negeri itu berhadapan COVID-19 khususnya ke kawasan daerah Zon Merah.

“Tetapi itu tidak berlaku. Seolah-olah perjalanan kempen tidak banyak beza dengan keadaan sebelum COVID-19,” kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.